Sebelum ini kami melaporkan yang mana Nintendo akan melancarkan konsol Switch baharu yang mana ianya mempunyai ketahanan bateri yang lebih lama berbanding model sebelum ini.
Terkini, melalui kedai permainan Impulse Gaming, harga bagi jualan konsol tersebut akhirnya diumumkan iaitu ianya bakal tiba di pasaran Malaysia dengan harga RM1299 dan ia akan mula dijual sekitar pertengahan Ogos.
Menurut Impulse Gaming, harga jualan tersebut merupakan harga jualan rasmi oleh Maxsoft, iaitu pengedar rasmi Nintendo di Malaysia.
Semestinya harga tersebut boleh dikatakan harga yang agak berpatutan untuk konsol tersebut, namun ianya agak mengecewakan kerana ianya dijual dengan harga berbeza berbanding model sebelum ini, RM1199 dan Nintendo sebelum ini menyatakan harga Nintendo Switch baharu akan dijual dengan harga yang sama.
Meskipun begitu, kami juga berasa mungkin harga jualan model asal adalah lebih murah kerana ianya adalah hasil daripada stok-stok sebelum ini. Meskipun begitu, memandangkan kedua-dua model Switch tersebut tidak mempunyai sebarang perbezaan ketara kecuali bateri seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, anda mungkin berminat untuk mendapat versi yang lebih murah.
Manakala bagi anda yang menanti informasi berkenaan Switch Lite yang bakal tiba 20 September ini, buat masa ini harga rasminya masih belum diumumkan dan berdasarkan kenyataan Impulse Gaming, ianya mungkin akan dijual sekitar RM849 sehingga RM999.