September lepas, Nintendo mengumumkan yang mana mereka akan melancarkan permainan Animal Crossing di konsol Switch. Terkini, melalui acara Nintendo Direct E3 2019, mereka akhirnya mengumumkan secara rasmi tarikh pelancaran dan tajuk penuh permainan Animal Crossing New Horizon.
Melalui pengumuman tersebut, Nintendo menyatakan Animal Crossing New Horizon akan tiba pada 20 Mac 2020 kelak.
Melalui permainan ini, Tom Nook kali ini membawa satu bisnes baharu di mana ianya dipanggil Nook Inc. Deserted Island Getaway Package! di man abeliau akan membawa pemain untuk tinggal di kepulauan terbiar.
Menariknya, pemain kemudiannya diberi peluang untuk mengubah-suai pulau tersebut dan menghasilkan pelbagai jenis kemudahan seperti rumah, cucuk tanam dan juga mengumpul pelbagai jenis barangan untuk menghasilkan set kelengkapan seperti perabot dan sebagainya.
Pemain juga akan diberi pelbagai cabaran dan misi untuk dilakukan disamping membuat kawan-kawan baharu yang bakal tiba di pulau tersebut. Nintendo juga menjanjikan pelbagai fungsi permainan sebelum ini yang bakal tiba seperti memancing, menghasilkan dan menyusun perabot rumah sendiri dan sebagainya.
Tambahan itu, Animal Crossing New Horizon juga bakal menyertakan mod multi-pemain baharu di mana pemain berupaya untuk berinteraksi dengan pemain lain secara terus.
Bagi anda yang meminati siri Animal Crossing, permainan Animal Crossing New Horizon ini semestinya anda perlu dapatkan menjelang Mac 2020 kelak.