Skip to main content

Bulan Jun bakal tiba tidak lama lagi, dan seperti tahun-tahun yang lepas, Jun adalah bulan di mana bermulanya acara E3. Bagi tahun ini, E3 2019 akan berlangsung bermula 11 Jun 2019 sehingga 13 Jun 2019.

Bagi yang berpeluang untuk berkunjung ke acara tersebut, tarikan utama sudah semestinya melawat pelbagai booth penerbit permainan serta konsol yang terdapat di sana. Namun, bagi pengikut permainan video, tarikan E3 sudah semestinya persidangan siaran langsung.

Berikut adalah senarai acara bersama tarikh dan waktu tempatan buat persidangan siaran langsung dan spekulasi kami berkenaan acara tersebut yang bakal dikongsikan oleh pembangun dan pengeluar permainan tersebut. E3 tahun ini tidak akan menyertakan acara persidangan oleh Sony untuk PlayStation dan juga EA.

Microsoft (Xbox) – 10 Jun, Isnin, jam 4 pagi [Pautan Strim]

Dengan Sony tidak menghadiri dan juga tidak melakukan sebaran persidangan semasa E3 tahun ini, fokus penonton sudah semestinya kepada Microsoft melalui persidangan untuk Xbox.

E3 tahun lepas, Xbox mengambil resipi Sony dengan terus menerus memperlihatkan permainan baharu yang akan tiba, kami menjangkakan pada tahun ini mereka akan melakukan perkara yang sama. Kami juga menjangkakan tarikh pelancaran untuk permainan CD Projekt Red iaitu Cyberpunk 2077 akan diumumkan di acara ini.

Bethesda – 10 Jun, Isnin, jam 8.30 pagi [Pautan Strim]

Tema bagi persidangan E3 untuk Bethesda tahun ini adalah “Be Together”, mungkinkah mereka bakal mengumumkan lebih banyak permainan secara dalam talian? Bethesda juga mengatakan yang persidangan kali ini akan memfokuskan kepada permainan DOOM Eternal, kemungkinan besar termasuk juga tarik pengeluaran.

Devolver Digital -10 Jun, Isnin, jam 10 pagi [Pautan Strim]

Persidangan langsung untuk Devolver Digital agak sukar untuk dijangkakan kerana mereka melakukannya dengan cara berlainan. Tambahan, Devolver juga sering mempunyai permainan baharu jadi apa-apa pun boleh berlaku. Sesuatu yang pasti, ia akan menjadi persidangan yang pelik.

PC Gaming Show – 11 Jun, Selasa, jam 1 pagi [Pautan Strim]

PC Gaming Show kali ini dibawakan oleh Epic Games Store, oleh disebabkan itu kami menjangkakan ia akan memfokuskan permainan-permainan yang akan hadir ke kedai dalam talian tersebut termasuk juga permainan eksklusif. Agak menarik untuk melihat reaksi pemain apabila ia diumumkan nanti.

Limited Run Games – 11 Jun, Selasa, jam 3 pagi [Pautan Strim]

Limited Run Games adalah penerbit permainan secara fizikal terhad. Menariknya, semasa mengumumkan mengenai persidangan tersebut, mereka juga mengatakan akan membuat pengumuman berkait dengan PS Vita. Tampaknya, konsol mudah alih Sony tersebut akan terus hidup.

Ubisoft – 11 Jun, Selasa, jam 4 pagi [Pautan Strim]

Selain memperlihatkan permainan seperti Tom Clancy’s Ghost Recon yang sudah diumumkan sebelum ini, kami juga menjangkakan mereka akan membuat pengumuman untuk permainan baharu termasuk juga Watch Dog 3.

Kinda Funny Games Showcase – 11 Jun, Selasa, jam 7.30 pagi [Pautan Strim]

Kinda Funny Games Showcase merupakan persidangan langsung yang dilakukan oleh Kinda Funny Games. Ia pertama kali dilakukan sebagai menggantikan untuk PlayStation Experience pada tahun lepas. Kali ini mereka kembali dan melakukan semasa E3, mungkin sekali lagi menggantikan Sony. Tiada jangkaan, akan tetapi kami boleh katakan ia akan menyertakan banyak permainan.

Square Enix – 11 Jun, Selasa, jam 9 pagi [Pautan Strim]

Kami menjangkakan, ataupun berharap, maklumat lanjut mengenai Final Fantasy VII Remake akan dikongsikan pada acara persidangan ini. Selain itu, kemungkinan besar juga mereka akan mengumumkan permainan hasil kerjasama di antara Crystal Dynamics dan Marvel.

Nintendo – 12 Jun, Rabu, jam 12 pagi [Pautan Strim]

Nintendo seperti kebiasaan akan memperlihatkan Nintendo Direct semasa persidangan E3 dan kami menjangkakan ia akan memfokuskan kepada permainan Pokemon Sword and Shield dan juga Animal Crossing yang diumumkan akan keluar pada tahun ini.


Berikut adalah tarikh dan masa buat acara E3 tahun ini bersama spekulasi kami berkenaan acara tersebut. Seperti anda, kami di Aksiz juga tidak sabar untuk lihat pelbagai pengumuman utama yang bakal diumumkan oleh pembangun dan pengeluar permainan di atas.

Kami juga ingin mengetahui pendapat dan spekulasi anda berkenaan acara E3 tahun ini, jangan lupa untuk tinggalkan komen anda dibawah dan berkongsi bersama kami.

Leave a Reply