Siri permainan Dead Or Alive sememangnya terkenal sebagai permainan perlawanan yang menyertakan pelbagai watak, terutamanya watak-watak wanita dengan pelbagai kostum yang menawan. Permainan tersebut menjadi satu ikutan ramai dengan pelbagai siri telah dilancarkan oleh mereka sejak 1996 lepas.

Terkini, Koei Tecmo dan Team Ninja membawa kembali permainan perlawanan tersebut, iaitu Dead Or Alive 6 ke konsol Playstation 4, Xbox One dan PC pada awal Mac lepas. Melaluinya, mereka memperkenalkan beberapa mekanik baru dan pada masa yang sama menghasilkan satu permainan yang sangat kompetitif.

Namun, adakah kita masih lagi memerlukan satu lagi permainan perlawanan untuk generasi ini? Ini adalah ulasan penuh saya.

Cerita

Dead Or Alive 6 sudah pastinya merupakan sekuel kepada permainan Dead Or Alive sebelum ini. Ini sekaligus buat mereka tidak mengikuti siri ini, anda mungkin tidak akan memahami penceritaannya. Ini kerana, memandangkan permainan ini merupakan permainan ke-6 untuk siri tersebut, terdapat banyak watak-watak daripada permainan sebelum ini kembali dan mempunyai ‘agenda’ mereka tersendiri.

Terdapat sejumlah 27 watak yang tiba di dalam permainan ini dan dua daripada adalah watak baharu iaitu Diego dan NiCO dimana kedua-duanya juga memainkan peranan penting di dalam penceritaan kali ini. Melaluinya, NiCO iaitu seorang ahli saintis MIST baharu, menghasilkan satu eksperimen terhadap Raidou, antagonis utama siri ini menjadi ‘Cyborg’. Ini sekaligus, meletakkan Kasumi sekali lagi perlu menewaskannya dan memberhentikan rancangan jahat tersebut. Selain itu, permainan ini juga mempunyai plot kedua di mana pertandingan Dead Or Alive ke-6 itu sendiri berlangsung dan pelbagai watak cuba untuk sertai untuk menjuarainya.

Secara asasnya, permainan ini mempunyai penceritaan tersendiri dan anda tidak perlu bermain permainan sebelum ini untuk memahaminya. Akan tetapi, permainan ini masih lagi menyertakan beberapa cabang penceritaan selain daripada plot utamanya, yang mana ia masih lagi mengambil sebahagian daripada penceritaan yang berlaku di dalam permainan sebelum ini.

Ini juga menyebabkan kenapa penceritaanya sendiri agak memeningkan. Cara penyampaian penceritaan ini agak pelik kerana ianya tidak dipersembahkan mengikut turutan. Penceritaan permainan ini dibahagikan mengikut watak-watak dan bahagian permainan dimana setelah pemain tamat satu bahagian, ianya akan membuka bahagian seterusnya. Namun memandangkan mempunyai dua plot yang berbeza, ianya menjadi semakin memeningkan apabila terdapat terlalu ramai watak yang disampai dan setiap satunya tidak disusun mengikut turutan.

Ini bukan sahaja akan membuatkan pemain pening dengan permainan ini, malah ianya pasti akan membuat ramai tidak menyukai penceritaanya. Memandangkan ini adalah permainan terkini buat siri tersebut, ianya agak mengecewakan untuk Team Ninja menghasilkan sesuatu yang mana agak sukar untuk pemain baharu dan juga pemain lama untuk menikmati penceritaannya.

Grafik

Grafik permainan ini sememangnya tidak mengecewakan. Sekali lagi Team Ninja berjaya menghasilkan permainan yang mempunyai visual yang sangat cantik bersama dengan kualiti prestasi permainan dengan baik sekali.

Ketika mengulas permainan ini, saya berkesempatan untuk mencubanya di Playstation 4 Pro. Melaluinya Team Ninja menyertakan sebilangan tetapan visual permainan yang mana pemain berupaya untuk memilih visual ataupun prestasi permainan. Selain itu, terdapat juga tetapan lain seperti tetapan tahap keganasan dan juga kesan efek peluh untuk watak. Selain itu, bagi anda yang tidak gemar dengan kesan fizik permainan yang keterlaluan, anda juga boleh membuangnya. Namun, fungsi ini sememangnya dihasilkan untuk peminat siri Dead Or Alive.

Menariknya, memandangkan permainan ini memfokuskan bentuk watak kostum yang berbeza, ketika pemain bertempur terdapat juga kesan-kesan koyak ataupun kostum-kostum watak pemain tersebut akan rosak. Seperti contohnya jika pemain menumbuk muka musuh, kaca matanya mungkin akan jatuh dan pecah. Ini sememangnya satu bentuk terperinci yang sangat menarik buat permainan ini.

Saya juga menyukai kualiti visual persekitaran permainan ini dimana ianya dikembangkan dengan luas terutamanya peralihan lokasi yang mana sebahagian daripadanya adalah sangat kelakar dan pelik. Sememangnya Dead Or Alive 6 ini merupakan permainan visual tercantik untuk siri tersebut setakat ini.

Audio

Satu perkara yang saya sangat kecewa dengan permainan ini adalah bentuk suara latar yang agak janggal. Ini bukanlah sesuatu yang asing untuk permainan perlawanan memandangkan kebanyakkan permainan bergenre ini lebih memfokuskan bentuk permainan yang seimbang dan kompetitif. Namun, apa yang dilakukan oleh Team Ninja kali ini bagi saya agak menyedihkan.

Terdapat beberapa lakonan suara latar watak yang berasa sangat pelik dan seakan terus baca dari skrip. Selain itu, satu lagi perkara yang mengecewakan adalah pergerakkan bibir watak langsung tidak menyegerakkan bersama suara mereka. Saya tahu bahawa permainan ini asalnya adalah permainan yang dibangunkan untuk bahasa Jepun, namun ianya berasa agak ‘selekeh’ jika tidak menterjemahkan pergerakkan bibir dan percakapan watak tersebut.

Dari segi audio yang lain, tidak banyak yang saya boleh katakan memandangkan kesemuanya dihasilkan dengan baik sekali. Terutamanya muzik-muzik permainan yang menarik dan sesuai dengan sesi-sesi pertarungan permainan ini.

Kawalan Permainan

Seperti yang saya katakan di atas, di mana Team Ninja ingin memfokuskan permainan ini sebagai satu permainan yang kompetitif. Apa yang saya boleh katakan sememangnya ini adalah permainan perlawanan yang baik sekali.

Benda pertama yang saya harus puji adalah ianya adalah senang untuk dimainkan walaupun anda baru untuk siri ini. Segala serangan kombinasi adalah senang untuk dilakukan dan ianya tidak memerlukan anda untuk menghafal senarai serangan seperti kebanyakkan permainan perlawanan lain. Ini sememangnya satu bentuk yang sangat bagus sekali terutamanya untuk saya sendiri yang bermain banyak permainan perlawanan dan ia amat memeningkan untuk sentiasa mengingati set senarai serangan.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna permainan Dead Or Alive 6 ini adalah seringkas itu, tidak. Dead Or Alive 6 semestinya adalah satu permainan perlawanan yang sangat taktikal dan strategik di mana ianya memfokuskan bentuk serangan balas dan pertahan yang sangat tinggi. Seperti permainan sebelum ini, fungsi ‘Hold’ yang terdapat di dalam permainan ini memberi satu impak yang luas dimana pemain perlu menahan dan menyerang balas serangan musuh. Fungsi ‘Hold’ tersebut terbahagi kepada empat melalui Dead Or Alive 6 kali ini dimana pemain perlu berwaspada lokasi dan arah serangan musuh untuk menyerang balas serangan mereka.

Fungsi ini juga membuka bentuk permainan perlawanan Dead Or Alive 6 dengan lebih meluas dan pada masa yang sama memerlukan pemain untuk sentiasa berwaspada dan rajin untuk berlatih. Ini sekaligus apa yang membuatkan permainan ini menjadi sangat kompetitif terutamanya mereka yang bermain secara atas-talian.

Selain itu, untuk memudahkan pemain baharu, Team Ninja juga menyertakan satu butang serangan khas dimana pemain hanya perlu menekannya berulang kali untuk melakukan kombinasi serangan yang kuat. Mekanik ini dipanggil Fatal Rush dan ia sememangnya memberi satu bentuk yang mudah dan memuaskan bagi mereka yang ingin bermain permainan perlawanan ini.

Meskipun begitu, ianya tidak sama sekali membuatkan permainan ini mudah untuk dipelajari. Terdapat juga beberapa serangan kombinasi termasuklah cara-cara pemain untuk menahan serangan musuh dan ini sekaligus memberi kedalaman lagi buat permainan Dead Or Alive 6 ini.

Selain daripada itu, buat mereka yang ingin berlatih dan mengetahui kombinasi serangan bersama-sama mempelajari segala teknik watak-watak di dalam permainan ini, Team Ninja masih lagi menyertakan satu bentuk latihan yang sangat mendalam dimana pemain berupaya untuk mempelajari pelbagai bentuk dan kombinasi serangan yang berbeza dan ia pasti akan membantu mereka yang berminat untuk bermain permainan ini secara kompetitif.

Dari segi aspek yang lain, sememangnya ini adalah satu lagi permainan perlawanan buat siri Dead Or Alive ini. Tidak banyak perkara yang berbeza berbanding permainan sebelum ini dan mungkin ianya juga mungkin terlalu sedikit benda baharu yang diperkenalkan melaluinya. Walaupun begitu, Dead Or Alive 6 ini semestinya adalah satu permainan perlawanan yang baik dengan kawalan yang sangat responsif.

Mod Tambahan

Dead Or Alive 6 menyediakan beberapa mod tambahan di mana ianya mengembangkan lagi bentuk dan kawalan permainan ini.

Antara mod kesukaan saya adalah DOA Central di mana secara asasnya ianya adalah hub utama untuk permainan ini yang menyediakan pelbagai kandungan seperti keupayaan untuk menukar kostum watak-watak ataupun mengakses kandungan muzik, trivia bersama penceritaan sebalik sejarah Dead Or Alive dan sebagainya. Mod ini semestinya perlu diterokai oleh peminat tegar Dead Or Alive yang mana pasti membuat anda menyukainya.

Selain itu, terdapat juga mod DOA Quest, yang mana anda boleh melengkapkan sebilangan misi-misi yang tersedia untuk mendapatkan pelbagai ganjaran. Antara ganjaran yang tersedia adalah kandungan ensiklopedia dan juga nilai mata wang untuk menyah-kunci kostum. Mod ini juga pada pendapat saya agak menarik memandangkan misi-misi yang disertakan perlu diselesaikan mengikut tetapan pertempuran. Ini sedikit sebanyak menjadikan ia seakan satu mod latihan, walaupun mod latihan itu sendiri juga seperti yang saya katakan di atas.

Walaupun begitu, berbalik kepada kostum yang perlu dinyah-kunci, kali ini kostum-kostum yang terdapat di dalam permainan ini agak sukar untuk diperolehi. Ini kerana ianya memerlukan anda untuk sering bermain permainan ini melalui mod DOA Quest tersebut. Memandangkan setiap kali cara anda untuk mendapatkan kostum tersebut berdasarkan nilai ‘Pattern Part’, cara ganjaran DOA Quest untuk nilai tersebut adalah sangat rawak, sekaligus ia agak sukar untuk saya mendapatkan kostum watak yang saya inginkan. Setiap kali saya melengkapkan misi DOA Quest, ianya secara rawak akan membahagikan ganjaran nilai ‘Pattern Part’ tersebut ke mana-mana 27 watak yang tersenarai. Ini bukan sahaja memerlukan saya untuk sentiasa terus bermain, malah ianya juga mengehadkan pilihan saya seolah ia membuatkan saya berasa keterlaluan untuk mendapatkan kostum-kostum di dalam permainan ini.

Tambah lagi, ianya menjadi lebih teruk di mana pas musim yang menyertakan lebih dari 60 kostum buat permainan ini, dijual dengan harga sehingga RM309. Namun, setelah ianya mendapat kritikan ramai, Koei Tecmo mengumumkan bahawa mereka akan mengemaskininya pada pertengahan Mac ini.

Dari segi mod multi-pemain pula, asasnya saya tidaklah menghadapi sebarang masalah yang begitu teruk untuk berhubung dengan pemain lain. Namun terdapat juga beberapa sesi permainan saya agak terlekat dan tersangkut walaupun tetapan hubungan permainan berada di zon yang baik.

Dukacitanya juga, permainan ini tidak menyertakan mod lobi untuk sesi multi-pemain dan hanya terhad kepada sesi permainan secara berkedudukan sahaja. Ini bukan sahaja akan mengehadkan pemain untuk bertempur dengan rakan secara atas-talian, malah ianya berasa satu paksaan untuk bermain bersama pemain rawak.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh simpulkan adalah Dead Or Alive 6 sudah pasti merupakan satu permainan perlawanan yang baik sekali. Bentuk yang lebih mudah untuk pemain baharu bersama dengan kandungan kostum yang pelbagai untuk pemain dapatkan, ia sememangnya satu permainan perlawanan yang menarik untuk peminat siri Dead Or Alive.

Walaupun ianya tidak menyertakan kandungan baharu yang banyak, Dead Or Alive 6 masih lagi satu permainan perlawanan yang bagus dan sangat mendalam terutamanya mereka yang ingin bermain secara kompetitif.

Akan tetapi bentuk penceritaannya yang agak memeningkan dan tidak diterangkan dengan baik dicampur dengan cara untuk mendapatkan kostum-kostum yang sangat memakan masa, ianya berasa agak sukar untuk mengesyorkan permainan ini terutamanya buat mereka yang baru dengan siri ini.

Bahkan juga, dengan terdapat pelbagai lagi permainan perlawanan yang jauh lagi menarik yang dilancarkan baru-baru ini, sekaligus membuatkan permainan ini tenggelam di kalangan permainan-permainan perlawanan yang lain yang mana sudah pun menjadi ikutan ramai peminat di luar sana.

Namun, saya percaya Koei Tecmo dan Team Ninja pasti akan menyertakan pelbagai kemaskini buat permainan ini memandangkan menurut mereka, Dead Or Alive 6 bakal menjadi satu permainan yang memfokuskan kompetitif dan dengan sokongan pembangun, ia pasti akan menjadi lebih menarik pada masa akan datang.

Penafian: Kod Ulasan Dead Or Alive 6 disediakan oleh Koei Tecmo Europe

Sohor Kini