Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa Microsoft akan melancarkan permainan Microsoft Flight Simulator pada bulan Ogos kelak. Permainan simulasi permainan tersebut membolehkan pemain untuk cuba menerbangkan pelbagai pesawat kecil dan komersil tanpa perlu mendapatkan lesen penerbangan.

Microsoft Flight Simulator nampaknya akan menerima versi fizikal khusus untuk pasaran Eropah. Menurut beberapa laporan, syarikat yang bertanggungjawab untuk pengeluaran ini ialah Aerosoft yang telah menandatangani perjanjian untuk mengedarkan permainan tersebut di rantau tersebut.

Menariknya, Microsoft Flight Simulator ini mempunyai saiz fail pemasangan besar sebanyak 90GB dan untuk itu, Aerosoft akan memasarkan perisian simulasi ini didalam bentuk 10 buah DVD dan juga sebuah buku panduan yang besar.

Dalam pada itu, setiap DVD didalam set ini juga adalah DVD 2-sisi yang boleh diterbalikkan untuk memasang permainan pada komputer anda.

Tanda harga versi fizikal Microsoft Flight Simulator ini juga dijangka lebih mahal berbanding versi digital dengan tanda harga 130 Euro (~RM650). Ia dijangka akan dijual pada tarikh yang sama seperti versi digital pada 18 Ogos ini.

Sohor Kini