EA minggu ini telah berkongsi prestasi kewangan mereka untuk suku keempat dan juga keseluruhan bagi tahun fiskal 2020/2021, selain mengumumkan keutungan meningkat hampir $100 juta untuk tahun fiskal ini berbanding tahun fiskal lepas, mereka juga telah berkongsi jumlah pemain untuk beberapa permainan utama.

Antara yang dikongsi adalah Apex Legends, seperti yang dilaporkan sebelum ini, ia kini mempunyai lebih 100 juta pemain sejak dilancarkan pada tahun 2019. Mereka juga mengatakan yang sepanjang musim ke-8, iaitu musim lepas, Apex Legends mencatat purata 12 juta pemain seminggu.

Manakala untuk FIFA 21 yang dilancarkan pada tahun lepas, ia kini mempunyai 25 juta pemain di konsol dan juga PC. Manakala pemain yang bermain FIFA Ultimate Team pula meningkat sebanyakj 18% dan terdapat 180% lebih banyak perlawanan berbanding tahun fiskal yang lepas. Dengan FIFA 21 kini disertakan di dalam EA Play dan Xbox Game Pass Ultimate, ia sudah semestinya akan memperlihatkan peningkatan pemain yang ketara pada suku ini.

Bagi The Sims 4 pula yang telah dikeluarkan hampir 7 tahun lepas, ia kini mempunyai hampir 36 juta pemain dan terus memperlihatkan penambahan pemain. Mereka juga telah mengumumkan penambahan terbaru untuknya iaitu The Sims 4 Courtyard Oasis Kit yang memfokuskan kepada rekaan seni bina dan juga hiasan dari Maghribi. Ia akan tiba pada 19 Mei 2021.

Akhir sekali, EA juga mengatakan yang mereka telah melancarkan 13 permainan sepanjang tahun fiskali ini, dan menerima 42 juta pemain baharu di dalam rangkaian mereka.

Sohor Kini