Informasi Permainan Video Terkini
Jualan Playstation 4 Mencapai 91.6 Juta Unit Seluruh Dunia

Jualan Playstation 4 Mencapai 91.6 Juta Unit Seluruh Dunia

Diterbitkan pada Jan 8, 2019 oleh .

Sony hari ini mengumumkan bahawa konsol Playstation 4 kini telah mencapai hasil jualan sebanyak 91.6 juta unit secara global. Menurut Sony, jumlah tersebut direkodkan ketika 31 Disember 2018 lepas yang mana sepanjang musim cuti tahun lepas, Playstation 4 telah terjual sebanyak 5.6 juta unit di seluruh dunia.

Selain itu, Sony juga mengumumkan bahawa lebih dari 50.7 juta salinan permainan telah dijual sepanjang musim cuti tahun lepas yang mana kini meletakkan sejumlah 876 juta salinan permainan Playstation 4 telah terjual setakat 31 Disember 2018 lepas.

Menariknya, Marvel’s Spider-Man yang dilancarkan September lepas telah tercapai hasil jualan melebihi 9 juta salinan setakat November lepas. Ini sememangnya satu kejayaan yang besar bagi pihak Sony.

John Kodera, iaitu presiden Sony Interactive Entertainment mengucapkan terima kasih atas sokongan peminat sepanjang musim cuti tahun lepas dan beliau juga menyatakan bahawa pengguna aktif bulanan bagi Playstation Network juga terus meningkat dengan 90 juta pemain berdaftar setakat November 2018 lepas.

Tambah beliau, menjelang 2019 ini mereka juga bakal membawa pelbagai lagi permainan yang menarik buat konsol Playstation 4 dan akan sentiasa membawa pelbagai lagi pengalaman permainan video yang menarik buat seluruh pemain Playstation 4.

Kami di Aksiz juga ingin mengucapkan tahniah buat Sony Interactive Entertainment atas kejayaan ini. Sememangnya ini adalah satu peningkatan yang sangat tinggi sejak pengumuman mereka pada Oktober lepas. Tambahan itu dengan kejayaan permainan Marvel’s Spider-Man, kami juga ingin mengucapkan tahniah buat Insomniac Games dan Marvel.


TIPS & ULASAN