Bluepoint Games boleh dikatakan satu studio pembangun permainan yang sangat terkenal dengan membawa permainan klasik dengan nafas baharu di mana sebelum ini, mereka membawa permainan Shadow Of The Colossus kembali ke konsol PlayStation 4 dengan peningkatan visual dan bentuk permainan.
Kini dengan konsep yang sama, Bluepoint Games bersama Sony Interactive Entertainment membawa kembali satu permainan klasik yang menjadi ikutan ramai dan boleh dikatakan permainan asal yang melahirkan siri “Soulsborne” iaitu Demon’s Souls, ke konsol PlayStation 5 sebagai permainan olahan semula.
Walaupun permainan ini dilancarkan pada Disember lepas secara rasmi buat pasaran Malaysia bersama dengan pelancaran konsol PlayStation 5, dukacitanya atas masa yang terhad, saya sendiri tidak sempat untuk menghabiskannya untuk ulasan penuh. Namun, hari ini saya masih lagi akan kongsikan pendapat saya berkenaan permainan ini dan ini adalah pandang pertama untuk Demon’s Souls di PlayStation 5.
Kandungan Permainan Kekal Asli Dengan Olahan Semula Visual Yang Menawan
Semestinya apabila bercakap berkenaan permainan olahan semula, perkara pertama yang akan saya tekankan adalah visual permainan yang mana selang 11 tahun, melakukan pelbagai peningkatan visual dan audio yang mana meletakkan permainan Demon’s Souls sebagai salah satu permainan eksklusif PlayStation 5 yang sangat menawan setakat ini.




Jika ingin dibandingkan dengan versi PlayStation 3 seperti yang anda lihat di atas, sememangnya Bluepoint Games telah melakukan satu olahan yang sangat berbeza bukan sahaja dari segi visual malah paparan antara muka yang lebih mesra pemain dan kecil, sekaligus tidak mengganggu skrin permainan.
Manakala dari segi kandungan dan bentuk permainan pula, saya harus puji Bluepoint Games kerana mengekalkan lokasi musuh-musuh dan juga kecerdasan buatan mereka yang mana walaupun agak bodoh, tetapi sekurangnya ia adalah sama dengan apa yang From Software hasilkan lebih dari 10 tahun lepas.

Jika anda pernah bermain permainan asal Demon’s Souls di konsol PlayStation 3, tidak banyak yang saya boleh cakapkan atas sebab beberapa aspek permainannya adalah sama sahaja. Meskipun begitu, Bluepoint Games masih menyertakan beberapa kandungan baharu seperti senjata baharu, beberapa perubahan nama, sokongan multi-pemain sehingga 6 pemain, perubahan kawalan bergolek dan kamera bersama-sama dengan mod baharu “Fractured Mode” yang menterbalikkan dunia permainan kepada arah songsang.
Dari segi aspek keseluruhan, asas permainan ini masih lagi serupa di mana pemain masih lagi akan menghasilkan watak pemain sendiri, berupaya untuk meningkatkan kelengkapan, menyimpan barang, meningkatkan watak dengan menggunakan “Soul” dan sebagainya. Kesemua aspek bentuk permainan masih lagi kekal namun perubahan besar permainan ini hanyalah dari segi aspek visual dengan grafik yang lebih menawan, prestasi yang lancar dan juga audio samada muzik ataupun suara latar yang lebih baik.

Bentuk Permainan Yang Sukar Dan Akan Menghukum Pemain
Dari segi bentuk permainan, seperti biasa siri Soulsborne, pemain akan bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan dengan bertempur dengan pelbagai jenis musuh termasuklah beberapa ketua musuh yang sangat mencabar.
Setelah pemain maju di sesuatu lokasi, pemain juga akan menyelesaikan beberapa tekaria ringkas dengan membuka kunci sesuatu kawasan, untuk membuka laluan pintas dari tempat permulaan ke tempat bertempur dengan ketua musuh.
Selain itu, permainan ini juga menggunakan secara “mata wang” pembelian dan peningkatan watak dengan penggunaan “Souls” atau roh di mana setiap kali pemain tumpaskan musuh, pemain akan menerima Souls dengan sejumlah yang kecil. Pemain kemudian boleh gunakan Souls tersebut untuk membeli barangan, menaik-taraf kelengkapan, meningkatkan statistik watak dan sebagainya.

Sepanjang pengembaraan, pemain juga akan bertemu dengan beberapa watak NPC yang akan membuka lagi plot penceritaan permainan dan pada masa yang sama mereka akan turut memberi ganjaran dan sebagainya buat pemain. Pemain juga mempunyai hub utama yang dipanggil Nexus, di mana situ pemain akan bertemu dengan pelbagai watak NPC yang akan membantu pemain sama ada jual beli ataupun menyimpan barangan pemain.
Dari segi cabaran, permainan ini sememangnya akan menghukum pemain jika pemain mati berulang kali di satu lokasi di mana status dunia ataupun dipanggil “World Tendency” akan memberi kesan terhadap pemain jika pemain mati berulang kali di mana dunia tersebut akan dilabelkan sebagai warna hitam atas sebab kematian pemain. Melaluinya, musuh akan jadi lebih berkuasa dan akan terdapat beberapa musuh tambahan. Untuk menyusahkan pemain lagi, pemain juga akan diceroboh oleh pemain lain secara atas-talian yang dipanggil Black Phantom, yang mana semestinya akan lagi memberi cabaran buat pemain. Selain itu, jika pemain mati, pemain juga akan berada di dalam bentuk “Soul” yang mana nyawa pemain akan dikurangkan. Namun, pemain boleh dapatkan semula badan pemain dengan menggunakan Stone Of Ephemeral Eyes, namun barangan tersebut agak berharga untuk digunakan berulang kali.
Walaupun begitu, jika pemain biasa dengan gaya permainan, kelengkapan, statistik watak dan barangan-barangan yang tersedia di dalam dunia Demon’s Souls ini, pemain semestinya akan maju di dalam permainan ini dengan lebih mudah.

Demon’s Souls sememangnya satu permainan yang sukar dan menghukum pemain, namun ianya juga mempunyai ganjaran yang besar dan jika anda sering bermain dan sering berlatih, seperti kebanyakkan permainan Soulsborne yang lain, anda pasti akan mahir di dalam permainan ini.
Satu Permainan Eksklusif PlayStation 5 Yang Baik, Tetapi Bukan Untuk Semua
Jika anda adalah seorang peminat siri permainan sukar dan penuh cabaran seperti permainan Soulsborne lain seperti Dark Souls ataupun Bloodborne, semestinya saya sangat mengesyorkan anda untuk dapatkan permainan eksklusif PlayStation 5 ini di mana ianya bukan sahaja sangat mencabar, malah akan terus menghukum pemain jika pemain mati berkali-kali dengan dunia dan musuh yang lebih sukar untuk pemain tumpaskan.
Pada masa yang sama, dengan visual olahan semula yang sangat bagus dan terperinci oleh Bluepoint Games dengan kelancaran permainan dengan di konsol PlayStation 5, Demon’s Souls boleh dikatakan salah satu permainan pelancaran terbaik untuk konsol tersebut.
Akan tetapi, untuk anda yang tidak pernah bermain permainan Soulsborne ataupun tidak menyukai permainan genre ini, saya lebih syorkan anda untuk bermain permainan Soulsborne lain seperti Sekiro: Shadows Die Twice atau siri Nioh yang jauh lebih mudah dan mesra untuk pemain baharu.
Penafian: Kod Permainan Demon’s Souls Disediakan Oleh Sony Interactive Entertainment.