Skip to main content

Ghostrunner boleh dikatakan satu permainan yang agak kurang mendapat perhatian ramai ketika ia diumumkan beberapa bulan lepas. Walaupun begitu, setelah mencubanya melalui demo yang kami kongsikan sebelum ini, boleh dikatakan permainan ini mungkin akan menjadi salah satu permainan terbaik yang dilancarkan tahun ini.

Nak tahu pendapat kami berkenaan ulasan penuh permainan ini? Anda boleh membaca ulasan ini.

Penyampaian Penceritaan Yang Lurus, Tetapi Naratif Agak Klise

Ghostrunner merupakan permainan aksi pandangan pertama di mana ia meletakkan pemain untuk bermain sebagai seorang Ghostrunner, iaitu seorang pahlawan seolah Ninja yang bekerja di bawah The Architect di dalam bandaraya moden ala “Cyberpunk”.

Namun, Architect tersebut kemudiannya dikhianati oleh pembantunya iaitu Mara dan ketika watak pemain, Ghostrunner ingin pergi membalas dendam, watak pemain tewas di tangan Mara dan pemain kemudian perlu sambung membalas dendam di samping membanteras jajahan Mara tersebut.

Pada pendapat saya, penceritaan permainan ini tidaklah begitu mendalam. Ia mempunyai beberapa aspek gaya penyampaian naratif yang agak lurus atas sebab kebanyakan penceritaan dan kisah permainan ini diceritakan melalui sesi sembang ketika pemain bermain.

Walaupun ia menyertakan beberapa adegan permainan penceritaan, namun jika ingin dibandingkan keseluruhan jumlah adegan, ia tidaklah begitu panjang bahkan jika pemain terus bermain secepat mungkin, permainan ini boleh ditamatkan kurang dari 10 jam sahaja. Namun apa yang membuatkan permainan ini menjadi lebih panjang adalah disebab bentuk permainannya yang akan saya terangkan lebih lanjut di bawah.

Secara keseluruhan penceritaan permainan ini, saya boleh katakan ia agak klise. Sejak awal penceritaannya gaya naratif dan cabang plot penceritaan permainan ini agak tipikal. Jika anda seorang yang sering menonton ataupun bermain permainan yang mempunyai naratif seperti “Pembelot dan pembalas dendam” penceritaan permainan ini agak hambar.

Walaupun begitu, dari segi dunia yang dihasilkan dengan bagaimana permainan dihidupkan dengan gaya penyampaian penceritaan, saya masih lagi akan memberi satu pujian yang tinggi buat pembangun. Ditambah pula dengan bentuk permainan yang mengasyikkan, kekurangan penceritaan permainan ini saya boleh maafkan lagi.

Visual Dan Audio Bertemakan “Cyberpunk” Yang Menawan

Kesempurnaan di dalam satu permainan video untuk audio dan visual boleh dikatakan agak subjektif memandangkan ia adalah berdasarkan citarasa pemain. Walaupun begitu, untuk permainan Ghostrunner, saya akan menyatakan permainan ini memiliki konsep “Cyberpunk” dengan visual menawan yang sangat bagus sekali.

Dunia Cyberpunk yang diterjemahkan dengan baik dicampur pula dengan muzik “Techno” setiap kali pemain mengembara, melompat dan berlari di dalam permainan ini, boleh dikatakan ia adalah satu pengalaman “Cyberpunk” yang saya ingini memandangkan permainan Cyberpunk 2077 ditunda. Kesan audio seperti kesan efek ketika bertempur dan juga elemen-elemen suara latar juga dihasilkan dengan baik terutamanya watak-watak utama seperti Zoe, Architect dan Ghostrunner sendiri di mana lakonan suara latar mereka disampaikan dengan begitu baik yang sekaligus menggerakkan penceritaan permainan ini dengan baik.

Selain itu, saya juga menyukai beberapa rekaan dunia maya “Cybervoid” di dalam permainan ini yang mana ia agak memeningkan namun masih lagi mengekalkan elemen dunia teknologi yang sangat mengasyikkan. Akan tetapi, bahagian permainan ini saya amat mengesyorkan anda untuk bermain di dalam bilik yang terang dan ketika saat anda sihat. Terdapat beberapa pentas permainan melalui dunia Cybervoid ini yang agak memeningkan dan mungkin membuat anda muntah atas sebab visual pergerakannya yang berpusing dicampur warnanya yang terang.

Jelas sekali dunia permainan Ghostrunner disampaikan dengan begitu baik bukan sahaja visual malah audio di mana One More Levels, Slipgate Ironworks dan 3D Realms berjaya menghasilkan satu dunia permainan yang menawan dan semestinya menarik nafas anda.

Aksi Parkour Yang Mendalam Dengan Elemen Pertempuran Dan Platfomer Yang Sangat Mencabar

Setelah segala pujian melambung di atas, mari kita ke bahagian utama permainan ini iaitu bentuk dan kawalannya.

Jadi perkara pertama yang saya perlu tekankan adalah, bentuk dan kawalan permainan ini adalah sangat memeningkan, tetapi di dalam keadaan yang bagus. Ini adalah kerana permainan ini memfokuskan elemen parkour iaitu pergerakan dari satu lokasi ke satu lokasi dengan menggunakan segala sistem motor manusia seperti memanjat, melompat, berlari dan sebagainya. Dicampur pula dengan kamera pandangan pertama, permainan ini semestinya meletakkan pemain di dalam perspektif seorang yang atletik.

Jika anda pernah bermain permainan yang memfokuskan elemen parkour seperti Mirror’s Edge atau Dying Light, anda mungkin akan biasa dengan permainan ini di mana ia menekankan konsep yang sama. Walaupun begitu, permainan ini masih lagi menyertakan beberapa bentuk tambahan seperti keupayaan untuk menggunakan cangkuk untuk ke lokasi yang lebih tinggi, menggelongsor untuk ke kawasan yang rendah dan juga satu fungsi untuk memecut dan memperlahankan masa.

Fungsi ini adalah sangat berguna di mana jika pemain menekan butang memecut, pemain berupaya untuk memperlahankan masa dan bergerak ke arah kiri atau kanan untuk mengelak serangan musuh. Fungsi ini juga agak penting untuk pemain melompat ke platform-platform lain jika terdapat beberapa halangan seperti platform yang bergerak terlalu pantas ataupun platform yang mempunyai renjatan elektrik.

Dari segi aspek pertarungan pula, walaupun fungsi memecut, mengelak dan berlari kesemuanya memainkan peranan penting untuk mengelak daripada serangan musuh, namun atas sebab elemen hidup mati permainan ini ditentukan oleh hanya satu serangan oleh musuh sahaja, ia menjadikan permainan ini agak sukar.

Ini adalah kerana jika pemain diserang hanya sekali oleh musuh, pemain akan terus tewas. Perkara yang sama juga boleh dikatakan terhadap musuh di mana mereka juga turut akan tumpas di tangan pemain dengan satu serangan sahaja. Ghostrunner menyediakan satu senjata pedang Katana buat pemain dan pemain berupaya untuk menyerang musuh menggunakan di mana satu serangan akan terus menumpaskan mereka. Walaupun begitu, musuh pula dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata, mengikut jenis musuh seperti senjata api, pedang dan juga robot dron.

Setiap satu musuh mempunyai cara pertempurannya sendiri dan walaupun ia tidaklah terlalu berat ataupun berbeza antara satu sama lain, ia masih lagi menghasilkan satu pengalaman permainan yang unik dan memerlukan pemain tangkas memikir strategi untuk menumpaskan musuh-musuh tersebut.

Untuk memudahkan pemain, permainan ini masih lagi menyertakan beberapa kemahiran yang akan pemain pelajari setelah pemain maju di dalam permainan ini di antaranya adalah fungsi untuk menumpaskan musuh dengan satu libasan sahaja dan juga keupayaan untuk melantunkan semula serangan musuh.

Untuk mengembangkan lagi fungsi ini, permainan ini juga menyertakan beberapa tetapan tambahan yang pemain boleh tetapkan menggunakan fungsi penaik-tarafan watak yang tersedia. Konsep penaik-taraf ini juga agak menarik atas sebab ia memerlukan pemain untuk bijak mengurus jumlah kotak ia perlukan, sekaligus pemain perlu bijak menukar penaik-taraf yang mana pemain ingin gunakan ketika bertempur dengan sesetengah musuh.

Dari segi kandungan peringkat permainan pula, permainan ini juga menyertakan pelbagai peringkat yang terdiri daripada pelbagai jenis rekaan tekaria yang sangat mengasyikkan. Walaupun terdapat beberapa aspek penyelesaian tekaria yang agak berulangan, namun atas sebab bentuk permainannya yang memerlukan ketangkasan dan fokus pemain, ia membuatkan segala tekaria tersebut menjadi memuaskan jika pemain berjaya melengkapkannya.

Dicampur juga dengan beberapa peringkat yang memerlukan pemain untuk bertempur dengan beberapa ketua musuh yang mana pasti akan menguji pemain sehingga membuat saya sendiri hampir putus asa untuk menumpaskannya.

Kesimpulan

Seperti di dalam pandang pertama kami, permainan ini adalah ibarat permainan Mirror’s Edge bertemu Metal Gear Rising Revengence. Bukan sahaja ia penuh aksi dengan rekaan pentas permainan yang mencabar, malah setiap kali elemen parkour dicampur dengan bentuk pertempuran yang memerlukan pemain untuk fokus, membuatkan segala pengembaraan permainan ini berasa sangat seronok dan memuaskan.

Akan tetapi, atas sebab aspek bentuk permainannya yang sangat mencabar, ia juga mungkin akan membuat ramai pemain tidak menyukai permainan ini. Ditambahkan pula dengan penceritaan permainan ini yang tidak menyertakan sebarang elemen naratif yang menarik ia mungkin satu permainan bukan untuk semua.

Namun, saya juga perlu akui penceritaannya permainan ini tidaklah terkesan untuk keseluruhan prestasi dan kepuasan permainan Ghostrunner ini, akan tetapi ia masih lagi satu kekurangan jika ingin dibandingkan dengan aspek permainan yang lain.

Dengan jumlah permainan sekitar 10 jam dengan pelbagai cabaran yang sangat mengasyikkan, boleh dikatakan Ghostrunner adalah satu permainan aksi terbaik untuk tahun ini dan semestinya membuat saya akan kembali bermain untuk melengkapkan segala trofi dan ‘Collectables’ yang sedia ada.

Penafian: Kod Ulasan Ghostrunner disediakan oleh 505 Games.

Ghostrunner
Harga: RM99
Satu Permainan Aksi Parkour Yang Sangat Mencabar Dengan Elemen Ninja Pantas Mengagumkan
Cerita
9
Bentuk
10
Grafik
10
Audio
10
Positif
Bentuk Permainan Pantas Yang Seronok
Pelbagai Kemahiran Watak Menarik
Rekaan Pentas Permainan Yang Mengagumkan
Negatif
Agak Sukar Dan Mungkin Bukan Untuk Semua Pemain
Naratif Agak Klise
9.8

Leave a Reply