Sepanjang hayat konsol Sony PlayStation 4, Sony dilihat telah membantu ramai pembangun permainan indie untuk mengeluarkan permainan-permainan mereka di konsol tersebut.

Terkini, untuk bergerak ke hadapan di kala konsol terbaru Sony akan dilancarkan pada penghujung tahun ini, Sony telah memperkenalkan inisiatif PlayStation Indies khusus untuk industri permainan indie.

PlayStation Indies diketuai Shuhei Yoshida yang akan membantu studio-studio kecil membangunkan permainan untuk platform PlayStation sekarang dan generasi akan datang.

Yoshida mengatakan bahawa pembangunan permainan AAA semakin memakan belanja yang tinggi dan oleh itu, ia adalah agak sukar untuk penerbit permainan memberi bantuan kewangan kepada syarikat-syarikat kecil tanpa melihat pulangan semula.

Buat masa ini, tiada butiran khusus tentang bagaimana Sony akan membantu pembangun-pembangun ini melalui PlayStation Indies, akan tetapi mereka telah mengumumkan bahawa 9 tajuk permainan indie telahpun disahkan akan hadir melalui inisiatif tersebut.

Permainan-permainan ni termasuklah Maquette, Worms Rumble, Haven, Carto, Heavenly Bodies, Creaks, F.I.S.T., Recompile dan Where The Heart Is.

Dalam pada itu, Sony turut mengumumkan bahawa satu permainan indie juga akan diperlihatkan setiap bulan melalui perkhidmatan langganan permainan digital PlayStation Now.

Sohor Kini