Minggu lepas ketika acara E3 2019, Nintendo mengumumkan permainan Animal Crossing: New Horizon bakal dilancarkan tahun hadapan.

Terkini, melalui laporan Nintendo Life, mereka berkongsi sesi temu bual bersama pengarah dan penerbit permainan tersebut yang mana, Higashi Nogami iaitu penerbit buat Animal Crossing: New Horizon tidak akan menyokong penyimpanan atas awan atas sebab tidak ingin pemain memanipulasikan tempoh masa permainan tersebut.

Bagi anda yang baru dengan siri permainan Animal Crossing, ianya merupakan permainan yang menggunakan masa nyata untuk dimainkan, sekaligus setiap waktu yang pemain mainkan Animal Crossing, ianya agak digambarkan di dalam permainan tersebut. Ini bermakna, jika pemain bermain permainan tersebut pada waktu malam, keadaan permainan tersebut akan menjadi malam.

Ianya agak mengecewakan memandangkan permainan seperti Animal Crossing mempunyai sistem kemajuan yang sangat penting dan panjang. Sekaligus, jika konsol Switch pemain rosak ataupun hilang, pemain tampaknya perlu bermula dari awal untuk bermain Animal Crossing: New Horizon.

Sememangnya ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan memandangkan sebelum Nintendo menyatakan tidak semua permainan akan menyokong fungsi penyimpanan atas awan melalui langganan Nintendo Switch Online.

Selain itu, Nintendo juga menyatakan bahawa Amiibo yang telah dilancarkan sebelum ini buat siri Animal Crossing akan boleh digunakan buat permainan tersebut. Namun, dari segi kandungan ataupun senarai keserasian, ianya masih belum diumumkan.

Pada pendapat saya sendiri, berkenaan sokongan atas awan tersebut semestinya ianya adalah satu perkara yang agak mengecewakan memandangkan salah satu sebab saya melanggan Nintendo Switch Online adalah untuk menggunakan fungsi tersebut. Akan tetapi, memandangkan permainan ini bakal tiba awal tahun hadapan, mungkin juga Nintendo akan menyertakan bentuk sistem lain yang mungkin akan mengganti fungsi penyimpanan atas awan tersebut. Kami pasti akan mengemaskini jika terdapat sebarang informasi lanjut.

Animal Crossing: New Horizon bakal tiba secara eksklusif di konsol Switch pada 20 Mac 2019 ini.

Sohor Kini