Monster Hunter Stories Menyertai Apple Arcade Minggu Ini

Apple Arcade telah mengumumkan yang Monster Hunter Stories adalah antara permainan baharu yang akan disertakan untuk perkhidmatan tersebut pada Jumaat ini.

Monster Hunter Stories merupakan permainan JRPG berdasarkan siri popular Monster Hunter. Permainan susulan untuknya iaitu Monster Hunter Stories 2 baru sahaja dilancarkan pada tahun ini untuk Nintendo Switch dan PC.

Ia pada awalnya dilancarkan untuk Nintendo 3DS pada tahun 2017, sebelum dikeluarkan untuk iOS dan juga Android setahun kemudian di mana ia ditawarkan dengan harga RM79.90 di App Store dan juga Play Store.

Selain itu, Apple Arcade juga akan menerima dua lagi permainan Jumaat ini iaitu permainan baharu di bawah Arcade Originals – Super Leap Day yang merupakan permainan platformer di mana peringkat baharu akan disertakan setiap hari. Satu lagi adalah di bawah App Store Greats iaitu Super Stickman Golf 3.

Manakala untuk permainan akan datang, mereka mengumumkan MasterChef: Let’s Cook! dan juga Layton’s Mystery Journey. Tarikh pelancaran akan diumumkan kemudian.

Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM19.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM19.90 untuk pelan individu dan RM33.90 untuk pelan keluarga.

Anda juga boleh baca 10 permainan menarik untuk anda cuba jika memiliki langganan Apple Arcade ataupun bercadang untuk mendapatkannya: 10 Permainan Baharu Di Apple Arcade Yang Menarik.

Sohor Kini