EA minggu ini berkongsi prestasi kewangan mereka bagi suku pertama untuk tahun fiskal 2021/2022 yang berakhir pada 30 Jun lepas. Seperti biasa, maklumat yang menarik minat kami adalah prestasi terkini permainan-permainan mereka.

Bagi pengumuman kali ini, EA memfokuskan kepada dua permainan iaitu FIFA 21 dan juga Apex Legends yang tampaknya terus menerima penambahan pemain dari semasa ke semasa.

FIFA 21 kini mempunyai lebih 31 juta pemain di konsol dan juga PC, ia memperlihatkan peningkatan sebanyak 6 juta pemain berbanding laporan untuk suku lepas yang berakhir pada bulan Mac. Jumlah perlawanan juga meningkat sebanyak 48% berbanding suku yang sama untuk tahun lepas.

Bagi Apex Legends pula, permainan battle royale tersebut mencatat secara purata 13 juta pemain aktif mingguan sepanjang musim 9 yang berakhir pada minggu ini. Ia adalah 1 juta lebih tinggi berbanding purata untuk musim 8.

Sepanjang bulan Mei sehingga Jun, EA telah mencatat pendapatan sebanyak $1.551 bilion di mana 79% daripada jumlah tersebut adalah melalui pembelian di dalam permainan dan 21% untuk pembelian permainan.

Sohor Kini