Informasi Permainan Video Terkini
Fungsi Simpanan Storan Atas Awan Nintendo Switch Online Terhad Untuk Sebilangan Permainan

Fungsi Simpanan Storan Atas Awan Nintendo Switch Online Terhad Untuk Sebilangan Permainan

Diterbitkan pada Sep 9, 2018 oleh .

Sebelum ini, Nintendo mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan fungsi atas-talian buat konsol Switch, iaitu Nintendo Switch Online yang mana ia merupakan fungsi seakan Playstation Plus ataupun Xbox Live Gold yang mana ia membenarkan pemain untuk bermain secara multi-pemain secara atas-talian dan sebagainya.

Namun, antara fungsi yang dinanti-nantikan oleh pemain, semestinya keupayaan untuk menyimpan fail simpanan permainan secara atas-talian melalui storan atas awan. Akan tetapi, tampaknya fungsi tersebut akan hanya boleh digunakan untuk sesetengah permainan sahaja.

Menurut laporan terkini oleh Engadget, mereka mendapati bahawa terdapat sebilangan laman rasmi permainan keluaran Nintendo menyatakan terdapat sebilangan permainan yang tidak menyokong fungsi tersebut. Antaranya adalah permainan akan datang seperti Pokemon: Let’s Go dan juga Splatoon 2.

Menurut kenyataan Nintendo yang dikongsikan oleh laporan tersebut, Nintendo menyatakan bahawa fungsi ini dihadkan kerana mereka tidak ingin pemain untuk menyalah guna fail sandaran tersebut yang akan memberi kesan terhadap permainan multi-pemain.

Seperti contohnya, pemain mungkin berupaya untuk mendapat semula barangan yang telah ditukarkan terhadap pemain lain dengan memuat-turun semula fail simpanan permainan yang disimpan di storan atas awan tersebut. Selain itu, mereka juga risau akan pemain akan menipu di dalam sistem kedudukan permainan terutamanya permainan kompetitif seperti Splatoon 2.

Sememangnya ini merupakan berita yang agak mengecewakan. Walaupun Nintendo menyatakan terdapat pelbagai lagi permainan lain yang akan menyokong fungsi tersebut, namun ianya pasti agak menyusahkan buat pemain yang ingin membuat penyimpanan ataupun pertukaran fail simpanan untuk permainan yang memfokuskan multi-pemain.


TIPS & ULASAN