Melalui laporan Kotaku minggu ini, Activision dilaporkan sedang membangunkan Call Of Duty: Black Ops 5 di bawah studio Treyarch, iaitu studio pembangun yang bertanggungjawab untuk Call Of Duty: Black Ops 4 sebelum ini.

Sememangnya sebelum ini kami berkongsikan yang mana Activision mungkin akan melancarkan permainan siri Call Of Duty Modern Warfare tahun ini di bawah Infinity Ward. Namun, laporan ini adalah berkenaan untuk permainan Call Of Duty bagi tahun 2020.

Seperti anda sedia maklum, siri permainan Call Of Duty sememangnya dilancarkan setiap tahun dengan kitaran pembangun antara Treyarch, Infinity Ward dan Sledgehammer Games. Namun, melalui kenyataan Kotaku, permainan Call Of Duty yang dibangunkan oleh Sledgehammer Games tampaknya ditukarkan kepada Black Ops 5 bagi tahun 2020.

Penukaran ini disebabkan atas sebab pertelingkahan antara pembangun Sledgehammer Games dan studio pembantu, Raven Software yang mana ketika pembangunan Call Of Duty buat tahun 2020, terdapat pelbagai isu berkenaannya.

Atas sebab berikut, Activision mengambil keputusan untuk membawa Treyarch di dalam projek tersebut dan kedua-dua studio Sledgehammer Games dan Raven Software kini akan membantu Treyarch untuk membawa kandungan penceritaan solo yang telah pun dihasilkan di dalam permainan mereka sebelum ini ke dalam Call Of Duty: Black Ops 5.

Semestinya ini adalah satu perkara yang agak merisaukan memandangkan studio-studio tersebut sebelum ini memerlukan sekurang-kurangnya 3 tahun untuk menghasilkan permainan Call Of Duty mereka dan kini Treyarch tampaknya hanya mempunyai 2 tahun sahaja. Walaupun begitu, kami percaya dengan sokongan dua lagi studio tambahan, Call Of Duty: Black Ops 5 mungkin akan menjadi satu lagi permainan yang menarik oleh mereka.

Sohor Kini