Microsoft Umum Langganan Xbox Game Pass Baharu Khas Buat PC

Seperti yang diperkatakan oleh Microsoft sebelum ini, Xbox Game Pass akhirnya diumumkan bakal dilancarkan di PC, melalui Windows 10.

Melalui servis langganan Xbox Game Pass di PC, Microsoft menyatakan bahawa langganan ini adalah berlainan daripada versi konsol Xbox One di mana servis ini dibangunkan khas buat pemain di PC, dengan konsep yang sama dengan versi konsol.

Xbox Game Pass di PC akan memberi akses buat pemain untuk bermain lebih dari 100 permainan di PC buat Windows 10 daripada pelbagai penerbit permainan terkenal seperti Bethesda, Deep Silver, Devolver Digital, Paradox Interactive, SEGA dan sebagainya. Microsoft juga menjanjikan bahawa mereka akan membawa permainan baharu dari pembangun Xbox Game Studios di mana ianya akan dilancarkan pada hari yang sama buat versi PC dan konsol.

Menariknya, buat pelanggan Xbox Game Pass, mereka juga berupaya untuk membeli permainan penuh yang tersenarai dengan harga diskaun sehingga 20% termasuklah DLC pernambahan. Ini sekaligus memberi peluang buat pemain untuk terus memiliki permainan pilihan mereka secara terus tanpa perlu melanggan Xbox Game Pass.

Microsoft juga menyatakan permainan akan datang oleh mereka seperti Gears 5 juga akan dilancarkan di Steam, sekaligus memberi pilihan yang lebih meluas buat pemain di PC.

Setakat ini, tidak banyak informasi yang diumumkan dan sebarang informasi lanjut akan diumumkan ketika E3 2019 ini, termasuklah tarikh pelancarannya. Seperti yang dikongsikan oleh kami sebelum ini, persidangan Microsoft akan berlangsung pada 10 Jun ini jam 4 pagi.

Meskipun begitu, ini sememangnya satu konsep yang menarik dan buat mereka yang bermain permainan di PC, semestinya langganan ini akan bersaing dengan langganan Origin Premier Access yang diumumkan sebelum ini.

Untuk anda yang sudah pun melanggan Xbox Game Pass di konsol Xbox One, tampaknya langganan di PC adalah berlainan dengan versi konsol, sekaligus anda mungkin perlu membayarnya secara berasingan. Dari segi harga, Microsoft masih belum mengumumkannya, namun kami percaya ianya tidak akan berbeza dengan harga langganan di konsol di mana ianya berharga $9.99(~RM43) sebulan.

Sohor Kini