Ketika acara persidangan Ubisoft hari ini, mereka akhirnya mengumumkan secara rasmi Watch Dogs Legion yang diacahkan oleh mereka sebelum ini. Menurut Ubisoft, permainan tersebut akan tiba pada 6 Mac 2020 di konsol Playstation 4, Xbox One, PC dan juga Stadia.
Watch Dogs Legion merupakan permainan dunia terbuka yang memfokuskan di bandaraya London. Melalui permainan tersebut, ianya kelihatan memfokuskan bentuk berpasukan di mana pemain berupaya untuk merekrut pelbagai jenis watak untuk menyertai pasukan rintangan DedSec.
Menariknya, berdasarkan video acah yang diperlihatkan. Permainan ini lebih memfokuskan bentuk naratif terbuka di mana setiap watak yang direkrut oleh pemain mempunyai penceritaan dan kemahirannya tersendiri.
Dari segi konsep permainan lain, bentuk selinap, penggunaan godam kamera litar tertutup dan sebagainya kembali di dalam permainan ini. Menariknya juga, bandar London juga kelihatan lebih futuristik, sekaligus permainan ini mungkin bertempatkan pada masa yang lebih hadapan berbanding permainan sebelum ini. Meskipun begitu, buat masa ini informasi lanjut berkenaan penceritaannya tidak dikongsikan lagi.
Seperti kebanyakkan permainan Ubisoft lain, Watch Dogs Legion juga akan dilancarkan dengan pelbagai jenis edisi terdiri daripada edisi biasa, edisi Gold dan edisi Ultimate. Setiap edisi tersebut akan menyertakan beberapa kandungan digital yang berlainan termasuklah pas musim permainan.
Menariknya juga, Ubisoft juga mengumumkan sebilangan edisi-edisi lain seperti edisi Collectors yang menyertakan figura topeng dan juga figura khas ‘Resistant Of London’ yang mana akan dijualkan secara berasingan.
Kami di Aksiz akan mengemaskini jika terdapat sebarang pengumuman tambahan kelak.