Skip to main content

PlayStation 5 adalah konsol dengan pelancaran terbaik sepanjang zaman untuk keseluruhan konsol yang pernah dikeluarkan dan ia tidak terhad kepada konsol oleh Sony sahaja. Kejayaan tersebut dicapai walaupun dengan pengeluaran konsol terganggu akibat pandemik Covid-19. Dengan kata lain, PS5 adalah satu konsol yang sangat popular di kalangan pemain.

Populariti tersebut mungkin kita boleh kaitkan dengan bagaimana PlayStation 4 telah membawa Sony ke satu tahap sukar untuk dikejar oleh pengeluar konsol lain terutama Microsoft. Bagi generasi kali ini, mereka sekali lagi “bertempur” dengan Xbox melalui penawaran Xbox Series.

Melalui artikel ini, saya akan kongsi 5 sebab mengapa PS5 lebih baik berbanding Xbox Series X. Jika anda tidak membacanya lagi, saya juga mengeluarkan artikel 5 sebab mengapa Xbox Series X lebih baik berbanding PS5.

PlayStation Studios

PlayStation Studios ataupun SIE Worldwide Studios adalah satu jenama yang kita sentiasa kaitkan dengan permainan-permainan berkualiti tinggi. Studio-studio yang berada di bawah payung mereka sentiasa membawa permainan yang akan menjadi sesuatu yang dicemburui oleh studio-studio lain.

Microsoft melalui Xbox Game Studios telah mengambil-alih pelbagai studio untuk menawarkan sesuatu yang sama dengan PlayStation Studios namun buat masa ini, kesan pengambil-alihan tersebut masih tidak kelihatan kerana kebanyakan permainan sedang dibangunkan lagi.

Selain itu studio-studio di bawah Xbxo Game Studios tidak membawa “makna” yang sama berbanding studio di bawah SIE. Saya tidak dapat mencuba permainan seterusnya oleh Bethesda? Permainan Halo seterusnya? Bukan satu perkara yang besar bagi saya.

Manakala PlayStation Studios pula, Naughty Dogs dengan siri Uncharted dan The Last of Us, Santa Monica Studio melalui siri God of War, Insomaniac Games melalui siri Spider-Man ataupun Guerrilla Games melalui siri Horizon merupakan antara contoh studio dan permainan yang saya tidak boleh bayangkan tidak dapat mencubanya kerana tidak memiliki konsol PlayStation.

Tambahan lagi, permainan-permainan oleh Xbox Game Studios akan turut tiba di PC, jadi anda tidak semestinya perlu memiliki konsol Xbox.

Sokongan Rasmi

Jika ingin dibandingkan dengan dua pengeluar konsol utama iaitu Microsoft dan juga Nintendo, Sony adalah satu-satunya pengeluar konsol yang bertapak secara rasmi di Malaysia, dan saya ingin katakan yang ia adalah perkara yang harus dihargai oleh pemain-pemain di Malaysia.

Hadirnya secara rasmi, ia akan memudahkan urusan pembelian konsol, contohnya harga lebih terjaga terutama melalui pengedar-pengedar rasmi Sony. Manakala bagi Xbox, kebanyakan pemain perlu berharap yang kedai-kedai permainan akan membawanya dan tidak menawarkan dengan harga yang tidak masuk akal. Ia juga akan memudahkan pemilik untuk mendapat bantuan jika konsol mereka bermasalah, selagi masih di dalam waranti.

Ia juga membolehkan permainan-permainan serta perkhidmatan di PS Store dijual serta dibeli menggunakan mata wang Ringgit Malaysia dan tidak bergantung harap kepada nilai matawang naik atau turun.

Satu kesan secara langsung melalui sokongan rasmi adalah komuniti PlayStation adalah lebih besar di Malaysia berbanding dengan konsol-konsol lain. Komuniti yang besar akan memudahkan pemain untuk berhubung, ataupun menjual-beli permainan di “pasaran sekunder”.

DualSense

Tidak dinafikan, apabila PlayStation 5 mengumumkan alat kawalan mereka, saya sedikit kecewa dengan apa yang ditawarkan oleh Xbox Series X, iaitu alat kawalan yang lebih kurang sahaja. Manakala PS5 pula hadir dengan DualSense yang menyertakan pelbagai fungsi baharu seperti haptic feedback dan juga adaptive trigger.

Pada awalnya, saya mempunyai perasaan yang bercampur mengenai DualSense, pandangan pertama adalah tidak baik, ia tidak selesa untuk dipegang, dan haptic feedback tidak sentiasa berjaya. Namun, selepas menggunakannya lebih lama saya mula menyukai alat kawalan ini, permainan yang menggunakan kedua-dua fungsi tersebut dengan baik juga akan memberi satu pengalaman baharu kepada sesi permainan.

Potensi DualSense masih tidak dipenuhi dengan menyeluruh, akan tetapi dengan kesemua fungsi ini sudah tersedia ada, ia boleh menjaminkan satu konsol yang lebih ke-depan berbanding konsol-konsol lain.

Selain Dualsense, konsol PS5 sendiri hadir dengan beberapa kelebihan berbanding Xbox Series X, antaranya adalah mempunyai USB-C di bahagian depan, sangat berguna jika anda mempunyai storan luaran yang menggunakan USB-C. PS5 juga menyokong Wifi-6 yang akan memaksimumkan lagi kelajuan internet, bagi pemilik yang mempunyai kelajuan internet tertentu.

Antaramuka Generasi Baharu

Jika anda membaca artikel mengenai perkara yang Xbox Series X lebih baik berbanding PS5, antaranya adalah saya lebih menyukai antaramuka untuk Xbox Series berbanding di PS5. Ia benar, saya masih merasakan yang antaramuka untuk PS5 agak sukar untuk difahami dan akan mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri.

Meskipun begitu, antaramuka PS5 hadir dengan pelbagai fungsi yang tidak disertakan oleh mana-mana konsol lain dan saya merasakan ia seharusnya menjadi fungsi asas bagi konsol generasi baharu. Kebanyakan fungsi ini kebiasaan terhad kepada permainan tertentu sahaja akan tetapi saya yakin yang lebih banyak pembangun yang akan mengambil kesempatan fungsi ini.

Antara fungsi tersebut adalah “Activities”, ia akan memperlihatkan kemajuan anda di dalam sesetengah permainan. Bagi permainan yang mempunyai banyak colletible contohnya, ia akan memudahkan anda untuk melihat kemajuan terkini anda. Selain itu, permainan seperti Spider-man: Miles Morales, anda boleh mengakses “Challenge” secara terus tanpa perlu membuka dan mengembara di dalam permainan. Perkara ini sangat membantu anda untuk menjimatkan masa, terutama jika anda mempunyai mod ataupun misi tertentu yang ingin diselesaikan. Ia juga sangat bagus untuk pengumpul trofi.

Bercakap mengenai trofi, terdapat juga fungsi di mana anda boleh melihat tunjuk ajar ataupun video cara untuk menyelesaikan sesuatu trofi. Ia sangat berguna jika anda betul-betul buntu untuk mendapat sesuatu trofi. Fungsi ini adalah terhad untuk permainan yang menyokong dan juga untuk pelanggan PS Plus.

Antaramuka PS5 juga lebih responsif dan menggunakan resolusi 4K, membantu untuk memberikan antaramuka yang lebih menawan.

PlayStation Plus

Xbox Game Pass Ultimate bagi saya adalah perkhidmatan langganan terbaik berbanding mana-mana penawaran oleh pengeluar konsol yang lain, akan tetapi apabila kita membandingkan PlayStation Plus sahaja, ia adalah yang terbaik bagi kategori ini. Tawaran yang sama oleh Microsoft, adalah Xbox Live Gold, yang mempunyai minggu menarik sebelum ini.

Sebab utama PS Plus dan Xbox Live Gold termasuk juga Nintendo Switch Online dilanggan adalah ia diperlukan jika anda ingin bermain permainan secara dalam talian. Selain daripada itu, pelanggan juga akan mendapat permainan percuma dan diskaun tambahan untuk membeli permainan.

Mengapa saya katakan PS Plus adalah terbaik kerana ia adalah lebih berbaloi jika ingin dibandingkan dengan Xbox Live Gold. Terutama kerana harga langganan yang lebih murah iaitu RM159 untuk setahun, permainan percuma yang ditawarkan setiap bulan juga biasanya lebih menarik dan ia juga menyertakan PlayStation Plus Collection untuk pemilik PS5.

Manakala bagi Xbox Live Gold, jika di Amerika Syarikat ia adalah $59.99 (~RM242) setahun, anda boleh mencari di pasaran yang lebih murah dalam lingkungan $40 (~RM160), namun ia juga mempunyai tawaran permainan juga kurang menarik terutama jika anda tidak inginkan permainan daripada konsol generasi lepas. Ini berkemungkinan adalah kerana mereka ingin memfokuskan kepada penawaran Xbox Game Pass.


Lima perkara di atas merupakan pada pendapat saya kelebihan utama untuk PlayStation 5 berbanding Xbox Series X. PS5 juga mempunyai kelebihan melalui spesifikasi storan yang berkelajuan lebih tinggi akan tetapi buat masa ini, pembangun permainan masih tidak menggunakan sepenuhnya potensi storan tersebut.

Ini adalah perkara yang sama saya nyatakan di penulisan untuk Xbox Series X iaitu selepas menggunakan kedua-dua konsol lebih kurang dua bulan, saya boleh nyatakan yang anda tidak akan melakukan kesilapan di dalam memilih antara dua konsol ini. Kedua-duanya adalah konsol yang baik.

Leave a Reply