Segala Pengumuman Semasa Nintendo Direct 13 September 2018

Nintendo Direct yang tertunda dari tarikh asal iaitu 7 September 2018 akibat bencana alam yang berlaku di Jepun akhirnya ditayangkan pada pagi tadi.

Semasa Direct ini, Nintendo mengumumkan pelbagai permainan untuk Switch dan juga 3DS/2DS. Berikut adalah segala pengumuman semasa Nintendo Direct hari ini.

Luigi’s Mansion 3

Direct bermula dengan video acah untuk permainan terbaru bagi siri Luigi’s Mansion iaitu Luigi’s Mansion 3 (nama mungkin berubah). Seperti namanya, ia merupakan permainan ketiga untuk siri ini selepas Luigi’s Mansion yang dikeluarkan untuk Gamecube pada tahun 2001  dan Luigi’s Mansion: Dark Moon yang dikeluarkan pada pada tahun 2013 untuk 3DS.

Permainan ini sedang dibangunkan untuk Switch dan akan tiba pada tahun 2019. Pengumuman lanjut akan dilakukan pada waktu yang lain.

Selain itu, Nintendo juga mengumumkan permainan pertama siri ini Luigi’s Mansion akan dikeluarkan untuk 3DS pada 12 Oktober 2018. Versi 3DS akan menyertakan mod koperasi untuk 2 pemain.

Kirby’s Extra Epic Yarn

Kirby’s Extra Epic Yarn merupakan permainan platformer yang dikeluarkan untuk Wii U pada tahun 2010. Ia mempunyai rekaan dunia dan watak yang unik kerana berdasarkan benang.

Melalui Direct, Nintendo mengumumkan permainan tersebut akan hadir untuk 3DS pada tahun 2019. Selain menyertakan kesemua peringkat dari permainan asal, ia juga akan menyertakan kuasa dan mod baharu.

Mario and Luigi: Bowser’s Inside Story + Bowser Jr.’s Journey

Permainan seterusnya yang diumumkan semasa Direct hari ini juga merupakan permainan yang dikeluarkan semula. Mario and Luigi: Bowser’s Inside Story merupakan permainan RPG yang dikeluarkan untuk Nintendo DS pada tahun 2009.

Nintendo mengumumkan permainan tersebut akan dikeluarkan semula untuk 3DS, ini menjadikan permainan keempat siri ini yang dikeluarkan untuk 3DS selepas Superstar Saga, Dream Team dan Paper Jam. Kami tidak terkejut jika Partners in Time juga akan dikeluarkan untuk 3DS.

Selain kandungan asal, versi 3DS juga akan menyertakan penambahan kandungan baharu iaitu Bowser Jr’s Journey. Permainan ini akan dikeluarkan pada 11 Januari 2019.

Yo-Kai Watch Blasters

Yo-Kai Watch Blasters merupakan permainan sampingan untuk siri Yo-Kai Watch. Ia menyertakan Red Cat Corps dan White Dog Squad manakala Moon Rabits Crew akan hadir pada 21 September 2018.

Permainan ini sudah dikeluarkan untuk 3DS di Jepun pada tahun 2015. Nintendo hari ini, mengumumkan permainan tersebut kini boleh didapati secara global.

Capcom Beat ‘Em Up Bundle

Nintendo juga mengumumkan berkas untuk permainan arked klasik iaitu Capcom Beat ‘Em Up yang menyertakan Final Fight, The King of Dragons, Captain Commando, Knights of Round, Warriors of Fate, Armored Warriors dan Battle Circuits. Kesemua permainan ini boleh dimainkan sehingga 4 orang mengunakan 4 joy-con ataupun secara dalam talian. Berkas ini akan tiba pada 18 September 2018.

New Super Mario Bros. U Deluxe

Seperti 3DS, Switch juga menerima permainan yang dikeluarkan kembali. Nintendo mengumumkan permainan New Super Mario Bros. U yang dikeluarkan untuk Wii U pada tahun 2012 akan menerima penambah-baikkan dan akan dikeluarkan untuk Switch.

Versi Switch akan menyertakan kesemua kandungan permainan asal serta dua watak baharu iaitu Nabbit dan Toadette untuk menyertai Mario, Luigi dan Toad. Permainan ini juga mempunyai mod koperasi sehingga 4 pemain. Ia akan tiba pada 11 Januari 2019.

Katamari Damacy Reroll

Katamari Damacy merupakan permainan tekaria yang dikeluarkan untuk Playstation 2 pada tahun 2004. Versi yang ditambah-baikkan iaitu Katamari Damacy Reroll diumumkan untuk Switch dan akan dikeluarkan pada suku terakhir tahun ini.

Town

Menariknya juga, studio pembangun Game Freak juga mengumumkan permainan baru yang bakal mereka lancarkan di konsol Switch iaitu Town. Namun buat masa ini, ianya bukan nama terakhir buat permainan tersebut dan ianya bakal tiba pada tahun depan.

Buat masa ini, tak banyak informasi yang dikongsikan buat permainan tersebut, namun berdasarkan trailer yang dipertonton. Permainan tersebut tampaknya mempunyai bentuk pertempuran secara turutan seperti permainan klasik JRPG.

Cities Skylines Nintendo Switch Edition

Bagi anda yang berminat permainan simulasi pembinaan bandar raya, Paradox Interactive mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan permainan Cities Skylines di konsol Switch.

Sekaligus, permainan tersebut juga akan dilancarkan bersama dengan kandungan yang dilancarkan sebelum ini di konsol lain dan PC iaitu Cities Skylines: After Dark.

Cities Skylines Nintendo Switch Edition dilancarkan hari ini melalui Nintendo eShop dengan harga $39.99(~RM169).

Yoshi’s Crafted World

Sebelum ini, permainan Yoshi diumumkan buat konsol Switch dimana ianya dilaporkan akan ditunda sehingga tahun 2019. Terkini ketika acara Nintendo Direct ini, Nintendo berkongsi sebilangan informasi berkenaan permainan tersebut dimana kini ianya dinamakan Yoshi Crafted World dan bakal tiba pada tahun hadapan.

Walaupun tarikh pelancarannnya masih belum dikongsikan, namun berdasarkan video acah yang dipertontonkan, permainan ini tampaknya mempunyai pelbagai bentuk permainan tekaria yang menarik dimana pemain berupaya untuk mengubah pentas permainan ke arah yang berlainan untuk melihat kawasan-kawasan yang tersembunyi.

Seperti biasa, kami akan kongsikan sebarang  informasi tambahan berkenaan permainan tersebut setelah Nintendo mengumumkannya kelak.

Sid Meier’s Civilization VI

Sid Meier’s Civilization VI juga diumumkan bakal tiba buat konsol Switch pada 16 November ini ketika acara Nintendo Direct tersebut dimana ianya merupakan permainan strategi turutan yang sangat terkenal di PC.

 

Animal Crossing

Animal Crossing merupakan permainan yang tidak asing lagi bagi pemilik konsol Nintendo. Permainan pertama untuk siri ini dikeluarkan pada tahun 2001 lagi untuk Nintendo 64 sebelum dikeluarkan semula untuk Gamecube. Permainan terbaru adalah New Leaf yang dikeluarkan pada tahun 2012 untuk 3DS. Melalui video acah, Nintendo akhirnya mengumumkan Animal Crossing untuk Switch yang akan tiba pada tahun 2019.

Kemaskini

Selain mengumumkan permainan baharu untuk Switch, Nintendo juga berkongsi beberapa kemaskini untuk permainan mereka yang sudah dikeluarkan.

Splatoon 2 versi 4 akan menyertakan pelbagai senjata dan hiasan baharu. Selain itu ia juga akan membawa beberapa perubahan untuk acara Splatfest.

Mod Normal dan Pro akan menggantikan acara Solo dan Team. Acara Normal membolehkan anda untuk menyertai Splatfest Battle secara solo ataupun berkumpulan sehingga 4 orang. Manakala untuk mod Pro anda akan bermain secara solo.

Splatfest Battle juga secara rawak akan mempunyai 10x yang memberikan markah 10 kali ganda dan turut disertakan adalah 100x. Kemaskini boleh didapati sekarang.

Mario Tennis Aces yang baru sahaja dikeluarkan tahun ini juga menerima kemaskini yang menambah karakter baharu iaitu Birdo, Shy Guy, Koopa Paratroopa dan Petey Piranha. Selain itu, Co-Op Challenge juga akan ditambah ke dalam permainan untuk masa terhad yang membolehkan anda melalui pelbagai cabaran bersama pemain lain di dalam talian untuk menerima pelbagai hadiah. Kemaskini ini akan hadir pada 19 September 2018.


Berikut adalah segala pengumuman yang diperlihatkan semasa Nintendo Direct 14 September 2018. Jika anda ingin menonton sendiri Direct ini, kami sertakan video penuh di bawah.

Sohor Kini