Juara bertahan Selangor Red Giants membuktikan yang di era baharu MPL Malaysia, mereka masih lagi tiada tandingan selepas mengalahkan Team Vamos di Peringkat Akhir MPL Malaysia 17 dengan keputusan bersih 4-0. Kemenangan ini juga memberikan trofi MPL Malaysia kepada mereka buat lima kali berturut-turut satu pencapaian yang tiada tandingan.

Team Vamos yang hadir dengan semangat yang tinggi selepas mengalahkan Invictus Gaming di Lower Bracket Final dengan juga keputusan bersih 4-0 tidak mampu untuk menyaingi kehebatan SRG. Mereka hampir mencuri pusingan kedua akan tetapi satu kesilapan memberi momentum kemenangan kepada SRG yang kemudiannya menang mudah untuk pusingan ketiga dan juga keempat.
Bagi pencapaian individu, pemain Roamer SRG, Yums telah terpilih sebagai Grand Final MVP menambah koleksi pencapaian peribadi selepas beliau juga memenangi Regular Season MVP, memperlihatkan dominasi peranannya untuk musim ini.

Selain memasuki era baharu untuk MPL Malaysia, SRG juga menghadapi sedikit kesukaran semasa Regular Season apabila kapten pasukan Kramm telah digantung tujuh perlawanan sebelum dikurangkan kepada lima perlawanan akibat isu tingkah laku. Unii yang merupakan Jungler simpanan terpaksa memainkan peranan selaku EXP yang membantu untuk SRG kekal sebagai pasukan pertama di peringkat Liga.

Seterusnya, Selangor Red Giants dan juga Team Vamos akan membawa bendera Malaysia untuk ke cabaran Mid-Season Cup (MSC) 2026 yang akan berlangsung bersama dengan Esports World Cup 2026 di Paris, Perancis. Ia akan bermula pada 1 Julai dan berlanjutan sehingga 1 Ogos 2026.
Gambar: Moonton


