Setelah tertirisnya permainan Roller Champions oleh Ubisoft sebelum ini, ketika persidangan Ubisoft, mereka akhirnya mengumumkan secara rasmi permainan tersebut di mana ianya dijadualkan bakal tiba awal 2020.
Menariknya, bersempena dengan pengumuman ini, Ubisoft juga melancarkan demo percuma khas dan anda boleh mainnya di PC bermula hari ini sehingga 14 Jun ini. Untuk memuat-turun tersebut, anda boleh ke laman rasmi Roller Champions.
Seperti yang dikongsikan oleh kami, Roller Champions memfokuskan bentuk permainan sukan kasut roda di mana pemain akan berlumba untuk menjadi juara di dalam bentuk 3 lawan 3.
Selain daripada bentuk perlawanan tersebut, Ubisoft juga menyatakan permainan ini akan menyertakan pelbagai kandungan seperti keupayaan untuk menghasilkan watak sendiri, kemajuan watak dan juga mendapatkan peminat bersama mencari penaja.
Buat masa ini, platform rasmi permainan ini masih belum diumumkan. Meskipun begitu, apa yang pasti permainan ini akan dilancarkan di PC, memandangkan demo permainan tersebut boleh diakses di PC.
Jangan lepaskan peluang anda untuk mencuba permainan Roller Champions secara terhad bermula hari ini.