Sony hari ini berkongsi laporan kewangan mereka bagi suku kedua untuk tahun fiskal 2018. Melaluinya mereka berkongsi perkembangan industri permainan video yang menjadi tunjang kepada syarikat mereka.
Selepas jualan untuk suku kedua iaitu dari bulan Julai hingga September, Playstation 4 telah terjual sebanyak 86.1 juta unit secara global dengan jumlah jualan untuk suku kedua adalah 3.9 juta unit. Ia adalah lebih tinggi berbanding suku pertama dan juga suku keempat untuk tahun fiskal 2018.
Dengan jumlah baharu ini, Playstation 4 semakin menghampiri jumlah jualan untuk Playstation 3 yang sebelum ini dilaporkan sebanyak 86.9 juta unit.
Selain itu, walaupun memperlihatkan penurunan dari segi pelanggan PS Plus pada suku pertama, untuk suku kedua ia meningkat sebanyak 100 ribu berbanding suku keempat tahun fiskal lepas dengan jumlah pelanggan sebanyak 34.3 juta pelanggan.
Manakala dari segi jualan permainan, ia memperlihatkan peningkatan sebanyak 5.4 juta berbanding suku kedua tahun fiskal lepas dengan 75.1 juta unit.
Walaupun kita sudah semakin menghampiri konsol generasi baharu, tampaknya pemain masih merasakan Playstation 4 masih berbaloi untuk dibeli sepertimana yang kami nyatakan sebelum ini.