Setelah mengacahkan sebelum ini, Team17 kini akhirnya mengumumkan secara rasmi permainan Worms Rumble di mana ia akan dilancarkan di konsol PlayStation 4, PlayStation 5 dan di PC melalui Steam.
Worms Rumble merupakan permainan pertempuran Royale baharu berdasarkan siri Worms di mana kali ini ia memfokuskan bentuk pertempuran secara masa nyata sebanyak 32 pemain serentak. Dengan sokongan rentas-platform, permainan ini akan memfokuskan pemain untuk bertempur sesama sendiri sehingga mereka menjadi pemain terakhir yang berada di lokasi tersebut.
Menurut Team17, segala senjata dari siri Worms akan kembali dan pemain boleh menyertai pelbagai acar, cabaran dan mereka menjanjikan pelbagai kandungan akan dilancarkan kelak.
Menariknya, bermula 15 sehingga 20 Julai 2020 ini, Team17 juga mengumumkan yang mana mereka akan mengadakan sesi beta tertutup khas dan bagi anda yang berminat, anda boleh membuat pendaftarannya di sini.
Semestinya dengan mengubah keseluruhan bentuk permainan klasik Worms, ianya kelihatan agak kurang menarik buat kami sendiri sebagai peminat asli siri tersebut. Berdasarkan video acah, permainan ini juga kelihatan tidak mempunyai kawasan persekitaran yang boleh dimusnahkan seperti permainan asal.
Walaubagaimana pun, sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut oleh Team17 kelak termasuklah tarikh pelancarannya.