Skip to main content

Nintendo hari ini mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan konsol Nintendo Switch model baharu menjelang Ogos 2019 ini.

Menurut laman rasmi Nintendo, model baharu tersebut akan mempunyai ketahanan bateri yang lebih tinggi dengan sokongan antara 4.5 sehingga 9 jam penggunaan berbanding model sebelum ini dengan sokongan hanya 2.5 sehingga 6.5 jam sahaja.

Model Switch baharu ini sememangnya akan menjadi pengganti untuk model asal Switch yang dilancarkan 2017 lepas dan ia juga akan dijual seiring dengan model Switch Lite yang diumumkan baru-baru ini.

Berdasarkan apa yang dikongsikan oleh Nintendo, ianya tidak akan mempunyai sebarang perubahan lain kecuali ketahanan bateri yang dinyatakan di atas dan juga rekaan kotak yang berbeza berbanding model sebelum ini. Dari segi nombor siri model juga, Switch baharu akan bernombor HAC-001(-01).

Peningkatan bateri ini juga mungkin disebabkan penukaran cip pemprosesan yang difailkan oleh Nintendo sebelum ini. Akan tetapi, dari segi prestasi mahupun sebarang peningkatan pemuatan dan sistem Switch, ianya masih belum diumumkan.

Model baharu ini juga masih belum disahkan adakah ianya adalah model Switch versi “Pro” yang diura-urakan sebelum ini. Namun, berdasarkan kenyataan Doug Bowser sebelum ini, kita mungkin tidak akan mendapat sebarang pelancaran model Switch baharu lain selain model baharu ini dan Switch Lite untuk tahun ini.

Selain itu, Nintendo juga mengumumkan set alat kawalan JoyCon dengan kombinasi warna baharu. Dua set tersebut adalah set JoyCon berwarna biru dan kuning bersama-sama dengan set JoyCon berwarna ungu dan oren. Kedua-dua set warna baharu JoyCon tersebut akan dilancarkan pada 4 Oktober 2019 ini.

Leave a Reply