Dead Or Alive 6 baru sahaja dilancarkan awal bulan ini dan ianya mendapat pelbagai sambutan yang baik oleh peminat dan kami sendiri di Aksiz juga dalam proses untuk mengulasnya.
Namun, salah satu masalah berkenaan permainan tersebut adalah proses untuk mendapatkan kostum tambahan mengambil masa yang sangat lama dan agak sukar. Sekaligus, Team Ninja hari ini mengumumkan yang mana mereka akan mengemaskini permainan tersebut pada pertengahan bulan ini untuk memudahkan pemain untuk dapatkan kostum-kostum tambahan.
Sememangnya proses untuk mendapatkan kostum tambahan di dalam permainan Dead Or Alive 6 adalah agak sukar dimana kostum-kostum tersebut terbahagi kepada dua bentuk mata wang dimana mata wang Gold, akan senang untuk didapatkan dengan hanya bermain permainan tersebut. Namun, mata wang kedua iaitu Pattern Parts agak sukar untuk mendapatkannya yang mana pemain perlu sentiasa melakukan cabaran permainan dan bermain secara atas-talian hanya memberi ganjaran yang rendah.
Sekaligus, tindakan Team Ninja untuk membaiki sistem tersebut adalah sesuatu yang harus dipuji dan pasti akan menyenangkan lagi peminat untuk mendapatkan pelbagai jenis kostum-kostum yang terdapat di dalam permainan ini.

Akan tetapi, seperkara lagi yang menjadi tumpuan ramai berkenaan permainan ini juga adalah harga pas musim permainan ini yang mencapai RM309. Harga tersebut sememangnya sangat mahal dan lebih mahal berbanding permainannya sendiri dengan harga RM252 sahaja. Ianya agak pelik memandangkan pas musim tersebut hanya menyertakan
dua watak tambahan dan 62 kostum tambahan.
Walaubagaimana pun, setakat ini kami di Aksiz tidak menghadapi masalah lain berkenaan permainan ini dan kami akan kongsikan ulasan penuh permainan ini pada minggu ini dan anda boleh nantikannya di sini.
Dead Or Alive 6 adalah permainan perlawanan oleh Koei Tecmo dan ianya dibangunkan oleh Team Ninja. Permainan tersebut telah pun dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan PC pada awal bulan ini.