Berkali-kali kami melaporkan permainan sulung oleh studio pembangun permainan tempatan Metronomik, iaitu No Straight Roads akan tiba di konsol dan PC yang mana kini, ia telah pun dilancarkan secara rasmi.

Diketuai oleh bekas pereka permainan Final Fantasy XV iaitu Wan Hazmer bersama Daim Dziauddin, bekas konsep artis untuk Street Fighter V, permainan ini semestinya dinantikan oleh ramai peminat bukan sahaja atas sebab elemennya yang unik malah ia adalah salah satu permainan yang dibangunkan sepenuhnya di Malaysia.

Tibanya permainan ini di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC melalui Epic Games Store hari ini, kami berpeluang untuk mengulas permainan ini di konsol PlayStation 4 Pro dan PC di mana ini adalah ulasan kami.

Penceritaan Yang Ringkas Yang Penuh Semangat Dan Lawak Jenaka

Asas penceritaan permainan No Straight Roads ini adalah sangat ringkas, muzik genre Rock bertembung dengan EDM (Muzik Tarian Elektronic) di mana muzik di dalam dunia ini memainkan peranan penting untuk menjana tenaga Qwasa, seakan sumber tenaga elektrik untuk bandar Vinyl City.

Ia bermula di mana satu kumpulan Rock, Bunk Bed Junction yang mana ahlinya adalah MayDay dan Zuke ke sesi ujibakat khas oleh NSR ataupun No Straight Roads iaitu empayar muzik elektronik yang mengusai bandaraya tersebut dan mereka gagal atas sebab ketidakadilan pihak NSR sekaligus membuatkan mereka ingin memberontak dengan empayar itu.

Secara keseluruhan, penceritaan permainan ini bukanlah sesuatu yang baru di untuk kebanyakan naratif permainan yang terdapat di pasaran. Tetapi, apa yang membuatkan permainan ini berlainan semestinya adalah arah seninya yang mana bukan sahaja visual malah gaya penyampaian penceritaannya.

Keseluruhan penceritaan permainan ini digerakkan oleh kedua-dua watak utama iaitu MayDay dan Zuke di mana gandingan mereka berdua boleh dikatakan mengapa membuatkan penceritaan permainan ini begitu menyeronokkan sekali. Dari segi lawak jenaka dan semangat mereka untuk tumpaskan NSR, dinamik kedua watak tersebut diterjemahkan dengan baik sekali. Dicampurkan pula dengan lakonan suara yang sangat bersemangat, semestinya membuatkan anda akan terus senyum setiap kali melihat tingkah laku mereka berdua.

Tidak dilupakan juga dengan pelbagai watak-watak lain yang pemain temui sepanjang pengembaraan mereka termasuklah watak-watak pemuzik NSR yang setiap satunya mempunyai keunikan tersendiri seperti watak-watak kumpulan “Boyband” 1010 yang mana jelas sekali mereka adalah satu pasukan satira kumpulan Kpop di dunia nyata yang pasti membuat pemain terhibur. Permainan ini juga menyertakan pelbagai watak-watak NPC lain yang akan pemain temui dan kebanyakan mereka tidaklah memainkan peranan penting untuk naratif penceritaan ini, namun ia masih menarik untuk dilihat atas sebab setiap satu watak tersebut mempunyai rekaannya tersendiri yang unik.

Secara keseluruhan, permainan ini bukanlah satu permainan yang panjang, malah saya berjaya lengkapkan keseluruhan penceritaan utama permainan ini sekitar 7 jam sahaja yang mana ia boleh dikatakan satu permainan yang agak pendek jika ingin dibandingkan dengan permainan lain. Akan tetapi, atas sebab pengalamannya yang cukup seronok dan penuh semangat, saya boleh katakan No Straight Roads semestinya satu pengembaraan yang tidak akan saya lupai.

Visual Permainan Yang Terang Dan Pelbagai, Namun Beberapa Kecacatan Kecil

Semestinya jika bercakap berkenaan visual, perkara pertama saya harus puji adalah arah seni permainan ini seperti yang saya katakan di dalam pandang pertama saya. Sekali lagi saya ingin tegaskan di mana konsep dunia permainan ini adalah mengapa membuatkan No Straight Roads berbeza berbanding permainan-permainan lain di luar sana. Dari bandaraya Vinyl City yang terang dicampur dengan rekaan watak yang unik, permainan ini boleh dikatakan satu karya seni yang bernyawa.

Untuk membuatkan permainan ini menjadi lebih menarik juga adalah rekaan ketua musuh pemuzik yang pelbagai dicampur dengan genre muzik mereka yang sangat padan. Contohnya seperti watak idola digital Sayu yang mempunyai elemen comel seakan artis idola digital yang terkenal sekarang ini. Tidak dilupakan juga kumpulan 1010 yang saya katakan di atas, di mana mereka adalah kumpulan pemuzik “BoyBand” yang sangat dekat dengan rekaan kumpulan Kpop di dunia nyata.

Kesemua rekaan ini juga dihidupkan lagi dengan rekaan visual yang ringkas dan tidak terlalu kompleks, membuatkan elemen ‘kartun’ permainan ini berasa sangat mesra dan pada masa yang sama membuat saya sendiri tenggelam di dalam dunia permainan ini.

Selain itu, saya juga harus memuji pelukis dan pengkarya di Metronomik di mana mereka menghasilkan pelbagai lakaran-lakaran yang sangat menarik dan menawan. Contohnya adalah rekaan album-album yang akan pemain nyah-kunci setelah tumpaskan musuh, dan juga pelbagai barangan koleksi yang pemain boleh dapatkan, termasuklah adegan animasi 2D yang sangat comel dan menawan.

Beberapa tahun lepas, saya juga berkesempatan untuk menemubual Wan Hazmer berkenaan budaya yang beliau bawa di dalam permainan Final Fantasy XV dan melalui No Straight Roads ini, semestinya perkara yang sama beliau bawa untuk keseluruhan permainan ini.

Perkara ini boleh lihat dengan jelas berdasarkan persekitaran permainan ini seperti contohnya di lokasi Akusuka di dalam permainan ini iaitu lokasi seakan bandaraya Shibuya Jepun yang penuh dengan papan tanda berwarna-warni. Manakala dari segi aspek budaya Malaysia sendiri, permainan ini juga penuh dengan citarasa tempatan seperti restoran mamak yang terletak di atas pangkalan utama pemain. Terdapat juga pelbagai elemen Malaysia lain yang Metronomik sertakan, tetapi atas sebab saya tidak ingin membeberkannya, saya ingin pemain terokainya sendiri.

Walaupun persekitaran tersebut hanyalah sebahagian kecil untuk keseluruhan bandaraya Vinyl City, namun apa yang Metronomik lakukan untuk setiap lokasi tersebut membawa satu nyawa dan jiwanya tersendiri yang saya akui mengapa permainan ini mempunyai arah seni yang sangat berbeza.

Akan tetapi, ini tidak bermakna No Straight Roads ini adalah satu permainan yang sempurna. Dari segi aspek visual, permainan ini semestinya terdapat beberapa kecacatan kecil, yang tidaklah merosakkan pengalaman permainan. Akan tetapi ia masih lagi terkesan terutamanya rekaan paparan antaramuka yang sedikit serabut, terutamanya ketika memilih mod ataupun pelekat senjata. Di campur juga beberapa masalah model klip antara satu sama lain, dan beberapa lokasi yang pemain boleh tembus dan ‘terlekat’ jika pemain tersilap langkah. Walaupun ia tidaklah merosakkan keseluruhan permainan ini, ia masih lagi satu masalah terutamanya ketika saat saya terpaksa kembali ke menu utama permainan atas sebab watak saya terlekat di pokok.

Namun untuk mempertahankan Metronomik, mereka hanyalah satu studio kecil dan pepijat seperti itu bukanlah satu perkara asing walaupun untuk studio permainan yang besar. Masalah tersebut juga boleh dibaiki dengan kemaskini permainan dan untuk versi awal, sekurang-kurangnya permainan ini dimainkan dengan baik dan sangat lancar sekali di konsol mahupun di PC.

Muzik Yang Memberangsang Dengan Kesan Audio Yang Terperinci

Jika satu perkara yang saya boleh katakan sempurna untuk No Straight Roads, saya akan bercakap berkenaan audio permainan ini. Segala aspek bunyi, muzik, suara latar dan sebagainya, dihasilkan dengan sangat berkualiti sekali.

Malah saya sendiri terkejut dengan kualiti muzik yang permainan ini sampaikan dan boleh dikatakan setiap muzik yang terdapat di dalam permainan ini adalah muzik kesukaan saya sendiri. Dari muzik elektronik DJ oleh watak DJ Subtomic Supernova sehinggalah muzik klasikal piano oleh watak Yinu, kesemuanya mempunyai elemen dan genre tersendiri yang diterjemahkan kepada melodi yang sangat memberangsangkan.

Setiap kali anda bertempur dengan musuh-musuh tersebut juga, audio dan visual permainan ini juga dipaparkan dengan sangat bergaya dan padan antara satu sama lain. Semestinya asas permainan ini bertemakan muzik, tetapi apabila sesuatu permainan itu bersatu dengan muzik bukan sahaja dari segi naratif malah bentuk permainan, Metronomik sememangnya menghasilkan satu permainan harus dipuji. Saya juga syorkan anda untuk bermain dengan memakai fon kepala untuk betul-betul selami dunia Vinyl City ini dan menikmati setiap muzik yang disampaikan. Di bawah saya juga ingin kongsikan salah satu muzik kesukaan saya iaitu muzik ketika bertempur dengan Sayu.

Seperkara lain yang saya harus puji juga adalah pelakon suara latar di mana kesemua pelakon melakukan satu tugas yang sangat baik sekali. Metronomik bukan sahaja menyediakan suara latar untuk watak-watak utama permainan ini, malah kebanyakan watak NPC pemain temui, kesemuanya mempunyai suaranya tersendiri.

Tidak dilupakan juga watak DK West yang mana setiap adegan dan pertempuran Rap-nya adalah salah satu sebab mengapa saya sangat menyukai audio dan muzik permainan ini. Semestinya saya tidak akan terangkan dengan terperinci atas sebab beberan dan saya ingin anda sendiri laluinya seperti mana saya bermain tanpa mengetahui apa-apa berkenaan watak tersebut.

Tetapi apa yang saya boleh katakan adalah permainan ini sememangnya satu permainan yang dihasilkan oleh pembangun dari Malaysia dengan sentuhan tempatan yang pasti akan menawan hati anda, bukan sahaja sebagai rakyat Malaysia, malah saya percaya pemain dari negara lain juga pasti akan harga segala kandungan ‘budaya’ yang terdapat di dalam permainan ini.

Bentuk Permainan Rentak Muzik Yang Menguji Pemain

Dari segi aspek bentuk kawalan, secara jujurnya saya boleh katakan tidak banyak yang saya boleh tambah berbanding pandang pertama saya beberapa bulan lepas di mana secara asasnya, permainan ini mempunyai bentuk permainan seperti mana yang saya terangkan sebelum ini.

Walaupun kali ini saya dapat mencuba pelbagai kemahiran dan pelbagai lokasi yang lebih mendalam di dalam permainan penuh, keseluruhan No Straight Roads masih lagi adalah satu permainan aksi yang berdasarkan rentak muzik di mana bukan sahaja musuh menyerang mengikut rentak tersebut malah tekaria permainan ini juga bergerak mengikut rentak yang sama.

Sekali lagi, pada awalnya ia mungkin agak mencabar buat pemain, tetapi setelah anda sudah biasa dengan kawalannya, ia tidaklah menjadi begitu masalah. Namun begitu, ini tidak bermakna permainan ini adalah satu permainan yang senang. Terdapat beberapa peringkat permainan yang saya berasa sangat sukar atas sebab saya perlu sentiasa mengikut rentak dan pada masa yang sama mengelak serangan musuh dan menyerang mereka.

Secara asasnya, permainan ini mempunyai bentuk aksi pengembaraan seperti kebanyakan permainan lain di mana pemain berupaya untuk melompat, menyerang dan mengelak serangan musuh. Namun dicampur dengan elemen rentak muzik yang saya nyatakan di atas, ia sedikit sebanyak memberi kelainan untuk keseluruhan kawalan permainan ini. Tidak dilupakan juga permainan ini menyertakan elemen nota muzik yang pemain boleh kumpul untuk menyerang dari jarak jauh dan juga prop khas yang pemain boleh menukarkannya sebagai gajet bantuan buat pemain.

Ketika saya bermain permainan ini sebelum ini, saya dapati yang mana permainan ini menghukum pemain jika pemain tidak berjaya menumpaskan sesuatu peringkat di mana ia memerlukan pemain untuk bermain dari awal. Namun, melalui versi penuh, Metronomik menyediakan satu kemudahan buat pemain untuk terus menyambung bermain jika pemain tewas. Namun fungsi tersebut akan mengurangkan jumlah markah yang akan pemain peroleh ketika penghujung permainan, sekaligus akan menyebabkan pemain akan dapat ganjaran yang berkurangan.

Dari segi aspek permainan lain, No Straight Roads juga menyertakan beberapa elemen RPG di mana pemain boleh mempelajari kemahiran baharu melalui kemahiran pokok yang terdapat di dalam permainan ini. Melaluinya, pemain akan menggunakan jumlah “Peminat” yang pemain peroleh untuk mempelajari kemahiran baharu. Terdapat beberapa kemahiran tersedia sama ada kemahiran pasif ataupun aktif yang boleh dipelajari seperti tingkatkan serangan kombinasi ataupun melompat secara berganda. Pemain juga boleh mempelajari kemahiran seperti menyembuhkan diri ataupun serangan kombinasi yang sangat berkuasa.

Dari segi kelengkapan, walaupun permainan ini tidak membenarkan pemain untuk menukar senjata lain iaitu Gitar buat watak MayDay dan Kayu Dram buat watak Zuke. Kedua-dua watak tersebut masih lagi mempunyai bentuk permainan yang berbeza dan kemahiran yang berbeza. Untuk mengembangkan lagi permainan ini, pemain juga boleh memasang “Pelekat” di alat muzik pemain untuk tingkatkan statistik watak seperti tingkatkan serangan, nilai nyawa dan sebagainya.

No Straight Roads juga menyediakan ruangan hub utama atau pangkalan pemain yang pemain boleh lepak santai untuk mempelajari kemahiran, mempelajari ketua musuh seterusnya dan juga bermain mini permainan arked yang sangat sukar dan pada masa yang sama menarik. Melalui hub tersebut, pemain juga boleh berinteraksi dengan watak lain seperti sesi temubual radio, melihat koleksi barangan yang pemain kumpul dan sebagainya.

Permainan ini juga menyertakan beberapa aspek mengumpul “Koin” di mana melalui permainan ini, pemain perlu mengumpul kuasa elektrik Qwasa untuk dipasangkan di bandaraya Vinyl City ini. Bentuk ini adalah satu fungsi tambahan yang menarik namun ia bukanlah fokus utama permainan ini.

Dari segi lokasi pula, pemain akan bertempur dengan beberapa ketua musuh secara berperingkat di mana sebelum sampai ke lokasi ketua musuh tersebut, pemain perlu melalui beberapa peringkat platformer dahulu. Melalui peringkat ini, permainan ini akan menyertakan beberapa elemen tekaria yang ringkas dan kebanyakan hanya memerlukan pemain untuk menghapuskan segala musuh yang tersedia.

Apa yang membuatkan permainan ini lain daripada yang lain semestinya adalah aspek pertempuran dengan ketua musuh yang saya boleh katakan setiap ketua musuh mempunyai bentuk pertempuran yang sangat berbeza. Seperti yang saya terangkan di ruangan visual dan audio di atas, setiap satu ketua musuh tersebut mempunyai rekaan berbeza termasuklah rekaan lokasi bertempur. Contohnya seperti Yinu, beliau mempunyai elemen muzik klasikal di mana pemain pemain akan bertempur di atas pentas dan juga dengan satu gergasi besar iaitu ibu Yinu, yang mempertahankan dia. Manakala ketua musuh Sayu pula memfokuskan dunia digital dan atas sebab beliau adalah artis idola digital, rekaan lokasi pertempurannya adalah seakan satu dunia 3 dimensi yang dihasilkan oleh sekumpulan pengkarya.

Akan tetapi, jika saya ingin membuat aduan berkenaan kawalan permainan ini, masalah utama saya adalah kamera permainan ini di mana untuk peringkat bertempur, pemain tidak berupaya untuk mengubah kamera. Dengan kamera statik, ia agak sukar untuk bergerak terutamanya peringkat yang memerlukan untuk melompat dengan elemen platformer. Ketika bertempur, terdapat juga beberapa pertempuran ketua musuh yang mengubah kamera secara automatik dan statik, membuatkan beberapa penglihatan dan lokasi pemain terlindung dari semasa ke semasa.

Namun, ini hanyalah masalah kecil dan ia tidak langsung membuatkan permainan ini tidak boleh dimainkan, tetapi atas sebab perkara kecil yang menjengkelkan ini, ia masih lagi memberi satu pengalaman yang kurang senang ketika bermain permainan ini.

Kesimpulan

Seperti yang saya katakan di keseluruhan ulasan saya ini dan juga pandang pertama saya, No Straight Roads sememangnya satu permainan yang sangat unik dan penuh dengan citarasanya tersendiri. Dari visual yang sangat terang sehinggalah elemen rentak muzik yang mencabar, permainan ini membawa gabungan dua genre permainan yang jarang dilakukan oleh kebanyakan pembangun lain.

Meskipun terdapat beberapa kecacatan dari segi aspek visual dan bentuk permainan yang mungkin agak mencabar untuk sesetengah pemain, sebagai satu studio pembangun kecil, Metronomik berjaya membawa satu jiwa asli yang saya pasti bukan sahaja akan membanggakan rakyat Malaysia, malah keseluruhan permainan ini adalah satu karya seni yang penuh semangat.

Oleh sebab itu, saya sendiri sangat mengesyorkan anda untuk dapatkan permainan ini bukan hanya atas sebab sokongan permainan tempatan, tetapi sebagai satu penghargaan buat keseluruhan pasukan pembangun yang menghasilkan dunia bandaraya Vinyl City yang sangat menawan sekali.

Penafian: Kod ulasan No Straight Roads disediakan oleh Metronomik.

No Straight Roads
Harga: RM149
No Straight Roads sememangnya satu permainan yang sangat unik dan penuh dengan citarasanya tersendiri.
Cerita
9
Bentuk
8
Grafik
8
Audio
10
Positif
Penceritaan Yang Penuh Semangat Dengan Elemen Muzik Dengan Citarasa Tempatan Yang Mengasyikkan.
Negatif
Beberapa Kecacatan Visual Dna Kawalan Yang Terlalu Mengharapkan Rentak Yang Sedikit Mencabar.
8.8

Sohor Kini