Semalam telah kami cadangkan lima kandungan menarik di Disney+. Anda perlu menggunakan VPN dan kemudian membuat langganan melalui pembayaran Google Play untuk tonton di Malaysia. Perkara ini harus dilakukan, kerana Disney+ tidak dilancarkan di Malaysia secara rasmi. Antara spekulasinya adalah, di Malaysia Astro yang memegang hak lesen Disney.
Terkini melalui Techcrunch, mereka melaporkan yang Disney+ akan hadir ke pasaran Malaysia bermula tahun depan. Akan tetapi, bukan platform Disney+ yang akan dilancarkan – sebaliknya adalah “Hotstar“. Hotstar adalah platform penstriman video popular di India dan ia dimiliki oleh The Walt Disney Company India. Laporan mengatakan yang katalog Disney+ akan disertakan dalam Hotstar dan itu adalah cara pengguna di Malaysia akan dapat menikmati kandungan-kandungan Disney+ secara rasmi. Hotstar bukan sahaja akan dilancarkan di Malaysia, tetapi juga di India dan beberapa negara Asia Tenggara yang lain.
Di India, langganan tahunan Hotstar adalah $14 iaitu sekitar RM58.24. Akan tetapi disebabkan populariti Disney+ yang kini mencapai 10 juta pelangan berbayar – Disney akan menaikkan harga langganan Hotstar tidak lama lagi.