Pada Mei lepas, Panic Inc mengumumkan yang mereka bakal melancarkan konsol permainan video mudah alih baharu yang digelar sebagai Playdate. Ia adalah konsol unik yang mempunyai engkol sebagai salah satu cara mengawal.
Melalui kemaskini untuk bulan Disember, mereka mengumumkan yang konsol tersebut masih disahkan akan tiba pada tahun 2020, dan mereka juga mengumumkan akan menjual konsol versi awal kepada pembangun yang ingin membangunkan permainan untuknya.
Pembangun yang berminat, boleh mendaftar untuk membeli konsol tersebut dengan lebih awal. Oleh kerana ia direka khas untuk pembangun, ia tidak akan disertakan dengan sebarang permainan.
Sebelum ini Panic juga mengumumkan yang konsol tersebut akan dipasang di Malaysia, dan dua orang pekerja mereka sedang berada di sini untuk menyelia produksi konsol tersebut.
Mengenai penjualan kepada umum, Panic mengatakan yang pra-tempah hanya akan dibuka apabila mereka sudah mempunyai jumlah yang mencukupi untuk diedarkan, mereka juga akan memastikan ia bukan menjadi terhad sebaliknya akan terus menerima pra-tempah walaupun pengeluaran pertama habis diedarkan.
Menambahkan kecomelan konsol ini, mereka juga sedang membangunkan kerangka khas untuk konsol tersebut yang bagi kami sangat menarik. Apa pendapat anda dengan konsol ini?
Ia disasarkan akan dijual dengan harga RM620 pada tahun 2020.