No Straight Roads merupakan permainan pertama yang dibangunkan oleh Metronomik, iaitu studio pembangun permainan tempatan di Bangsar, Kuala Lumpur di mana ia dibangunkan buat konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC. Permainan ini berbentuk aksi pengembaraan yang mempunyai elemen muzik dengan rekaan visual yang sangat unik sekali.
Bagi ada yang sering mengikuti laporan kami berkenaan permainan ini, anda pasti mengetahui yang mana permainan ini dihasilkan oleh bekas pereka permainan Final Fantasy XV iaitu Wan Hazmer bersama Daim Dziauddin, bekas konsep artis untuk Street Fighter V.
Terkini, kami berpeluang untuk mencuba permainan ini sekitar dua jam pertama permainan tersebut di mana ini adalah pandang pertama kami untuk No Straight Roads.
Pengembaraan Muzik Yang Ringkas, Namun Sangat Istimewa
No Straight Roads meletakkan pemain untuk bermain sebagai MayDay dan Zuke di mana mereka merupakan kumpulan rock Bunk Bed Junction di bandaraya Vinyl City. Menariknya, bandaraya tersebut dijana dengan tenaga Qwasa, iaitu satu sumber tenaga khas daripada muzik. Akan tetapi, Vinyl City dikuasai oleh empayar muzik elektronik, NSR ataupun No Straight Roads di mana mereka menguasai dunia muzik di bandar tersebut dan mengharamkan muzik lain.

Permulaan penceritaan permainan ini meletakkan kedua-dua mereka ke sesi ujibakat di NSR dan mereka gagal akibat NSR yang ingin berkuasa hanya melalui muzik EDM. Dengan kuasa muzik Rock, May dan Zuke mengambil keputusan untuk bertempur dan menjatuhkan empayar NSR yang cuba menguasai bandaraya itu.
Secara asasnya, pada pendapat saya penceritaan permainan ini sememangnya agak ringkas, namun ia tidaklah bermakna ini adalah satu perkara yang negatif. Walaupun saya hanya berpeluang untuk mencuba sekitar dua jam pertama sahaja permainan ini, saya masih lagi menyukai aspek penceritaan permainan ini yang memfokuskan elemen genre muzik yang mana jarang sekali dilakukan oleh banyak permainan lain.

Tambahan itu, saya juga amat menyukai dua watak utama di dalam permainan ini iaitu MayDay dan Zuke di mana kedua-dua watak tersebut sangat menarik dan melucukan. Setiap kali mereka berganding bahu untuk bertempur dengan pemuzik NSR ataupun mana-mana adegan permainan, dinamik antara dua watak tersebut disampaikan dengan sangat baik sekali, termasuklah lakonan suara watak yang sangat bagus.
Walaupun begitu, semestinya saya tidak boleh bercakap dengan lebih banyak berkenaan penceritaan ini atas sebab saya sendiri masih belum menghabiskannya dan hanya berpeluang untuk bermain sebahagian daripadanya sahaja. Walaupun begitu, dengan apa yang dipersembahkan oleh Metronomik untuk setakat sesi permainan yang saya mainkan, saya percaya permainan ini semestinya akan menarik minat bukan sahaja mereka yang meminati muzik Rock, malah mereka yang ingin mencari sesuatu yang berlainan di dalam permainan pengembaraan.
Dunia Muzik Rock Dan Elektronik Yang Berwarna-Warni
Dari segi aspek visual, perkara pertama yang semestinya saya harus puji adalah arah seni permainan ini yang dihasilkan dengan sangat baik sekali. Ini dapat di lihat melalui konsep rekaan permainan ini yang sangat menawan dengan pelbagai warna-warni yang sangat terang terutamanya di bandar Vinyl City tersebut.

Dari segi rekaan papan iklan, sehinggalah watak yang pelbagai, arah seni permainan No Straight Roads semestinya harus dipuji dengan kualiti yang disampaikan oleh Metronomik. Bukan sahaja ia memaparkan pelbagai watak NPC dengan rekaan unik, malah setiap satunya mempunyai suara latar tersendiri sekaligus memberi lebih nyawa di dalam bandaraya permainan ini.
Seperkara lagi yang saya amat menyukai permainan ini adalah rekaan ketua musuhnya yang sangat pelbagai. Walaupun demo ini hanya membenarkan saya untuk bertempur dua ketua musuh sahaja iaitu DJ Subatomic Supernova dan Sayu, namun kedua-dua rekaan watak tersebut adalah sangat unik dan pada masa yang sama sangat melucukan.
Metronomik juga berjaya membawa satu keunikkan di dalam permainan ini melalui rekaan dunia permainan yang diterjemahkan dengan begitu baik sekali. Walaupun dari segi rekaan model mahupun visual permainan ini tidaklah bertaraf permainan berkelas AAA, namun visual yang dihasilkan adalah sangat memberangsangkan sekali untuk satu permainan dengan bajet lebih rendah.

Dari segi aspek audio pula, muzik-muzik di dalam permainan ini saya boleh katakan adalah mengapa membuatkan permainan ini patut dikelaskan sebagai permainan bertarafkan AAA atas sebab muzik yang terdapat di dalam permainan ini adalah sangat menakjubkan sekali.
Dari segi muzik-muzik elektronik yang dicampur muzik Rock ketika pemain bertempur dengan ketua musuh, ia disampaikan dengan begitu sempurna sekali. Saya juga menyukai muzik ketika pemain menerokai bandar Vinyl City yang mana ia memberi aspek ketenangan ketika saya terokai bandaraya tersebut.
Jika ingin saya ulaskan berkenaan audio, No Straight Roads semestinya mempersembahkan dengan sempurna sekali bukan sekadar muzik, malah suara latar, kesan bunyi, rentak dan melodi di campur susunan muzik yang sangat bersemangat sepanjang sesi permainan saya sekaligus membuatkan kenapa permainan ini berasa begitu istimewa sekali.
Sentuhan Tempatan Yang Menawan Hati
Jika anda yang mengikuti industri permainan video di Malaysia, anda pasti mengetahui bagaimana Wan Hazmer terlibat dengan membawa budaya Malaysia di dalam permainan Final Fantasy XV di mana ia mendapat sambutan ramai, terutamanya masakan Roti Canai yang terdapat di dalam permainan tersebut.
Menariknya, perkara yang sama juga turut berada di dalam permainan No Straight Roads ini di mana Wan Hazmer sekali lagi tidak meninggalkan elemen dan budaya Malaysia di dalam permainannya sekaligus membuatkan permainan ini sekali lagi menerima sentuhan tempatan yang pasti akan menawan hati peminat.
Antara elemen yang tersedia semestinya adalah “Restoran Mamak” terdapat jelas di dalam permainan ini termasuklah ruangan restoran berlauk dan juga dapur Roti Canai. Semestinya elemen ini hanyalah dari segi aspek visual sahaja dan tidak langsung memberi sebarang pengalaman permainan yang berbeza, akan tetapi untuk melihat bagaimana budaya tempatan dibawa ke dunia maya semestinya berasa saya sendiri berbangga sebagai salah sorang ‘Anak Malaysia’.

Saya juga menyukai beberapa elemen tempatan yang terdapat di dalam watak utama permainan ini iaitu MayDay yang mana beliau dilakonkan oleh Su Ling Chan. Dialog beliau semestinya berasa sangat dekat sekali buat rakyat Malaysia di mana terdapat beberapa percakapannya menggunakan ayat “Lah” ketika perbualan, sekaligus membuatkan loghat permainan ini berasa sangat asli.
Untuk menambahkan lagi elemen dan budaya Malaysia, permainan ini juga menyokong sari kata dan paparan antaramuka di dalam bahasa Malaysia secara menyeluruh. Bukan sahaja dari segi aspek terjemahan butang kawalan, malah segala barangan dan senjata juga turut diterjemahkan dengan baik sekali oleh Metronomik.
Tambahan itu, seperti yang kami laporkan sebelum ini, Metronomik juga menyertakan beberapa elemen lain dari budaya Malaysia seperti dikir barat dan wayang kulit, di mana ia merupakan sebahagian ketua musuh yang akan pemain tempuhi. Namun, melalui demo yang dicuba oleh kami, Metronomik tidak menyertakan kandungan ini.
Bentuk Permainan Berirama Yang Sesuai Untuk Semua Pemain
Saya perlu akui di mana pertama kali bermain permainan ini beberapa bulan lepas, saya berasa ia agak sukar dan ketika mencubanya sekali lagi melalui demo yang disediakan oleh Metronomik semalam. Saya menghadapi perkara yang sama. Ini kerana mekanik permainan ini sedikit sebanyak bergantung kepada irama rentak muzik dan visual yang terang, sekaligus ia agak memerlukan masa untuk saya membiasakan diri dengannya.
Walaupun begitu, setelah bermain semula sebentar tadi buat kali kedua untuk keseluruhan demo ini, saya berasa ia semakin mudah dengan kawalan bersama pergerakan watak saya menjadi lebih lancar dan seronok untuk dimainkan.

Ini kerana aspek utama permainan ini memfokuskan pemain untuk mengikut rentak muzik yang terdapat di dalam permainan ini untuk mengagak serangan musuh dan juga menyelesaikan beberapa aspek “platformer” yang terdapat di dalam ini.
Walaupun ia tidaklah bergantung kepada secara 100% melalui rentak muzik, namun ia masih lagi memerlukan pemain untuk membiasakan diri dengannya. Bagi anda yang buta melodi ataupun membenci permainan rentak muzik, ini tidak bermakna anda tidak langsung boleh bermain permainan ini. No Straight Roads masih mengekalkan elemen isyarat visual untuk sebarang pergerakan dan serangan musuh di dalam permainan.
Akan tetapi, pada pendapat saya sendiri, saya berasa anda akan lebih menyukai permainan ini jika anda mengikut rentak irama yang terdapat di dalam permainan ini dan bermain dengan memakai fon kepala adalah sangat disyorkan sekali.
Dari segi aspek permainan lain, No Straight Roads juga menyertakan beberapa elemen RPG di mana pemain boleh mempelajari kemahiran baharu melalui kemahiran pokok yang terdapat di dalam permainan ini. Melaluinya, pemain akan menggunakan jumlah “Peminat” yang anda peroleh untuk mempelajari kemahiran baharu. Terdapat beberapa kemahiran tersedia sama ada kemahiran pasif ataupun aktif yang boleh dipelajari.
Dari segi kelengkapan, walaupun permainan ini tidak membenarkan pemain untuk menukar senjata lain iaitu Gitar buat watak May dan Dram buat watak Zuke. Kedua-dua watak tersebut masih lagi mempunyai bentuk permainan yang berbeza dan kemahiran yang berbeza. Untuk mengembangkan lagi permainan ini, pemain juga boleh memasang “Pelekat” di alat muzik pemain untuk tingkatkan statistik watak seperti tingkatkan serangan, nilai nyawa dan sebagainya.

Saya juga menyukai hub utama dan pangkalan pemain yang pemain boleh lepak santai untuk mempelajari kemahiran, mempelajari ketua musuh seterusnya dan juga bermain mini permainan arked yang sangat sukar dan pada masa yang sama menarik.
Dari segi kawalan pertempuran, permainan ini sedikit sebanyak adalah seakan sama dengan kebanyakan permainan pengembaraan lain di mana pemain akan bertempur dengan memukul musuh, melompat, mengelak dan sebagainya. Namun apa yang membuatkan permainan ini berlainan adalah aspek rentak muzik yang saya katakan di atas di mana serangan muzik di dalam permainan ini mengikut rentak muzik.
Aspek tersebut merupakan teras utama kenapa permainan ini berasa sangat berlainan dan sekaligus memberi satu pengalaman permainan yang sangat seronok. Bukan sahaja pemain akan nikmati muzik yang sangat sedap untuk didengar, malah pemain juga perlu bergerak mengikut rentak dan ia pasti membuat sesi permainan menjadi begitu mengasyikkan sekali. Dari segi aspek serangan musuh, terdapat juga beberapa serangan yang pemain boleh membalas kembali serangan mereka di mana ianya juga mengikut rentak muzik. Namun, pemain masih lagi diberi isyarat secara visual buat mereka yang tidak biasa dengan rentak muzik sekaligus ia sangat membantu ketika saat getir di dalam permainan ini.
Selain itu, permainan ini juga membenarkan pemain untuk mengutip nota muzik untuk digunakan sebagai senjata jarak jauh dan juga mengubah beberapa barangan yang terdapat di dalam permainan ini untuk menjadikan senjata ataupun alat yang akan membantu pemain dengan kuasa muzik. Namun kelengkapan tersebut hanyalah terhad kepada beberapa barangan yang mempunyai alat metronom di atasnya.

Permainan ini juga menyertakan beberapa aspek mengumpul “Koin” di mana melalui permainan ini, pemain perlu mengumpul kuasa elektrik Qwasa untuk dipasangkan di bandaraya Vinyl City ini. Bentuk ini adalah satu fungsi tambahan yang menarik namun ia bukanlah fokus utama permainan ini.

Dari segi lokasi pula, pemain akan bertempur dengan beberapa ketua musuh secara berperingkat di mana sebelum sampai ke lokasi ketua musuh tersebut, pemain akan menghadapi satu peringkat permainan dengan pelbagai aspek platformer dan musuh kecil yang mana agak mencabar pada pendapat saya. Walaupun begitu bentuk ini membenarkan pemain untuk mengumpul Qwasa dan sebagainya yang mana ia adalah seakan kebanyakan peringkat kecil daripada permainan lain.
Apa yang membuatkan permainan ini lain daripada yang lain semestinya adalah aspek pertempuran dengan ketua musuh yang saya boleh katakan setiap ketua musuh mempunyai bentuk pertempuran yang sangat berbeza. Walaupun demo ini saya hanya sempat untuk bertempur dengan dua ketua musuh sahaja, namun kedua-dua ketua musuh tersebut mempunyai gaya pertempuran berbeza di mana DJ Subatomic Supernova memfokuskan bentuk pertempuran di atas permukaan rekod vinil bercampur dengan tema galaksi. Manakala ketua musuh Sayu pula memfokuskan dunia digital atas sebab beliau adalah artis idola digital yang dihasilkan oleh sekumpulan pengkarya.
Walaupun begitu, aduan utama saya berkenaan pertempuran bersama ketua musuh tersebut adalah titik semak yang terdapat di dalam permainan ini yang mana ia agak menghukum pemain atas sebab jika pemain ditumpaskan oleh ketua musuh, pemain perlu bermain dari awal peringkat pertempuran tersebut. Walaupun saya memahami jika pemain dimuatkan ketika pertengahan pertempuran ia akan berasa janggal untuk muzik permainan ini atas sebab ia berlangsung secara terus, namun ia masih lagi berasa agak sukar buat mereka yang tidak biasa dengan permainan sebegini.
Satu Permainan Berpotensi Untuk Menjadi Permainan Paling Unik Tahun Ini
Akhir kata, No Straight Roads semestinya adalah satu permainan yang sangat unik dan penuh dengan citarasanya sendiri. Walaupun saya masih belum bermain permainan penuh, dengan mencuba dalam tempoh masa dua jam untuk peringkat awal permainan ini, saya boleh merasai bagaimana semangat dan sayangnya pembangun dengan permainan ini dengan visualnya yang sangat menawan sekali.
Dicampur dengan elemen muzik Rock dan Elektronik yang sangat berwarna-warni, ia pasti akan memberi pengalaman yang berbeza buat mereka yang meminati permainan bergenre pengembaraan sebegini dan satu permainan berlainan dengan permainan-permainan lain yang berada di pasaran sekarang ini.
Walaupun begitu, memandangkan permainan ini bukanlah satu permainan berkelaskan AAA dan mempunyai bajet yang lebih rendah, ia masih lagi terdapat beberapa aspek yang agak ringkas seperti pergerakan yang agak terhad dengan beberapa masalah pepijat. Namun saya difahamkan bahawa demo yang saya mainkan ini merupakan demo yang dihasilkan sebelum lengkapnya permainan ini. Saya percaya apabila No Straight Roads dilancarkan kelak, Metronomik pasti akan mengilatkan lagi permainan ini dengan keadaan lebih optimum, terutamanya pelancarannya di pelbagai platform lain seperti di konsol.
No Straight Roads akan tiba di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC melalui Epic Games Store pada 25 Ogos 2020 ini. Anda juga boleh mencuba demo permainan ini secara percuma melalui Epic Games Store.
Informasi lanjut berkenaan permainan ini boleh di baca di sini.
Penafian: Kod percubaan No Straight Roads disediakan oleh Metronomik.