Skip to main content

Jared Leto adalah seorang pelakon yang hebat. Beliau mampu memainkan pelbagai jenis watak tidak kira dalam apa jua filem. Tetapi filem Suicide Squad tahun 2016, watak Joker yang beliau mainkan ditulis dengan agak teruk. Watak ini menerima kecaman dan adalah antara watak aksi nyata Joker yang ramai tidak sukakan.

Tetapi, Zack Snyder memberi peluang kedua kepada Jared Leto untuk menyampaikan watak ini melalui cara beliau sendiri. Jared Leto akan kembali beraksi sebagai Joker dalam filem Justice League potongan Snyder. Sudah semestinya, rekaan Joker ini akan berbeza dan mempunyai penyampaian yang berbeza. Kali pertama imej Joker diperlihatkan adalah minggu lepas – tetapi hanya sekadar acah sahaja dan imej dikongsi kabur.

Baru-baru ini melalui Vanity Fair, imej sebenar Joker lakonan Jared Leto yang jelas diperlihatkan. Beliau dilihat mempunyai rambut yang panjang, tidak lagi disikat kemas dan tampak seakan seorang gangster jalanan. Beliau dilihat memakai gaun hospital, mungkin baru sahaja melepaskan diri? Paling jelas beza Joker Zack Snyder dan Joker David Ayer adalah, tiada lagi tatu di wajah beliau.

Adegan watak Joker ini dilaporkan hanya beberapa minit sahaja. Ia adalah di dalam adegan mimpi Batman, melihat dunia yang musnah dek diserang makhluk asing dan Darkseid. Adegan ini akan memperlihatkan Joker bersemuka dengan Batman. Kita tahu yang Joker dan Batman adalah musuh ketat. Di senjata Batman ada kad terup Joker, di mana adalah sebagai tanda – giliran Joker untuk mati.

Ini kerana, Joker telah membunuh watak Robin dalam dunia DCEU. Iaitu Dick Grayson, anak didik Batman. Walaupun Suicide Squad dan Justice League berada dalam dunia DCEU yang sama, Joker Jared Leto baharu ini dikatakan berbeza. Dunia DCEU pun masih serabut, jadi jika Joker ini dimainkan oleh orang sama tetapi perwatakan berbeza – orang pasti akan layan sahaja dan terima ini adalah satu lagi medium hiburan DC/Warner Bros.

Apa yang penting, kita akhirnya akan dapat tonton filem Justice League dari idea Zack Snyder. Zack Snyder turut katakan, versi Joker ini menyimpan banyak “cenderahati” dari mangsa beliau. Jadi mungkin akan ada adegan imbau-kembali atau aksi yang hebat? Sama-sama iita nantikan 18 Mac ini.

Leave a Reply