Nintendo hari ini akhirnya mengumumkan secara rasmi model baharu untuk konsol mudah alih mereka iaitu Nintendo Switch OLED akan dilancarkan pada 8 Oktober ini.

Ia akan membawa skrin yang menggunakan panel OLED dengan saiz 7-inci. Ia juga akan menyertakan pendiri yang lebih lebar untuk memberikan pelbagai pilihan tetapan yang berbeza. Selain itu di dermaga akan menyertakan mempunyai tempat untuk sambungan kabel LAN secara terbina dan sistem audio yang lebih baik.

Selain dermaga yang baharu, saiz skrin yang sedikit lebih besar iaitu 7-inci berbanding 6.2-inci serta saiz storan dalaman yang lebih besar iaitu 64GB berbanding 32GB, selebihnya masih mengekalkan komponen Switch lama termasuk juga Joy-Con. Sebagai warna lalai, Nintendo Switch OLED akan ditawarkan dengan warna putih ataupun warna biru dan merah, namun mana-mana Joy-Con lain juga boleh digunakan.

Berdasarkan spesifikasi yang dikongsi, ia akan membawa skrin 1280×720 secara mudah alih dan menyokong sehingga 1080p apabila disambungkan di TV. Manakala ketahanan bateri ia dikatakan bertahan dari 4.5 jam sehingga 9 jam, ia adalah seperti model Nintendo Switch yang sekarang.

Nintendo Switch OLED akan dilancarkan pada 8 Oktober 2021 dengan harga $349 iaitu $50 lebih mahal berbanding Nintendo Switch model sekarang.

Sohor Kini