Disney+ adalah perkhidmatan penstriman video daripada Disney. Ia sudah pun dilancarkan di Amerika Syarikat, Kanada dan Netherlands baru-baru ini. Dalam artikel ini, akan kami cadangkan lima kandungan menarik yang anda boleh tonton di platform ini. Walau bagaimanapun, Disney+ sebenarnya belum lagi dilancarkan di Malaysia – cuma kami telah temui cara mudah untuk anda langgan.

Apa yang anda perlu lakukan adalah memasang aplikasi VPN seperti CyberGhost atau nordVPN. Kemudian cipta akaun Google atau iCloud yang tetapan negaranya adalah Amerika Syarikat, Kanada atau Netherland. Buka App Store atau Play Store dan cari aplikasi Disney+ (untuk peranti Android 10, ia tidak disokong buat masa ini) dan muat turun aplikasi tersebut. Dari Google Play, jika anda langgan anda akan terima harga dalam bentuk RM. Sebulan adalah RM28.99 dan RM294.99 untuk langganan setahun. Kami ada bertanyakan akan hal ini kepada Disney Malaysia, namun mereka menyatakan yang ia sememangnya belum dilancarkan di Malaysia lagi.

Untuk tutorial lanjut mengenai cara melanggan Disney+ di Malaysia, anda boleh baca artikel tutorial di Amanz melalui pautan di bawah ini.

[info] Tutorial Melanggan Disney+ Di Malaysia [/info]


1. The Mandalorian

The Mandalorian adalah siri TV sampingan Star Wars yang memfokuskan watak penjahat sebagai watak utama. The Mandalorian atau nama gelarannya Mando, adalah pembunuh upahan seakan Boba Fett. Siri TV ini berlaku 5 tahun selepas Return of the Jedi dan 25 tahun sebelum The Force Awakens. Bagi peminat Star Wars, anda pasti akan suka akan siri TV ini.

2. Lady & The Tramp

Filem ini adalah filem olahan semula dari filem animasi asal yang ditayangkan pada tahun 1955. Ia adalah filem romantik mengisahkan dua ekor anjing spesis Cocker Spaniel. Si betina bernama Lady dan si jantan bernama Tramp. Ia akan mengisahkan pengembaraan romantik dua ekor anjing ini di jalanan di sebuah bandar. Sudah tentu, adegan yang ikonik memakan spaghetti dan ‘tercium’ turut akan disertakan.

3. High School Musical: The Musical The Series

High Scool Musical adalah filem muzikal yang ditayangkan pada tahun 2006. Kini selepas 13 tahun, siri TV berdasarkan francais filem pula hadir ke Disney+. Siri TV ini mengisahkan Miss Jenn iaitu guru drama di East High School (sekolah di mana berlakunya filem High School Musical), menganjurkan persembahan berdasarkan filem yang asal. Lantas, judul siri TV ini adalah High School Musical: The Musical.

4. Avengers: Endgame

Avengers: Endgame adalah filem Avengers yang paling gempak dan epik. Kami memberi skor 10/10 kerana filem ini membuatkan kami menangis, walaupun berulang kali tonton. Ia adalah rumusan bagi 22 filem selama 11 tahun penantian. Filem ini boleh distrim di Disney+, yang mana merupakan satu-satunya platform penstriman video yang boleh menstrim filem ini.

5. Iron Man 2

Bagi peminat Iron Man, anda pasti akan hargai yang Disney+ menawarkan filem ini untuk distrim pada platform mereka. Di Netflix, hanya ada Iron Man pertama dan Iron Man 3 sahaja – tiada Iron Man 2. Bagi mereka yang tiada televisyen, dan gemar akan francais filem Iron Man – ini adalah sebuah filem yang agak baik. Jika itu tidak cukup, ketiga-tiga filem Iron Man boleh ditonton di platform ini.


Oh ya, untuk kerap menonton Disney+ dengan mudah – muat turun untuk tontonan luar talian terlebih dahulu. Jadi anda tidak perlu sentiasa bersambung dengan VPN. Sedikit mengecewakan yang Disney+ tidak hadir di Malaysia secara rasmi. Sudahlah Apple TV+ tidak mempunyai banyak kandungan dan Netflix pula sudah tidak tahu nak tonton cerita apa.

Apa-apa pun apakah pendapat anda mengenai lima cadangan kandungan kami dalam Disney+ ini? Adakah anda juga salah seorang pelanggan Disney+?

Leave a Reply