Embracer Group iaitu syarikat induk untuk pelbagai penerbit serta studio permainan video seperti THQ Nordic, Deep Silver, Coffee Stain, Saber Interactive dan Gearbox telah mengumumkan prestasi kewangan mereka untuk suku keempat bagi tahun fiskal 2020-2021 iaitu untuk bulan Januari sehingga Mac 2021.

Mereka telah mempunyai satu suku yang sangat baik dan mengatakan ia banyak didorong oleh Valheim yang terjual sebanyak 6.8 juta unit sejak dilancarkan pada Februari lepas. Ia diterbitkan oleh Coffee Stain dan dibangunkan oleh Iron Gate Studio. Permainan lain yang dikongsi adalah SnowRunner terjual hampir 2 juta unit, melebihi 2 juta unit untuk Spongebob Squarepants: Battle for Bikini Bottom Re-Hydrated dan lebih 1 juta unit untuk Destroy All Humans!.

Dengan pelbagai pengambil-alihan sebelum ini, Embracer Group mengatakan yang mereka kini mempunyai 160 permainan sedang dibangunkan, dengan mempunyai 6,325 pekerja dan jumlah pembangun adalah 5,115 orang. Mereka juga telah mengumumkan penubuhan semula studio Free Radical Design untuk membangunkan permainan TimeSplitter.

Masih melihat untuk melakukan lebih banyak pengambil-alihan, mereka juga telah mengatakan mendapat suntikan dana sebanyak SEK 7.6 bilion (~RM3 bilion) sebagai tambahan kepada SEK 17 bilion yang mereka miliki sekarang dalam bentuk tunai dan kredit. Baru-baru ini mereka telah mengambil alih Aspyr, Easybrain dan juga Gearbox Entertainment.

Sohor Kini