MGM baru-baru ini mencari syarikat penstriman video untuk menyiarkan filem James Bond terbaru iaitu No Time To Die. MGM turut dikatakan meminta wang dari $650 juta sehingga $700 juta untuk hak penstriman selama satu tahun dan untuk satu filem ini sahaja. Mengejutkan, mereka turut dikatakan berharap untuk menerima bayaran mencapai $800 juta.
Apple dan Netflix adalah antara yang terlibat dalam perbincangan ini. Tetapi bayaran yang MGM minta itu terlampau tinggi. Sebagai perbandingan, filem Tom Hanks iaitu Greyhound hanya ditawarkan dengan bayaran $70 juta untuk hak penstriman selama 10 tahun. Menurut The Hollywood Reporter, Apple dilihat antara yang benar-benar berminat sehingga sanggup menawarkan nilai tertinggi iaitu mencapai $400 juta (~RM1.67 bilion).

Tetapi disebabkan masalah kewangan dan pinjaman wang untuk menghasilkan filem ini, nilai bunga yang MGM perlu tanggung adalah $1 juta sebulan. Jadi pada mereka semua nilai yang ditawarkan adalah rendah. Filem ini yang sepatutnya ditayangkan pada April lepas telah ditunda ke November dan baru-baru ini ke April tahun hadapan pula. Buat masa ini masih tiada kata putus, apa-apa pun sama-sama kita nantikan.
Berita ini ditulis di Amanz terlebih dahulu.