Seperti yang dijanjikan oleh MDEC sebelum ini berkenaan acara digital bagi acara permainan video terbesar di Malaysia iaitu Level UP, mereka minggu ini mengumumkan dua acara atas-talian iaitu Level Up SpaceBar dan Level Up Play-One.
Kedua-dua acara tersebut akan diadakan pada Jun ini secara atas-talian di mana ia akan memfokuskan khas acara komuniti permainan video dan juga acara bisnes buat penerbit dan pembangun permainan video.
Acara pertama iaitu Level Up Play-One akan diadakan pada 13 dan 14 Jun 2020 ini di mana ia terbuka untuk awam. Acara tersebut akan menyertakan pelbagai pengumuman, acara persidangan dan sebagainya termasuklah kejohanan esukan dengan pelbagai hadiah untuk dimenangi.
Menariknya, dengan kerjasama eGG Network, MDEC juga akan membawa acara seminar atas-talian yang menyertakan lebih dari 16 penceramah untuk berkongsi berkenaan industri esukan.
Dari segi persembahan permainan video, acara dua hari tersebut akan memperagakan pelbagai permainan oleh pembangun tempatan dan anda juga berpeluang untuk mencuba beberapa permainan dan memenangi pelbagai hadiah eksklusif.
Bagi acara Level Up SpaceBar pula, ia akan berlangsung pada 16 dan 17 Jun 2020 ini di mana ia adalah acara khas buat industri permainan video yang memfokuskan pelbagai seminar yang sering dilakukan oleh Level UP sebelum ini.
Melalui acara secara atas-talian, acara ini juga akan menyertakan pelbagai sesi seminar yang memfokuskan pembangunan dan pelancaran permainan video termasuklah beberapa aspek industri berkenaan bekerja dari rumah.
Untuk informasi lanjut dan juga pendaftaran untuk acara kejohanan dan sebagainya, anda boleh ke laman rasmi Level UP KL.