Permainan genre “Soulsborne” semestinya tidak asing buat kalangan peminat siri Dark Souls, Bloodborne dan Sekiro: Shadows Die Twice yang mana boleh dikatakan From Software berjaya menghasilkan satu bentuk permainan yang sangat sukar dan menjadi kegilaan ramai.

Namun, pada 2017 lepas, Koei Tecmo dan Team Ninja cuba untuk memasuki genre ini dengan permainan Nioh buat konsol PlayStation 4 dan PC yang mana ianya juga merupakan salah satu permainan bergenre Soulsborne yang menjadi kesukaan saya sendiri atas sebab bentuk permainan “Samurai” dan “Magis” dari era Jepun yang membuatkan ianya sangat unik sekali.

Terkini, Koei Tecmo dan Team Ninja meneruskan siri tersebut dengan Nioh 2 yang mana ianya adalah prekuel kepada permainan pertama sekitar 45 tahun. Seperti permainan pertama, pemain akan mengembara dari satu lokasi ke satu lokasi dan menjumpai pelbagai watak daripada sejarah Sengoku di Jepun.

Dengan mempunyai bentuk permainan yang sangat sukar dan mendalam, adakah Nioh 2 ini masih menarik untuk dimainkan untuk pemain veteran mahupun pemain baharu? Ini adalah ulasan saya.

Cerita

Memandangkan permainan Nioh ini bertempatkan di dunia fantasi di Jepun, ianya sedikit sebanyak menyertakan pelbagai bentuk penceritaan berfantasi yang menyertakan pelbagai elemen semangat dan Yokai, iaitu makhluk syaitan berdasarkan sejarah Jepun. Seperti yang kami terangkan di atas, permainan ini ditempatkan sekitar 45 tahun sebelum permainan pertama.

Permulaan permainan ini bermula yang mana pemain akan bermain seorang Samurai yang bernama Hide di mana di dalam pengembaraan beliau ketika peperangan era Sengoku, beliau menemui seorang pendagang yang bernama Tokichiro yang menyelamatkan pemain akibat watak pemain hampir menjadi seekor Yokai. Selepas daripada itu, pemain kemudian mengambil keputusan untuk mengembara bersama Tokichiro untuk hidup di dalam era tersebut di mana Tokichiro memburu dan menjual batu-batu Amrita, iaitu batu berkuasa di dalam dunia permainan Nioh ini.

Penceritaan permainan semestinya banyak dikaitkan dengan pelbagai watak bersejarah seperti Nobunaga Oda, Akechi Mitsuhide dan sebagainya. Semestinya bagi anda yang meminati sejarah Jepun yang diolahkan kepada bentuk fantasi anda sendiri pasti akan menyukai permainan ini.

Tambahan itu, jika anda bermain permainan Nioh pertama, anda sendiri pasti akan menghargai beberapa watak daripada permainan pertama yang lebih muda dan sebagainya. Semestinya anda tidak perlu bermain permainan pertama untuk memahami penceritaan permainan namun, jika anda bermain Nioh pertama, saya percaya anda akan harga beberapa kandungan yang disertakan dari segi aspek penceritaan.

Selain itu, aspek kebanyakan pergaduhan dan perpecahan antara watak juga agak tipikal dengan elemen perebutan kuasa yang mana pada pendapat saya adalah sangat bersesuaian dan tepat dengan sejarah yang diperlihatkan melalui permainan ini.

Secara keseluruhan, penceritaan permainan ini tidaklah begitu unik ataupun berlainan. Akan tetapi apa yang saya hargai adalah bagaimana permainan ini sampaikan melalui penceritaan garis masa yang agak unik ketika hampir penghujung permainan ini yang saya boleh katakan pengembaraan yang sangat berbaloi buat mereka yang bermainnya.

Grafik

Dari segi grafik, semestinya Koei Tecmo dan Team Ninja menghasilkan satu hasil permainan yang tidak mengecewakan di mana kualiti grafik permainan ini dihasilkan dengan begitu baik sekali. Walaupun dari segi aspek perbezaan permainan pertama dan kedua ini telah begitu nyata, ianya masih lagi memaparkan bentuk visual yang menawan.

Saya juga menyukai dunia permainan dan watak yang dihasilkan di mana terdapat beberapa watak yang kelihatan seakan pelakon suara asalnya seperti Mumyo, yang dilakonkan oleh Haru dan boleh dikatakan hasil rekaan watak adalah sangat mirip sekali. Tidak dapat dilupakan pula visual permainan dari segi persekitaran dan musuh-musuh yang mana segala raksasa atau hantu sejarah cerita dongeng klasik Jepun, diterjemahkan dengan baik sekali.

Selain itu, apabila bercakap berkenaan watak, saya juga amat menyukai tetapan rekaan watak yang anda boleh lakukan pada permulaan permainan ini yang mana ianya menyertakan rekaan watak yang sangat mendalam dengan pelbagai tetapan. Jika anda sering lihat di Internet, terdapat ramai pemain yang menghasilkan pelbagai watak daripada permainan lain termasuklah siri kartun, yang mana boleh dikatakan kebebasan rekaan watak di dalam permainan ini menyebabkan kualiti permainan ini ditingkatkan lagi.

Apa yang saya sangat suka berkenaan permainan Nioh 2 adalah ia menyertakan dua tetapan utama untuk anda bermain permainan ini yang mana tetapan aksi akan membenarkan anda untuk bermain dengan kadar bingkai sesaat sebanyak 60FPS dengan resolusi yang lebih rendah. Manakala tetapan filem, ianya mengehadkan kadar bingkai sesaat sebanyak 30FSP dengan resolusi yang lebih tinggi.

Dengan penyertaan tetapan ini, semestinya Nioh 2 ini merupakan satu permainan yang sangat hargai pilihan pemain disamping menyediakan gaya ataupun cara permainan yang pemain inginkan. Semestinya setelah pemain memilih prestasi tersebut (di mana saya sendiri memilih pilihan aksi yang mempunyai sokongan kadar bingkai sesaat sebanyak 60FPS dengan resolusi 1080p di PlayStation 4 Pro) ianya dimainkan dengan begitu baik sekali tanpa sebarang masalah sepanjang sesi permainan saya.

Atas sebab kesemua di atas, saya sendiri berasa mengapa permainan ini dihasilkan dengan ketelitian yang sangat bagus sekali bukan sahaja dari segi kualiti grafik, malah rekaannya yang sangat memberangsangkan sekali.

Audio

Seperkara lagi yang apa saya boleh katakan adalah satu kualiti yang tinggi buat permainan ini adalah hasil audio muzik latar yang sangat memberangsangkan. Segala muzik ketika bertempur dengan ketua musuh sehinggalah kualiti audio ketika pengembaraan, Team Ninja semestinya menghasilkan satu permainan yang sangat mengasyikkan terutama buat mereka yang meminati genre permainan sebegini.

Muzik latar permainan ini boleh dikatakan mempunyai pelbagai elemen bunyian dan muzik klasik Jepun, yang mana bukan sahaja dihasilkan dengan baik, malah kesan muzik juga tepat ketika saat permainan. Terdapat satu ketua musuh yang saya sendiri tidak boleh lupa di dalam permainan ini di mana muziknya dimainkan dengan begitu mengasyikkan sekali dan ianya berubah dari semasa ke semasa, membuatkan saya lebih semangat ketika bertempur dengan ketua musuh tersebut.

Tambahan itu, jika anda yang meminati siri bergenre Soulsborne ini, anda sendiri juga pasti akan menghargai bagaimana kesan audio permainan ini memainkan peranan yang sangat besar ketika anda bertempur dengan musuh dan ingin mengetahui lokasi musuh dan sebagainya, dengan mendengar arah audio permainan ini.

Saya sendiri sangat mengesyorkan anda untuk bermain permainan ini dengan menggunakan fon kepala ataupun mempunyai set audio yang berkualiti, agar anda akan dapat kesan musuh dengan bunyian, yang mana hasil dan bentuknya dihasilkan dengan baik sekali.

Jika saya ingin memberi sedikit aduan, mungkin adalah suara latar bahasa Inggeris permainan ini yang agak mengecewakan. Ketika saya mula bermain permainan ini dan mendengar suara latar bahasa Inggeris, cepat-cepat saya tukarkan kepada suara latar Jepun yang mana lebih sesuai dan dilakonkan dengan lebih baik atas sebab permainan ini berlatar belakangkan di Jepun.

Kawalan

Jadi mari kita ke aspek permainan Nioh 2 yang terpenting sekali iaitu kawalan permainan. Jika ingin saya simpulkan, ianya adalah sempurna. Ya betul, permainan ini adalah sangat sukar dan sememangnya akan menghukum pemain seteruknya jika pemain membuat kesilapan, akan tetapi ianya juga adalah mengapa membuatkan permainan ini begitu baik sekali.

Semestinya aspek utama permainan Nioh pertama kembali dengan pelbagai pilihan senjata dan pernaik-tarafan watak yang dilakukan di lokasi kuil ataupun di skrin pemilihan misi. Segala yang terdapat di dalam permainan pertama kesemuanya diterjemahkan semula dengan begitu baik sekali, termasuklah gaya pertempuran yang mana pada pendapat saya adalah mengapa siri Nioh ini adalah begitu unik sekali.

Jadi secara amnya, permainan ini mempunyai beberapa senjata pilihan yang anda boleh guna seperti pedang Katana, Switchglaive yang berupaya untuk menukar bentuk kepada pelbagai senjata, Tonfa dan sebagainya. Setiap senjata tersebut semestinya mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri, sekaligus mengapa buat permainan ini berasa sangat seimbang.

Setiap senjata jarak dekat tersebut juga mempunyai gaya pertempuran berbeza seperti gaya pertempuran atas (High Stance) gaya pertempuran sederhana (Mid Stance) dan gaya pertempuran rendah (Low Stance) yang mana ianya akan memberi kesan terhadap jumlah kekuatan serangan dan kepantasan senjata, yang berasa sangat pelbagai ketika bertempur.

Selain itu, pemain juga berupaya untuk membawa senjata jarak jauh seperti senapang dan busur panah, yang mana sedikit sebanyak merupakan senjata yang sangat penting untuk menyerang musuh dari jauh secara senyap ataupun mengurangkan beberapa Ki ataupun stamina musuh jika diserang di lokasi kelemahan mereka.

Walaupun begitu, apa yang membuatkan permainan ini berlainan daripada permainan Nioh pertama adalah, kali ini watak pemain adalah merupakan separuh manusia dan separuh Yokai, sekaligus pemain dilengkapi dengan kuasa Yokai.

Kuasa ini sedikit sebanyak seakan Devil Trigger di dalam siri Devil May Cry di mana jika meter kuasa tersebut penuh, pemain berupaya untuk mengubah untuk menjadi Yokai dan membuat pelbagai serangan yang lebih kuat dan pantas.

Selain itu, permainan ini juga menyertakan bentuk Burst Counter yang mana ianya memberi peluang kepada pemain untuk menyerang balas sesetengah serangan musuh (Serangan “Burst Attack” yang mempunyai lampu merah menyala sebelum serangan tersebut bermula) sekaligus memberi peluang kepada pemain untuk menumpaskan musuh. Fungsi ini juga sedikit sebanyak membuatkan permainan ini berasa sangat seronok untuk dimainkan dan pada masa yang sama ia membuatkan permainan ini lebih senang untuk pemain baharu.

Meskipun begitu, ianya tidak bermakna fungsi tersebut mudah untuk dilakukan, malah pemain juga perlu menggunakannya tepat pada masa agar serangan balas tersebut berkesan. Bercakap berkenaan serangan balas, permainan ini juga menyertakan 3 jenis pilihan utama semangat “Guardian Spirit” yang mana setiap serangan Burst Counter tersebut adalah berlainan antara satu sama lain.

Setelah pemain mencapai bahagian tengah permainan ini, pemain juga akan dilengkapi dengan fungsi Soul Core di mana melaluinya, pemain berupaya untuk menggunakan beberapa serangan berdasarkan musuh-musuh yang pemain tumpaskan. Memandangkan watak pemain adalah separuh manusia dan separuh Yokai, semestinya konsep ini berasa sangat menarik sekali dan pada masa yang sama memberi kelainan buat sesi pertempuran permainan.

Untuk menambahkan lagi fungsi dan kedalaman permainan ini, kemahiran Soul Core tersebut juga boleh ditingkatkan yang mana membuatkan segala mekanik permainan ini berasa lebih kompleks dan pada masa yang sama ia menjadikan permainan ini lebih terbuka dengan kepelbagaian kandungan yang disertakan.

Dari segi pembinaan watak pula, selain daripada jenis senjata yang saya nyatakan di atas, permainan ini juga menyertakan pelbagai kandungan-kandungan pengubah-suaian watak dari segi kemahiran Omyo (Magis) dan juga kemahiran Ninja (Ninjutsu) yang mana ianya sangat membantu pemain untuk mengelak, ataupun meningkat kuasa pemain.

Semestinya seperti permainan pertama, Nioh 2 memberi kebebasan buat pemain untuk menghasilkan dan memilih pembinaan watak yang pemain inginkan sama ada ingin mempunyai serangan dengan sokongan magis Omyo, ataupun ingin memfokuskan bentuk serangan terus tanpa pertahanan.

Selain itu, pembinaan dari segi kelengkapan juga memainkan peranan yang sangat penting di dalam permainan ini di mana segala pakaian perisai, helmet sehinggalah sarung tangan, akan memainkan peranan sangat penting. Ini atas sebab permainan ini mempunyai 3 aspek bentuk pakaian perisai utama iaitu pakaian perisai yang lebih ringan, di mana jumlah pertahanannya lebih kurang, pakaian perisai bersederhana dari kedua-dua aspek tersebut dan juga pakaian berperisai yang berat dengan pertahanan tinggi, namun akan memberi kesan terhadap pergerakan pemain.

Dari segi misi dan pengembaraan, permainan ini juga adalah sangat mendalam dengan pelbagai misi utama penceritaan dan misi sampingan yang anda boleh lakukan, bukan sahaja untuk tingkatkan kuasa watak pemain, malah pemain juga berpeluang untuk mencari pelbagai lagi kelengkapan menarik melalui misi-misi tersebut.

Selain itu, pemain juga berupaya untuk mengumpul satu makhluk kecil Kodama, ianya mana ia akan membantu pemain dengan memberi restu di kuil, untuk memudahkan pengembaraan pemain sama ada keupayaan untuk mendapatkan barang dengan lebih cepat ataupun tingkat nilai pengalaman yang pemain peroleh selepas menumpaskan musuh.

Manakala dari segi aspek multi-pemain pula, permainan ini menyertakan bentuk koperasi yang sama seperti permainan sebelum ini, namun saya tidak berpeluang untuk mencubanya dengan lebih mendalam atas sebab masalah Internet di rumah saya sendiri. Meskipun begitu, anda masih lagi boleh memanggil pemain lain melalui “Kubur” yang ditinggalkan oleh pemain yang berwarna biru, untuk membantu pemain. Anda juga boleh bertempur dengan pemain lain melalui “Kubur” berwarna merah tersebut. Namun semestinya kedua-dua fungsi ini, watak pemain lain tersebut dikawal oleh komputer.

Boleh dikatakan juga beberapa konsep permainan ini tidaklah asing untuk siri permainan Soulsborne, namun melalui Nioh 2 kali ini, ianya masih lagi mengekalkan pelbagai kandungan baharu yang mana sedikit sebanyak membuatkan kenapa permainan ini berasa begitu unik dan berlainan dengan siri Soulsborne lain.

Saya juga akui terdapat pelbagai lagi kandungan dan mekanik lain yang tidak diterangkan oleh saya secara terperinci seperti Ki Pulse dan sebagainya, atas sebab ianya mempunyai pelbagai mekanik yang sangat mendalam dan pasti membuatkan ulasan ini semakin panjang. Oleh sebab itu, saya juga berasa mengapa permainan ini pasti akan memuaskan hati pemain veteran, di mana mekanik yang mendalam ini mengembangkan lagi bagaimana permainan ini dimainkan.

Namun bagi anda yang baharu dengan siri ini, Nioh 2 mungkin agak sukar dan keterlaluan akibat ianya sangat menghukum pemain dari segi kesilapan yang dilakukan. Sepanjang saya bermain permainan, semestinya saya mati berkali-kali dan hampir putus asa untuk meneruskan permainan ini. Akan tetapi, memandangkan kandungan yang sangat pelbagai, saya juga percaya ianya masih sesuai buat pemain baharu, cuma anda memerlukan latihan dan kesabaran yang tinggi, di mana setiap tindakan anda di dalam permainan ini pasti akan diuji dengan sekerasnya.

Kesimpulan

Nioh 2 semestinya satu permainan yang sangat bagus sekali yang dikembangkan daripada permainan pertama. Bukan sahaja kali ini ianya menyertakan beberapa bentuk pertempuran baharu melalui fungsi Burst Counter, malah dengan mekanik tambahan seperti Soul Cores, ia membuatkan kenapa Nioh 2 kali ini lebih seronok untuk dimainkan berbanding siri Soulsborne yang lain.

Dengan pelbagai pilihan pembinaan watak dengan senjata dan kemahiran yang menarik, semestinya permainan ini adalah satu dunia Jepun yang diterjemahkan dengan aksi dan kandungan Samurai ataupun Ninja yang sangat mendalam dan mengasyikkan sekali.

Tambahan itu, saya juga menyukai cabaran yang terdapat di dalam permainan ini, yang boleh saya katakan adalah permainan Soulsborne paling sukar pernah saya mainkan. Akan tetapi, segala cabaran dan pengembaraan pemain, masih lagi berasa sangat berbaloi sepanjang permainan ini.

Akhir kata, Nioh 2 adalah pelengkap untuk siri Nioh dan satu evolusi permainan yang sangat positif untuk siri Soulsborne untuk pemain veteran dan pemain yang baru ingin berjinak dengan belajar bagaimana seronoknya genre permainan sebegini.

Penafian: Kod Ulasan Nioh 2 disediakan oleh Playstation Asia

Sohor Kini