Sony Interactive Entertainment (SIE) tidak melakukan pengumuman utama ketika acara Consumer Electronics Show (CES) akan tetapi Presiden SIE, Jim Ryan ada berkongsi video pendek di mana beliau mengumumkan perkembangan terbaru mengenai PlayStation.

Antara yang dikongsi oleh Jim Ryan adalah PlayStation 5 merupakan konsol paling berjaya yang dilancarkan oleh SIE, ia juga merupakan pelancaran konsol terbesar sepanjang zaman. Pada akhir tahun lepas, telah dilaporkan yang konsol tersebut terjual sebanyak 3.4 juta unit walaupun mempunyai pengeluaran yang terhad akibat pandemik Covid-19.

Beliau juga mengatakan yang dua siri TV serta filem berdasarkan IP SIE akan dikeluarkan pada tahun ini iaitu filem Uncharted dan siri TV The Last of Us. Uncharted lakonan Tom Holland telah disahkan akan tiba pada tahun ini, namun The Last of Us buat masa ini masih tiada tarikh, oleh itu tidak pasti jika beliau juga mengatakan yang siri TV tersebut akan tiba pada tahun ini. Seperti diumumkan sebelum ini, The Last of Us akan dikeluarkan oleh HBO melalui HBO Max.

Pada pengakhiran video, diperlihatkan juga tarikh pelancaran untuk beberapa permainan yang akan tiba di PlayStation 5. Ia adalah tarikh seperti yang diumumkan sebelum ini kecuali Pragmata yang tampaknya tertunda ke tahun 2023 berbanding 2022 diumumkan sebelum ini. Berikut adalah senarai permainan yang dinyatakan;

  • Ratchet & Clank – 2021
  • Horizon Forbidden West – 2021
  • Returnal – 19/3/2021
  • Pragmata – 2023
  • Solar Ash – Jun 2021
  • Kena: Bridge of Spirits – Mac 2021
  • Stray – Oktober 2021
  • Ghostwire: Tokyo – Oktober 2021
  • Little Devil Inside – Julai 2021
  • Project Athia – Januari 2022
  • Hitman III – Januari 2021

Sohor Kini