
Apa itu Apple Arcade?
Apple pada awal pagi hari ini selain mengumumkan beberapa perkhidmatan yang memfokuskan kepada majalah dan industri hiburan, mereka juga mengumumkan Apple Arcade. Oleh disebabkan ia berkait dengan permainan, sekali gus kami tertarik dengan pengumuman tersebut.
Apple Arcade boleh diterangkan dengan mudah jika saya katakan ia adalah Netflix untuk permainan video di dalam ekosistem Apple. Dengan perkhidmatan langganan tersebut, pelanggan berpeluang untuk bermain pelbagai permainan video dengan satu bayaran bulanan. Menurut Apple, semasa ia dilancarkan kelak, ia akan menyertakan lebih 100 permainan dan permainan akan terus ditambah daripada semasa ke semasa.
Apple mengatakan 100 permainan tersebut adalah permainan baharu dan eksklusif untuk perkhidmatan ini. Namun, saya berharap Apple juga akan membuka perkhidmatan ini untuk permainan yang tersedia di App Store, termasuk juga permainan yang tidak eksklusif.
Perkhidmatan ini tidak terhad untuk permainan mudah alih untu iPhone sahaja, tetapi ia juga untuk permainan yang dikeluarkan untuk iPad, permainan di Mac dan juga untuk Apple TV. Ini boleh dikatakan perkhidmatan langganan permainan yang menyeluruh bagi ekosistem Apple.
Antara perkara lain yang dikongsikan mengenai Apple Arcade adalah, ia tidak akan menyertakan sebarang iklan serta pembelian di dalam aplikasi, pemain boleh menukar platform (contohnya mula bermain di iPhone dan menyambungnya di Mac), boleh dimainkan secara luar talian dan juga termasuk di dalam Family Sharing (boleh berkongsi sehingga 6 ahli keluarga). Buat masa ini tiada harga langganan yang dikongsikan.
Buat masa ini mereka menekankan yang permainan yang disertakan di dalam Apple Arcade boleh dimainkan di mana-mana platform, namun kami tidak pasti jika perkhidmatan tersebut hanya menyediakan permainan yang boleh dimainkan di semua platform ataupun ia juga akan menyertakan permainan yang eksklusif untuk satu peranti sahaja, terutama iPhone. Kami berharap ia yang terkemudian, kerana sesetengah permainan tidak sesuai untuk dimainkan di platform lain. Hanya menyertakan permainan yang boleh dimainkan di semua platform akan mengurangkan jenis permainan yang boleh disertakan di dalam perkhidmatan ini.

Mengapa ia satu Pengumuman yang penting?
Bagi saya ia adalah satu pengumuman yang penting kerana walaupun ia bukanlah sesuatu yang baharu, contohnya Microsoft sudah hadir dengan Xbox Games Pass, akan tetapi berbanding ekosistem Xbox, ekosistem Apple lebih menyeluruh dan mempunyai lebih ramai pengguna, tambahan mereka mengatakan pada permulaan, perkhidmatan ini akan dilancarkan di 150 negara (tiada pengesahan jika ia termasuk Malaysia).
Selain itu, ia juga penting untuk industri permainan mudah alih. Kami sebelum ini melaporkan yang Square Enix tidak lagi ingin mengeluarkan permainan GO dan ingin memfokuskan kepada permainan percuma kerana pemain mudah alih lebih ingin berbelanja untuk pembelian di dalam aplikasi berbanding membeli permainan sepenuhnya.
Dengan hadirnya perkhidmatan langganan ini, ia akan memberi peluang kepada permainan-permainan tersebut untuk dimainkan oleh lebih ramai pemain. Saya juga berpendapat sebelum ini, dengan industri permainan video semakin bergerak ke arah permainan sebagai servis, sistem langganan adalah satu sistem yang boleh menyelamatkan permainan solo. Satu perkara yang sama boleh dikatakan untuk permainan mudah alih.
Ini sekaligus menjadi satu sumber pendapatan yang lain untuk pembangun permainan. Apple tidak mengesahkan bagaimana pembangun serta penerbit permainan akan dibayar melalui perkhidmatan ini, adalah seperti Spotify ataupun Apple Music yang bergantung kepada jumlah pemain, ataupun Apple akan membayar satu bayaran tetap pada permulaan.
Apple juga mengatakan yang mereka bukan sahaja memilih permainan untuk disertakan di dalam Apple Arcade, akan tetapi akan menyumbang dana untuk kos pembangunan termasuk juga bekerjasama dengan pembangun permainan untuk membawa permainan ke perkhidmatan tersebut.
Sesuatu yang dilancarkan oleh Apple kebiasaan akan menjadi pembukaan untuk penyedia lain menyediakan perkhidmatan yang sama. Perkhidmatan Apple akan memfokuskan kepada ekosistem mereka sahaja, dan ini akan mencipta satu vakum untuk ekosistem lain. Oleh disebabkan itu, kami tidak terkejut jika Google ataupun penyedia lain akan mengumumkan perkhidmatan yang sama untuk permainan-permainan di Android.
Buat masa ini masih tiada maklumat yang cukup untuk mengetahui bagaimana Apple akan menyediakan perkhidmatan ini. Namun, bagi saya ia adalah sesuatu yang menarik. Saya berharap Malaysia juga adalah sebahagian daripada 150 negara pertama yang akan menerima perkhidmatan ini.
Bagaimana dengan anda? Adakah perkhidmatan langganan untuk permainan terutama permainan mudah alih sesuatu yang anda berminat?