Jika anda membaca artikel Pilihan Aksiz saya sebelum ini, di antara Xbox Series dan PlayStation 5, saya telah memilih PlayStation 5 Digital Edition sebagai konsol terbaik untuk saya. Selepas lebih sebulan menggunakan kedua-dua konsol, saya boleh katakan yang pilihan saya tersebut masih benar.
Walau bagaimanapun, saya juga berpendapat yang setiap konsol mempunyai penawaran tersendiri yang menjadikan ia lebih baik untuk sesetengah pemain berbanding konsol lain. Melalui artikel ini, saya akan berkongsi 5 sebab mengapa Xbox Series X lebih baik berbanding PlayStation 5. Ia adalah untuk Xbox Series X akan tetapi mungkin akan ada beberapa sebab yang juga benar untuk Xbox Series S.
Jika anda pengikut setia konsol PlayStation jangan risau,anda boleh baca juga artikel saya untuk “5 Sebab Mengapa PlayStation 5 Lebih Baik Berbanding Xbox Series X“
Xbox Game Pass
Bagi saya Xbox Game Pass merupakan “permainan” eksklusif terbaik yang pernah dilancarkan oleh mana-mana pengeluar konsol. Ia adalah perkhidmatan yang menjadi sumber utama kepada permainan-permainan yang saya main sepanjang saya memiliki Xbox Series X. Hadirnya EA Pass dan diura-urakan Uplay+ memberi nilai tambah kepada perkhidmatan ini.
Dengan harga permainan tampaknya meningkat untuk generasi baharu ini, “Netflix untuk Permainan Video” adalah perkhidmatan yang hadir tepat pada waktunya. Ini ditambah lagi Microsoft juga telah menjanjikan kesemua permainan yang diterbitkan oleh Xbox Game Studios akan dilancarkan terus melalui Xbox Game pass.
Bagi PlayStation 5, mereka menyertakan permainan percuma melalui PS Plus dan juga perkhidmatan langganan PS Now akan tetapi pada hemat saya tawaran yang disertakan adalah tidak sebaik Xbox Game Pass, terutama untuk permainan terbaru.
Jika mengikut harga langganan di US, ia adalah $9.99 (~RM40) untuk Xbox sahaja atau $14.99 (~RM60) untuk Ultimate yang turut menyertakan untuk PC dan Xbox Live Gold. Ia mungkin mahal, akan tetapi anda tidak semestinya melanggan setiap bulan, anda boleh langgan apabila mempunyai permainan yang ingin dimainkan sahaja. Tambahan, terdapat juga cara untuk mendapatkannya dengan lebih murah, yang membawa saya kepada sebab seterusnya.
“Pasaran Kelabu”
Xbox tidak dilancarkan secara rasmi di Malaysia, Xbox Store ataupun Xbox Live juga tidak hadir secara rasmi. Oleh itu, jika anda memiliki konsol Xbox, anda tidak boleh membeli permainan ataupun perkhidmatan digital secara rasmi. Dengan kata lain anda perlu membelinya daripada negara yang menyokong. Adakah ia dibenarkan? Mungkin tidak, tetapi buat masa ini Microsoft tampaknya tidak memandang serius perkara tersebut.
Kelebihan yang hadir melalui kekurangan ini adalah anda dapat membelinya daripada negara-negara yang mempunyai harga yang lebih murah. Ini termasuk juga untuk langganan bagi Xbox Game Pass, contohnya bagi Xbox Game Pass Ultimate jika saya membeli langganan tersebut dari Turki, ia berharga lebih kurang $10 iaitu $4.99 lebih murah berbanding harga di US. Ia lebih murah jika anda membeli dengan bulanan yang lebih lama.
Xbox juga tidak menyukarkan untuk menggunakan “pasaran kelabu” ini, di mana anda hanya perlu menukarkan lokasi di tetapan Xbox. Melaluinya, saya dapat membeli permainan dan juga melanggan perkhidmatan dengan lebih murah.
PlayStation 5 pula hadir dengan pasaran rasmi di Malaysia dan bagi saya ia adalah satu perkara yang baik, namun ia juga menyebabkan pemain terhad kepada perkhidmatan yang tersedia. Pemain boleh menghasilkan akaun-akaun negara lain, akan tetapi ia akan menyusahkan dan profil pemain sekarang terbahagi.
Sokongan Keserasian Belakang
Xbox Series dan PlayStation 5 kedua-duanya dapat membaca dan memainkan permainan daripada konsol Xbox One dan PlayStation 4, ia adalah satu fungsi yang sangat berguna. Ini ditambah lagi bagi Xbox Series apabila ia menyokong Xbox generasi pertama. Ini memberikan nilai tambah kepada konsol ini.
Jika anda ingin bermain permainan-permainan lama daripada Xbox 360 contohnya, anda tidak perlu mengharapkan permainan tersebut menerima versi Remastered ataupun menggunakan pelagak, sebaliknya anda boleh mencari permainan tersebut di Xbox Store dan memasangnya. Benar, ia tidak menyokong kesemua permainan akan tetapi permainan-permainan utama biasanya disokong.
Manakala bagi PS5, mereka sekadar menyokong permainan PS4 yang bagi saya sudah cukup baik akan tetapi masih ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan apa yang disertakan oleh Xbox Series X, ini ditambah lagi, permainan-permainan yang dimainkan secara keserasian belakang ini juga mempunyai kualiti yang lebih baik berbanding biasa, antaranya Auto-HDR.
Storan Lebih Besar, Pengurusan Lebih Baik
Xbox Series X hadir dengan storan 1TB dan jumlah yang boleh digunakan adalah lebih kurang 800GB, manakala PS5 pula hadir dengan 825GB dengan jumlah yang boleh digunakan lebih kurang 667GB. Walaupun, PS5 di atas kertas menyertakan SSD yang lebih pantas serta penggunaan saiz 825GB yang dikatakan paling optimum, namun buat masa ini kelebihan tersebut tidak sangat diguna pakai oleh pembangun permainan video.
Oleh itu, jumlah storan yang lebih besar memberi ruang yang “selesa” untuk pemain memasang permainan tanpa terlalu risau yang storan akan penuh terlalu cepat. Ini ditambah lagi jika anda memiliki langganan Xbox Game Pass, sudah semestinya anda ingin mencuba pelbagai permainan yang tiba. Storan tambahan boleh dibeli akan tetapi harganya adalah terlalu mahal untuk kedua-dua konsol, sekurang-kurangnya buat masa sekarang.
Selain jumlah storan yang lebih besar, Xbox Series X juga mempunyai sistem pengurusan storan yang lebih baik berbanding PS5. Jika anda mencapai had untuk storan dan ingin memasang permainan baharu, tetapi pada masa sama tidak ingin untuk memasang semula permainan-permainan lain, anda boleh pindahkan permainan lama yang tidak ingin dimainkan dalam masa terdekat ke storan luaran HDD ataupun SSD. Ia boleh dipindahkan semula ke Xbox Series X pada bila-bila masa sahaja.
Selain itu, saya yang sering merakam sesi permainan juga menyukai fungsi yang disertakan di Xbox Series X di mana fail tersebut boleh disimpan terus ke storan luaran berbanding di PlayStation 5 anda perlu pindahnya kemudian, ia bukan sahaja mengambil masa tetapi juga akan menyebabkan penggunaan storan yang tinggi.
Antaramuka Yang Lebih Mudah
Xbox Series boleh dikatakan mengekalkan antaramuka yang sama dengan Xbox generasi lepas, namun untuk saya yang tidak pernah memiliki konsol oleh Microsoft ini, ia adalah pengalaman saya buat pertama kali menggunakannya, dan saya boleh katakan berbanding dengan PS5 yang mempunyai rekaan baharu, saya lebih menyukai antaramuka Xbox Series terutama untuk penggunaan asas.
Tidak dinafikan, PS5 mempunyai fungsi yang lebih banyak di mana saya akan menjadikan ia antara sebab mengapa anda perlu membeli PS5 berbanding Xbox Series X di artikel yang akan tiba dalam masa terdekat akan tetapi untuk penggunaan am, ataupun penggunaan yang tidak spesifik, antaramuka Xbox Series lebih mudah untuk difahami.
Saya sudah menggunakan Xbox Series X dan PlayStation 5 hampir 2 bulan, dan kedua-dua antaramuka yang disertakan adalah pengalaman baharu untuk saya, dan pada pengalaman saya, saya mengambil masa untuk memahami antaramuka Xbox Series X lebih cepat berbanding PlayStation 5. Sehingga sekarang saya masih keliru dengan pelbagai cara untuk mengakses sesuatu di konsol Sony tersebut.
Selepas meluangkan lebih masa, saya yakin akan biasa dengan kedua-dua antaramuka, tetapi pada awal ini, Xbox Series X mempunyai antarmuka yang lebih mesra dan mudah untuk difahami.
Lima perkara di atas merupakan pada pendapat saya kelebihan utama untuk Xbox Series X berbanding PlayStation 5. Saya juga terfikir untuk menyertakan rekaan konsol, kerana bagi saya rekaan Xbox Series X lebih kecil dan lebih mudah untuk diurus, akan tetapi saya merasakan ia terlalu pilihan tersendiri, tambahan konsol selepas dipasang, rekaan tidak sangat difikirkan.
Seperti yang saya katakan di atas, selepas menggunakan kedua-dua konsol lebih kurang dua bulan, saya boleh nyatakan yang anda tidak akan melakukan kesilapan yang di dalam memilih antara dua ini. Kedua-duanya adalah satu konsol yang baik.