Filem Black Widow adalah filem solo pertama Natasha Romanoff/Black Widow lakonan Scarlett Johansson. Walaupun watak beliau menimpa musibah yang tidak diduga dalam Avengers: Endgame, filem ini masih boleh menceritakan kisah beliau dengan baik. Ia lebih kepada mendedahkan latar belakang beliau termasuk asal-usul, keluarga dan mempunyai banyak lagi perkembangan watak yang menarik.

Baca: Kita Perlukan Lebih Banyak Prekuel Seakan Black Widow Untuk Menjaga Legasi Watak Dan Menutup Plot Hole

Filem ini berlaku di antara Captain America: Civil War dan Avengers: Infinity War. Ia turut memperlihatkan watak baharu Yelena Belova, yang mungkin menjadi Black Widow baharu dalam MCU. Watak ini dilakonkan oleh Florence Pugh dan kami di Aksiz berpeluang menemuramah Florence dan beliau telah menjawab beberapa soalan yang agak menarik.


Bagaimanakah anda bersiap sedia untuk membawa watak Yelena?

Soalan daripada media di India

Bukan satu perkara yang mudah dan ada banyak tekanan dan cabaran yang dilalui. Tetapi syukur, filem adiwira wanita kerap saya tonton dan selalu terbayang watak mana saya selalu mainkan dan pada usia mana saya berpeluang. Kemudian Cate Shortland adalah pengarah yang saya sedia minati, begitu juga dengan Scarlett Johansson dan apabila diberi peluang untuk membawa watak ini saya amat bersyukur. Tidak dinafikan saya amat gementar kerana pertama kali terlibat dalam projek yang begitu besar.

Apakah perasaan dapat berganding bahu dengan Cate Shortland?

Soalan daripada Timeout Australia

Bukan mudah untuk menerima pengarah yang begitu mesra dan amat baik serta memberi sokongan penuh kepada diri saya. Beliau juga tidak mengawal saya sepenuhnya dan pertama kali dalam kerjaya saya, saya ada kebebasan dalam membuat keputusan dan tidak dikawal ketat secara gila-gila oleh studio yang besar.

Dengan watak MCU mana anda ingin bersama jika diberi peluang?

Soalan daripada Yahoo! Taiwan

Ouh, soalan yang sukar untuk saya jawab. Saya menggemari watak Scarlett Witch, kerana ia satu watak yang lain daripada yang lain serta adalah watak wanita yang lebih berkuasa. Tetapi dengan perwatakan saya yang lebih degil dan aneh ini, saya rasa jika dipadankan dengan Loki pasti satu keputusan baik.

Anda ikut komik yang mana untuk menjayakan watak Yelena Belova?

Soalan kami sendiri

Saya ada baca komik dan lihat perwatakan Yelena Belova. Tetapi saya hanya ambil inspirasi sedikit sahaja dan selebihnya adalah idea dan keputusan saya sendiri sepenuhnya. Seperti yang saya katakan tadi, saya amat gembira apabila diberi kebebasan dalam berlakon watak ini untuk MCU. Keputusan yang saya lakukan untuk membawa watak Yelena yang berbeza dengan komik adalah satu risiko, kerana risau jika peminat tidak boleh terima saya.

Yelena adalah watak yang kompleks di dalam komik, tetapi saya ubah menjadikannya satu watak yang tampak ganas dan gerun sambil ada elemen ceria, gembira dan lebih aneh. Contohnya cara pakaian, wanita mana yang sukakan vest? Saya cuba meringankan lagi watak ini.

Begitu juga dengan kostum saya yang tidak begitu ketat berbanding adiwira MCU lain dalam filem sebelum. Saya lebih mudah untuk bergerak dan beraksi, serta mampu menyelesaikan setiap aksi saya dari mula hingga tamat. Saya amat bersyukur dapat bekerjasama dengan Cate untuk membawa watak Yelena versi MCU dengan idea tersendiri.

Bagaimanakah hubungan dua Black Widow di set penggambaran?

Soalan daripada Geek Culture Singapura

Seperti mana anda lihat kami di dalam filem, begitulah kami di set penggambaran. Saya dan Scarlett Johansson mempunyai dinamik yang sangat gempak dan epik. Walaupun di awal filem kami bergaduh, bukankah itu perkara biasa di antara pasangan adik-beradik? Kami ketawa bersama, marah bersama, dan sama-sama mudah membawa hubungan adik-beradik yang realistik.

Adakah satu perkara yang sukar menjaga rahsia selama 2 tahun?

Soalan daripada Jawa Pos Indonesia

Gila susah! Marvel dan Disney tidak semak latar belakang seseorang pelakon sama ada pandai menjaga rahsia ataupun tidak. Selepas saya dipilih untuk memainkan watak Yelena, apa yang mereka kata adalah saya tidak boleh dedahkan watak apa saya main kepada sesiapa sehingga dibenarkan. Dengan Covid-19 dan pawagam tunda, semakin lama saya perlu menjaga rahsia.

Selepas mesyuarat bersama studio, saya tidak dibenarkan baca skrip. Apa yang Cate beritahu, ia adalah sesuai untuk saya dan saya memang boleh mainkan watak ini – kerana skripnya epik. Pertama kali saya terlibat dengan proses seperti ini, di mana saya tidak dibenarkan baca skrip selepas watak saya disahkan. Tetapi dengan filem ini telah mula ditayangkan, saya sudah rasa lega.


Penafian: Kami telah tonton Black Widow sejak Jun lalu melalui akses awal yang diberikan oleh Disney, serta sebagai persediaan untuk temuramah ini.

Sohor Kini