Ghostrunner merupakan permainan aksi pandang pertama di mana pemain akan bermain sebagai seorang “Ghostrunner” iaitu seakan satu Ninja di bandaraya Cyberpunk.

Melalui permainan ini, pemain akan bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi dengan melengkapkan peringkat permainan yang tersedia. Melalui sesi percubaan yang diberi, permainan ini menyediakan dua peringkat utama yang kami berpeluang untuk cuba dan ini adalah pandang pertama kami untuk Ghost Runner.

Aksi Ninja Parkour Yang Pantas

Seperti yang saya katakan di atas, sesi percubaan yang sempat kami main hanyalah menyertakan dua peringkat sahaja, sekaligus tidak banyak kami boleh kongsikan melalui pandang pertama ini.

Ghostrunner memfokuskan pemain untuk bermain dalam bentuk pandang pertama. Melalui, pemain akan dilengkapi satu senjata pedang Katana dan pemain perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk menyelesaikan peringkat permainan.

Dari segi pergerakkan, pemain berupaya untuk melompat, lari di dinding dan juga memecut. Menariknya, jika pemain menekan lama butang memecut, pemain juga boleh memperlahankan masa dalam beberapa saat untuk mengelak serangan musuh ataupun mencari laluan alternatif. Pemain juga boleh menggunakan cangkuk untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Namun, apabila pemain diserang oleh musuh, pemain akan terus tumpas atas sebab permainan ini memfokuskan bentuk satu nyawa sahaja. Ini juga adalah perkara yang sama dilakukan terhadap musuh di mana mereka juga akan tumpas dengan satu bilasan serangan sahaja. Meskipun begitu, titik semaknya masih lagi dekat dan ia tidaklah begitu sukar untuk dimainkan berulang kali untuk sesuatu peringkat.

Saya juga menyukai konsep bentuk permainan yang pantas dan boleh dilengkapkan dengan cepat mengikut peringkat di mana ia sedikit sebanyak mengingatkan kami akan permainan DOOM yang dilancarkan baru-baru. Gaya penyampaian cerita juga disampaikan melalui audio sembang ketika bermain, sekaligus membuatkan permainan ini berasa sangat lancar terus tanpa sebarang halangan antara sesi permainan.

Apabila Permainan Mirror’s Edge Bertemu Metal Gear Rising Revengence

Apa yang saya boleh katakan adalah permainan ini sememangnya satu permainan unik atas sebab gabungan bentuk permainan yang saya sendiri sangat menyukai iaitu elemen parkour dan ninja. Jika diterjemahkan, saya juga boleh katakan permainan ini seakan gabungan dua permainan iaitu Mirror’s Edge dan Metal Gear Rising Revengence, atas sebab ia mempunyai konsep yang sama tetapi digabungkan menjadi sesuatu yang menyegarkan dan unik.

Asas bentuk permainan yang laju dicampur elemen parkour yang membuat anda sering bergerak semestinya membuatkan kenapa Ghostrunner ini begitu seronok dan sangat memuaskan setiap kali anda menumpaskan musuh dan juga berjaya melakukan segala aksi parkour di dalam peringkat permainan. Walaupun begitu, memandangkan pandang pertama ini hanyalah membenarkan saya untuk bermain dua peringkat sahaja, semestinya saya sendiri tidak sabar untuk bermain permainan penuh, apabila ia dilancarkan kelak pada 28 Oktober ini.

Jadi jika anda sendiri berminat untuk dapatkan permainan ini, ia akan tiba di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC melalui Steam, Epic Games Store dan GOG.

Penafian: Kod percubaan Ghostrunner disediakan oleh 505 Games.

Sohor Kini