No Straight Roads sememangnya menjadi tumpuan ramai oleh pemain di Malaysia di mana ianya merupakan permainan yang dibangunkan oleh studio pembangun, Metronomik di mana ianya adalah studio di bawah Wan Hazmer, bekas pereka permainan Final Fantasy XV dan Daim Dziauddin, bekas konsep artis untuk Street Fighter V.
Terkini ketika acara persidangan Level Up KL 2019 oleh MDEC, Metronomik juga berkongsi sebilangan informasi lanjut berkenaan permainan pertama mereka iaitu No Straight Roads.
Perkara pertama yang diumumkan semestinya berkenaan penerbit Sold Out yang kami laporkan sebelum ini, di mana syarikat penerbit dari United Kingdom akan menerbitkan permainan tersebut di Playstation 4 dan PC.
Meskipun tarikh pelancarannya ditundakan, Wan Hazmer masih lagi berkongsi sebilangan informasi lanjut lain berkenaan permainan tersebut termasuklah pengumuman khas berkenaan kandungan budaya Malaysia, di mana mereka akan umumkannya ketika acara Level Up KL 2019 kelak.
Menurut Wan Hazmer, permainan tersebut akan mempunyai kandungan sesi permainan antara 8 hingga 10 jam dan ianya akan dijual sekitar $39.99(~RM168) buat pasaran global. Namun bagi pasaran Malaysia, Wan Hazmer mengesahkan bahawa ianya akan dijual dengan harga mampu milik dan mereka akan umumkannya kemudian.
Menariknya sekali. beliau juga mengumumkan bahawa No Straight Roads juga bakal hadir demo permainan menjelang tahun hadapan yang mana pasti akan memberi peluang buat pemain untuk mencuba dahulu permainan tersebut. Namun buat masa ini tarikh rasmi masih belum diumumkan.
Selain itu, Wan Hazmer juga menyatakan bahawa keseluruhan suara latar yang dilakonkan buat permainan tersebut dilakonkan oleh pelakon Malaysia dengan bahasa Inggeris bersama loghat Malaysia. Sekaligus membuatkan permainan ini sangat unik dan mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan pemain di luar negara, sepanjang sesi demo permainan mereka di sana.
Tambahan itu, ketika Metronomik mempamerkan permainan mereka di luar negara, No Straight Roads juga mendapat sambutan yang baik di kalangan pemain di sana yang mana mereka juga mendapat pelbagai anugerah di di acara E3, Tokyo Game Show dan sebagainya.
No Straight Roads merupakan permainan aksi pengembaraan berdasarkan rentak muzik dan ianya bakal tiba di Playstation 4 dan PC. Buat masa ini, ianya disahkan bakal dilancarkan sekitar awal tahun hadapan. Anda juga boleh menonton video acah terkini permainan tersebut di bawah.