Skip to main content

Epic Games secara mengejut semalam telah mengumumkan yang mereka mengurangkan harga penjualan untuk V-Bucks sebanyak 20% melainkan ia dibeli melalui App Store ataupun Play Store.

Pada masa sama, mereka juga telah menyediakan pilihan kepada pemain di peranti iOS dan Android untuk melakukan pembelian secara terus bagi mendapat harga baharu. Ini secara jelasnya melanggar polisi oleh Apple dan juga Google untuk permainan yang ditawarkan di gedung aplikasi mereka.

Tidak lama selepas pengumuman tersebut, Apple dan Google telah membuang aplikasi Fornite dari App Store dan Play Store, yang kemudiannya di balas oleh Epic Games dengan kes saman “anti-monopoli” terhadap dua syarikat tersebut.

Adakah Epic Games Sengaja Melanggar Polisi Ini?

Berdasarkan apa yang berlaku, dan jangka masa ia berlaku, memang boleh dikatakan yang Fortnite dibuang daripada App Store dan Play Store adalah sesuatu yang sudah dijangka oleh mereka. Oleh kerana itu, mereka dapat bertindak dengan cepat untuk memfailkan saman.

Ini ditambah lagi Epic Games mengeluarkan satu video yang menyerupai iklan oleh Apple untuk “melawan” IBM pada tahun 1984. CNET membandingkan dua video tersebut di bawah.

Video tersebut adalah bukan sesuatu yang dilakukan dalam masa sehari, oleh itu segala yang dilakukan oleh Epic Games adalah satu perancangan awal lagi. Melakukan sesuatu yang melanggar polisi, aplikasi dibuang, dan saman dikeluarkan semua adalah berdasarkan perancangan oleh Epic Games sendiri.

Mengapa Epic Games Melakukannya?

Daripada awal pengeluaran Fortnite di App Store dan Play Store lagi, Epic Games tidak menyukai yang mereka perlu membayar 30% daripada penjualan V-Bucks kepada Apple dan Google sebagai penyedia platform. Bahkan ia mengambil hampir 2 tahun sebelum Fornite dikeluarkan di Play Store.

Ini ditambah lagi Epic Games mengatakan yang Apple dan Google tidak memberikan pemain pilihan lain, selain melakukan pembelian di App Store dan Play Store yang menjadi asas kepada saman anti-monopoli yang dikeluarkan oleh mereka.

Epic Games mungkin ingin menyediakan gedung pembelian aplikasi mereka sendiri, kerana aplikasi Epic Games Store sudah tersedia di App Store dan juga Play Store.

Ini juga bukan sesuatu yang baharu oleh Epic Games, mereka sebelum ini melakukan perkara yang sama kepada Steam dengan melancarkan Epic Games Store dan melakukan pembahagian pendapatan 88%/12% berbanding 70%/30% yang disediakan oleh Steam. Mereka juga mula mendapatkan permainan secara eksklusif untuk melawan dominasi Steam dan mengatakan yang mereka akan berhenti mengambil permainan secara eksklusif jika Steam mengurangkan peratusan yang diambil.

Bagaimana Dengan Platform Lain?

Semasa pengumuman harga dikurangkan, Epic Games mengumumkan harga baharu akan terus tiba untuk Fortnite di PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC. Di PC tidak menjadi masalah kerana ia terus melalui Epic Games Store.

Manakala untuk platform lain, ia adalah agak menarik kerana berdasarkan beberapa laporan Sony, Microsoft dan Nintendo juga mengambil peratusan yang sama untuk sebarang pembelian di platform mereka. Namun, Epic Games tampaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mereka.

Bagi saya ada dua kemungkinan;

  1. Epic Games mempunyai perjanjian lain dengan mereka yang mengurangkan peratusan, atau,
  2. Epic Games tidak mempunyai pilihan lain, dan akan mempunyai kerugian yang tinggi jika tidak hadir ke mana-mana platform tersebut.

Bagi saya sendiri, platform PS4, Xbox One dan Switch berbeza dengan peranti pintar, di mana syarikat pengeluar konsol tidak membuat keuntungan melalui penjualan konsol tetapi bergantung kepada perisian. Manakala Apple contohnya, sudah membuat keuntungan melalui penjualan iPhone.

Jadi buat masa ini, bagi anda yang bermain Fornite di PS4, Xbox One ataupun Switch, ‘peperangan’ ini tidak akan memberi kesan kepada anda.

Adakah Epic Games Akan Berjaya?

Agak sukar untuk dikatakan, ia bukanlah sesuatu yang baharu, polisi ini sudah wujud sejak awal kehadiran App Store dan Play Store lagi. Namun, buat masa sekarang, Apple terutamanya sedang disiasat di Eropah dan juga Amerika Syarikat kerana App Store mungkin melanggar peraturan anti-monopoli.

Saman yang dikeluarkan oleh Epic Games akan menguatkan lagi kes yang tersedia. Ia juga mungkin perancangan oleh Epic Games sendiri, mengambil peluang kes yang tersedia untuk melancarkan kes mereka sendiri.

Jika Epic Games berjaya, ia mungkin adalah satu berita yang baik bukan sahaja untuk mereka tetapi juga untuk pengeluar-pengeluar aplikasi lain. Bahkan, Spotify yang sendiri mempunyai peperangan dengan Apple menyatakan sokongan kepada Epic Games.


Berjaya ataupun tidak, buat masa ini pemain Fortnite di peranti iOS terpaksa bermain di platform lain ataupun mencari permainan yang lain. Ia adalah satu kerugian untuk Epic Games tetapi kerugian yang mungkin dirasakan berbaloi oleh mereka.

Apa pendapat anda, adakah Apple dan Google patut mengurangkan peratusan yang diambil daripada penjualan permainan dan pembelian di dalam permainan?

Leave a Reply