Jika ditanya cadangan permua apa yang harus di main atau dibeli dengan mudahnya kami akan syorkan siri permua GO oleh Square Enix. Permainan pertama yang dikeluarkan untuk siri ini adalah Hitman GO pada tahun 2014 kemudian Lara Croft GO setahun kemudian sebelum Deus Ex GO tiba pada tahun 2016.

Ketiga-tiga permainan ini mempunyai keunikan tersendiri tetapi pada asasnya tekaria berdasarkan pergerakan dari satu petak ke petak yang lain untuk melepaskan diri dari satu halangan. Permainan ini boleh didapati dengan harga RM19.90 tetapi sering mendapat potongan harga.

Selepas pengeluaran terakhir iaitu Deus Ex, tiada lagi pengeluaran baru oleh Square Enix. Melalui temubual bersama PocketGamer ketua Square Enix Montreal Patrick Naud memberikan sebab mengapa.

Menurut beliau di dalam pasaran permua sekarang terdapat terlalu banyak permua yang berkualiti tetapi percuma. Walaupun siri permua GO mendapat penerimaan yang baik akan tetapi hanya sebahagian kecil sahaja yang memilikinya kerana harga untuk mendapatkan permua ini.

Tambah beliau, harga permulaan untuk pemain adalah satu perkara yang besar. Mereka mempunyai pelbagai pilihan dan untuk mereka membuat keputusan mereka perlu sangat yakin dengan sesuatu permua. Bukan kerana mereka tidak ingin berbelanja, sebaliknya mereka akan berbelanja untuk permua yang betul-betul digemari oleh mereka.

Walau bagaimanapun, Square Enix tidak akan terus meninggalkan pasaran permua, akan tetapi mereka akan lebih memfokuskan untuk menghasilkan permua yang berkualiti tinggi tetapi percuma untuk dimainkan (akan mempunyai pembelian di dalam aplikasi).

Ini merupakan satu berita yang sedih bagi kami tetapi bukan sesuatu yang mengejutkan. Seperti kami nyatakan di atas, siri permua GO adalah antara yang terbaik tetapi mempunyai had kandungan dan tidak ramai yang sanggup membayar untuk membeli permua. Persoalan timbul mengenai masa depan untuk permua yang berbayar, adakah kesemua permua selepas ini menjadi percuma untuk dimainkan?

Sohor Kini