MOONTON Games telah mengumumkan rombakan struktur secara menyeluruh ke atas format kejohanan Mid Season Cup (MSC) dan MLBB Women’s International (MWI) sempena penganjuran Esports World Cup (EWC) 2026.

Kejohanan MSC di EWC 26 kini diperluaskan kepada 25 pasukan secara keseluruhan, menampilkan peringkat Wild Card yang lebih agresif merangkumi 10 pasukan bertanding yang akan melalui tiga fasa penyingkiran. Fasa pertama akan digerakkan melalui sistem ‘single round-robin’ Best-of-One (BO1), manakala fasa kedua memperkenalkan saringan bersilang kumpulan di mana pasukan-pasukan bawahan dari setiap kumpulan perlu menyingkirkan satu sama lain untuk mara. Hanya satu pasukan daripada perlawanan ‘single-elimination’ Best-of-Three (BO3) di fasa ketiga yang akan melayakkan diri ke Peringkat Kumpulan.

Di Peringkat Kumpulan MSC, 16 pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan bersaing dalam perlawanan format ‘double-elimination’ BO3. Lapan pasukan yang melepasi pusingan ini akan disaring di Peringkat Kalah Mati secara ‘single-elimination’ Best-of-Five (BO5), sebelum diakhiri dengan perlawanan Grand Final Best-of-Seven (BO7).

Saingan wanita MWI turut melalui proses pengembangan dengan edisi kali ini melibatkan pusingan kelayakan di lebih 60 wilayah, termasuk penyertaan sulung pusingan kelayakan dari Eropah Barat. MWI akan memulakan saingan dengan 16 pasukan di Peringkat Kumpulan dalam format ‘double-elimination’ BO3.

Bagi Peringkat Kalah Mati MWI, satu sistem penentuan lawan baru telah diperkenalkan. Empat pasukan teratas yang berada di dalam ‘Upper Bracket’ Peringkat Kumpulan akan diberikan kelebihan berbanding pasukan ‘Lower Bracket’. Pasukan-pasukan di kedudukan atas ini berhak memilih sendiri lawan mereka secara terus daripada kelompok ‘Lower Bracket’, berdasarkan hierarki yang menilai data-data spesifik seperti perbezaan perlawanan dan tempoh masa kemenangan direkodkan.

Ketua Global Esukan MLBB di MOONTON Games, Tiger Xu menjelaskan bahawa struktur pertandingan baru ini direka bentuk untuk memberikan tekanan berterusan kepada pemain serta menguji tahap konsistensi pasukan di ekosistem global. Perubahan drastik terhadap format ini dilaksanakan selepas penganjuran EWC 25 mencatatkan angka tontonan yang tinggi dengan kejohanan MSC melepasi 3 juta penonton serentak, manakala kejohanan MWI mengumpul sehingga 496,995 penonton serentak.

Leave a Reply