Shadow of the Colossus asalnya dikeluarkan pada tahun 2005 untuk PlayStation 2 dan dibangunkan oleh Team ICO yang turut mengeluarkan permainan seperti Ico dan yang terbaru The Last Guardian. Shadow of the Colossus ditambah-baikkan buat kali pertama pada tahun 2011 untuk PlayStation 3 dan kali ini sekali lagi ditambah-baikkan untuk PlayStation 4 yang akan dikeluarkan pada 6 Februari. Penambah-baikkan permainan ini dibangunkan oleh Bluepoint Games yang juga bertanggungjawab untuk versi PlayStation 3.

Shadow of the Colossus adalah permainan aksi-pengembaraan yang telah menjadi permainan yang digemari ramai semasa pertama kali dikeluarkan lagi. Persoalan timbul adakah pengeluaran sekali lagi ini adalah perlu?

Cerita

Wander, watak utama yang pemain akan mengawal memasuki tanah terlarang bersama dengan kudanya Agro dan juga seorang perempuan bernama Mono yang sudah meninggal dunia. Wander memasuki kuil yang digelar Shrine of Worship yang terletak di tengah tanah terlarang ini. Mengetahui niat Wander untuk menghidupkan kembali Mono, satu entiti yang dipanggil Dormin mula bercakap dengan Wander. Mereka mengatakan yang menghidupkan kembali sesuatu yang sudah mati adalah perkara yang dilarang untuk manusia tetapi mereka boleh melakukanya tetapi dengan syarat Wander perlu membunuh kesemua 16 colossi yang berada di tanah ini.

Walaupun diberi amaran yang beliau akan membayar harga yang tinggi untuk menghidupkan balik seseorang yang sudah mati, Wander tetap meneruskan hajatnya untuk menghidupkan kembali Mona denga mengikut permitaan Dormin iaitu membunuh kesemua 16 colossi. Pada awal mungkin ramai yang tertanya siapakah Wander, siapakah Mono, kenapa Mono meninggal dunia, apakah hubungan mereka dan pelbagai soalan lagi tetapi permainan tidak memfokuskan penceritaan kepada perihal ini sebaliknya memfokuskan kepada usaha Wander melawan colossi.

Selepas permulaan ini, penceritaan berlaku dengan sangat perlahan. Setiap kali Wander membunuh colossi, Dormin hanya akan memberitahu apakah colossi yang seterusnya hanya di pertengahan sahaja akan ada penceritaan baru yang kami tidak akan terangkan secara terperinci untuk tidak merosakkan pengalaman pemain.

Kemudian selepas colossi terakhir dibunuh akan ada penceritaan untuk menutup permainan ini, soalan-soalan awal yang ditanya sebelum ini masih tidak akan sepenuhnya terjawab. Walaupun penceritaan tidak jelas, ianya tidak lansung mencacatkan penceritaan bahkan menjadikan keseluruhan cerita lebih mendalam dan menarik. Dengan menjadikan penceritaan permainan ini terbuka ia membolehkan untuk pemain membuat intepetrasi mereka sendiri dan secara tidak lansung menjadikan pemain lebih ingin tahu mengenai penceritaan.

Grafik

Andai kita menganggap Shadow of the Colossus adalah permainan baru dan bukannya permainan yang ditambah-baikkan mungkin sebagai permainan yang dikeluarkan pada tahun 2018 grafik permainan ini bukanlah sesuatu yang memukaukan apabila dibandingkan dengan permainan-permainan terbaru akan tetapi apabila kita melihat kembali Shadow of the Colossus versi 2005 dan juga 2011 kita dapat lihat Bluepoint Games telah melakukan sesuatu yang sangat baik dan harus dipuji. Grafik yang diberikan jauh lebih baik, colossi nampak lebih gah terutama rekaan bulu yang sangat realistik, persekitaran mempunyai tekstur yang cukup untuk menjadikan pengembaraan di dalam permainan ini sesuatu yang mengujakan dan prestasi permainan juga jauh meningkat tambah lagi jika dimainkan di PlayStation 4 Pro.

Grafik walaupun kurang apabila dibandingkan dengan permainan-permainan terbaru tetapi dari segi rekaan dunia, rekaan watak, Shadow of the Colossus adalah di tahap yang tinggi walaupun apabila dibandingkan dengan permainan terbaru. Setiap yang dibina di dalam dunia Shadow of the Colossus dilakukan dengan cukup terperinci dan menunjukkan saiz yang besar. Untuk menuju ke tempat-tempat colossi ataupun sekadar ingin mengembara, pemain akan melalui padang rumput, hutan belantara, gunung ganang, padang pasir, tasik dan juga air terjun dan kesemua ini dibina di dalam satu peta yang walaupun tidak besar tetapi variasi dari segi persekitaran memberi gambaran kepada pemain yang tanah terlarang ini adalah satu tempat yang sangat luas.

Kesemua colossi mempunyai rekaan bentuk dan juga tempat mereka tersendiri. Setiap rekaan ini adalah sangat unik untuk setiap colossi dan setiap kali anda tiba di tempat colossi ini berada bukan sahaja anda akan kagum dengan rekaan persekitaran yang semestinya berbeza dengan persekitaran biasa ditambah lagi dengan rekaan watak colossi yang semestinya memberi perasaan yang sangat gah dan epik bukan sahaja kerana saiznya yang sangat besar tetapi juga reka bentuk watak yang sangat menarik. Anda semestinya tidak akan jemu dan juga tidak sabar untuk mengetahui bagaimana rekaan colossi dan juga persekitaran yang seterusnya.

Shadow of the Colossus juga mementingkan persekitaran terutama dari segi kamera. Kamera dalam permainan ini menawarkan sesuatu yang menarik, tetapi kerana perkara ini ada juga kekurangan yang kami akan terangkan lebih lanjut di bahagian kawalan permainan. Perkara yang menarik mengenai kamera dalam Shadow of the Colossus adalah kedudukan kamera membantu menjadikan rekaan dunia lebih menarik, berbanding meletakkan Wander ditengah-tengah frame, Wander diletakkan sedikit ke tepi yang menjadikan persekitaran nampak lebih luas ini juga membantu pemain untuk mengetahui arah yang harus dituju.

Colossi adalah gergasi, setiap kelakuan mereka seharusnya mencipta gegaran dan kamera memainkan peranan ini dengan baik. Apabila colossi menghentak senjata mereka kamera akan bergegar memberikan perasaan cemas kepada pemain. Semasa Wander berpegang kepada colossi sesuatu yang pemain akan melakukan dengan kerap, kamera juga memberi kesan yang sama dengan bergerak secara cepat memberi perasaan yang pemain perlu berpegang dengan kuat.

Bagaikan menunjukkan keyakinan mereka mengenai kualiti grafik Shadow of the Colossus, Bluepoint Games turut menambah mod foto. Melalui mod ini mempunyai penuras dan keupayaan untuk mengubah foto yang diambil. Pemain juga boleh mengubah kedudukan kamera dari pemain ke kuda dan pelbagai tetapan yang lain.

Audio

Seperti binaan dunia, musik latar Shadow of the Colossus juga adalah sesuatu yang sangat memukau. Alunan musik yang diberikan bersesuaian dengan penceritaan dan juga rekaan dunia. Setiap musik latar membantu untuk menguatkan lagi emosi di dalam permainan ini. Apabila ada sesuatu yang menyedihkan berlaku, musik latar yang lembut di mainkan. Apabila berlawan dengan colossi musik yang rancak dimainkan, bahkan beberapa colossi mempunyai musik yang berbeza menambah keunikan setiap colossi.

Shadow of the Colossus tidak mempunyai banyak ruang untuk penceritaan kerana lebih memfokuskan kepada Wander melawan colossi tetapi permainan ini dengan bijak menggunakan musik untuk mengerakkan penceritaan. Sebagai contoh apabila Wander membunuh colossi berbanding memainkan musik latar yang menggambarkan keseronokan, musik yang dimainkan adalah beremosi yang berbeza. Kami yakin apabila pemain mendengar musik ini, pemain akan tertanya-tanya mengenai apa yang sedang berlaku. Itulah antara mengapa Shadow of the Colossus mempunyai musik latar yang baik dan penggunaan yang bijak.

Selain daripada penggunaan musik latar, Shadow of the Colossus juga pandai memilih masa yang sesuai untuk memainkan musik dan juga untuk tidak memainkan musik. Semasa Wander mengembara secara bebas kebiasaan sebelum menuju ke tempat colossi tiada musik latar yang dimainkan. Sebaliknya, pemain akan mendengar bunyi-bunyi alam sekitar seperti burung, angin, air mengalir, air terjun dan apabila di dalam hutan bunyi-bunyi serangga di dalam hutan cukup untuk menemani pemain semasa pengembaraan. Ini juga memberi identiti tersendiri untuk setiap tempat yang dilalui.

Kesemua watak di dalam Shadow of the Colossus bercakap menggunakan bahasa rekaan khas untuk permainan ini walaupun pemain perlu mengharapkan kepada sarikata tetapi bahasa rekaan sendiri ini lebih memberikan kesan yang unik untuk permainan ini. Selain Dormin yang sering bercakap terutama untuk memberitahu colossi apa yang dijadikan sasaran seterusnya, Wander sendiri tidak banyak bercakap. Walaupun ini nampak macam kekurangan akan tetapi sebenarnya memberikan gambaran sebenar perasaan Wander. Beliau bercakap hanya untuk mengetahui apa yang perlu dilakukanya, selepas itu segala dipendam dan dia berdiam diri. Selain itu bunyi efek terutama colossi adalah sangat baik, melalui bunyi sahaja cukup untuk mengambarkan kebesaran setiap colossi.

Kawalan Permainan

Kawalan permainan untuk Shadow of the Colossus adalah mudah tetapi agak berlainan dengan kebiasaan. Pemain mungkin akan merasa sedikit janggal terutama dari segi memanjat. Antara perkara yang penting dalam Shadow of the Colossus adalah kebolehan untuk Wander berpaut di sesuatu tempat dan juga di colossi. Pemain sekarang sudah terbiasa apabila melompat ke sesuatu tempat yang boleh berpaut, watak akan secara sendiri berpaut tetapi untuk Shadow of the Colossus pemain harus menekan dan menahan butang R2 untuk berpaut dan melepasnya jika ingin turun. Pada awalnya mungkin akan rasa menyusahkan tetapi apabila sudah lama, ianya menjadi kebiasaan.

Pemain diberikan peta akan tetapi peta ini tidak menunjukkan di mana colossi berada. Sebaliknya pemain perlu mengunakan pedang untuk memantul cahaya matahari, pantulan ini akan menunjukkan arah kedudukan colossi yang seterusnya. Walaupun nampak macam tidak membantu tetapi dengan bantuan peta yang disediakan pemain boleh menjangka dimana colossi berada apabila pemain sudah mengetahui arah. Agro adalah cara paling cepat untuk menuju ke sesuatu tempat kerana Shadow of the Colossus tidak mempunyai fast travel. Agro adalah seekor kuda yang besar, mungkin kerana untuk memberi gambaran yang realistik kawalan Agro juga terasa berat dan agak sukar. Apabila melalui kawasan yang kecil seperti hutan, lebih senang untuk berjalan kaki atau berlari berbanding menunggang kuda.

Setiap colassi mempunyai cara yang berbeza untuk Wander menumpaskan mereka, rekaan setiap colossi akan disertakan platforming dan juga tekaria yang menjadikan setiap colossi adalah cabaran yang baru. Setiap colossi mempunyai kawasan lemah yang pemain perlu menikam menggunakan pedang untuk membunuh colossi, kawasan ini boleh dicari mengunakan cara yang sama untuk mencari arah iaitu memantulkan cahaya menggunakan pedang. Pemain perlu mencari cara untuk mencapai ke kawasan tersebut beberapa colossi juga mempunyai pelindung yang harus dibuang terlebih dahulu sebelum pemain boleh mencapainya. Untuk mengetahui apa yang harus dilakukan, pemain boleh memerhati persekitaran dan juga melihat rekaan colossi itu sendiri, Dormin juga akan memberikan petunjuk tetapi bukan secara jelas. Untuk membunuh colossi pemain perlu berinteraksi dengan persekitaran dan juga colossi itu sendiri.

Pemain boleh mengawal kamera sendiri tetapi kamera akan sentiasa kembali kepada kedudukan asal. Seperti kami terangkan di bahagian grafik, kedudukan kamera adalah baik untuk pengembaraan tetapi tidak baik semasa perlawanan dengan colossi. Ada banyak kejadian dimana kedudukan kamera adalah janggal yang menyukarkan pemain untuk bergerak dengan cepat dan tepat. Ini kebiasaan berlaku apabila pemain harus melompat mengikut masa dan arah yang tepat. Kejadian dimana pemain melompat kearah yang salah kerana kedudukan kamera yang tidak betul akan sering berlaku tetapi tidak sangat menjejaskan pengalaman bermain mungkin sedikit menyakitkan hati.

Kesimpulan

Akhir kata, Shadow of the Colossus adalah permainan yang sangat baik semasa dikeluarkan pertama kali 13 tahun yang dahulu dan sekarang menjadi lebih baik dengan peningkatan dari segi rekaan grafik dan juga prestasi keseluruhan permainan. Permainan yang dibangunkan oleh Team Ico ini adalah satu pengalaman yang sangat unik dan berbeza dengan kebiasaan permainan lain tidak kira ini pertama kali anda bermainya ataupun untuk beberapa kali. Bluepoint Games juga telah memberikan penambah-baikkan yang epik untuk permainan yang epik ini.

Penceritaan yang ringkas tetapi mendalam menjadikan Shadow of the Colossus sesuatu permainan yang akan terus diceritakan dan kekal di dalam ingatan. Walaupun grafik tidak boleh dibandingkan dengan permainan terbaru, tetapi rekaan dunia dan rekaan watak di dalam Shadow of the Colossus adalah sesuatu yang sehingga sekarang merupakan antara yang terbaik. Musik latar yang sangat baik, menguatkan lagi emosi dan pada masa menggerakkan penceritaan menjadikan musik-musik di dalam Shadow of the Colossus sesuatu yang harus dijadikan sebagai penanda aras untuk permainan-permainan yang lain. Bunyi efek untuk colossi membantu menjadikan colossi sesuatu yang besar dan bukan sekadar mengharap kepada rekaan watak. Kawalan permainan yang mudah menjadikan permainan ini boleh dimainkan oleh ramai pemain tidak kira pengalaman mereka di dalam permainan video.

Jika anda masih tertanya samada harus berbelanja untuk permainan yang berusia 13 tahun ini, jawapan kami adalah anda harus kerana permainan ini memberikan sesuatu yang sangat berlainan yang anda tidak dapat dari permainan yang lain. Jika anda sudah bermain permainan ini untuk versi sebelum ini, anda juga harus bermain versi ini kerana ini adalah versi jauh lagi baik berbanding versi sebelum ini.

Kod ulasan untuk permainan ini diberikan oleh Sony Interactive Entertainment

Sohor Kini