Gabe Newell Mengesahkan Valve Akan Kembali Melancarkan Permainan

Selain daripada informasi lanjut berkenaan permainan Artifact beberapa hari lepas, Gabe Newell presiden Valve kini mengesahkan bahawa syarikat tersebut akan kembali melancarkan permainan pada masa terdekat ini.

Menurut laporan PC Gamer, ketika acara perkongsian berkenaan permainan Artifact minggu ini di Amerika Syarikat, Gabe Newell menyatakan bahawa permainan Artifact merupakan salah satu daripada permainan yang bakal dibangunkan oleh mereka. Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan bahawa Valve akhirnya akan kembali melancarkan permainan.

Ini merupakan berita yang gembira bagi mereka yang meminati siri permainan oleh Valve memandang permainan terakhir yang dilancarkan oleh mereka merupakan Dota 2 pada 2013 lepas. Manakala permainan terakhir oleh mereka yang memfokuskan penceritaan solo adalah Portal 2 yang mana ia dilancarkan pada 2011 lepas.

Walaupun pada awal tahun lepas, beliau mengesahkan bahawa Valve sememangnya sedang membangunkan sekurang-kurangnya satu permainan yang memfokuskan penceritaan solo, namun sejak pengesahan tersebut, Valve mahupun Gabe Newell tidak berkongsi sebarang informasi lanjut.

Namun begitu, buat masa sekarang Gabe Newell masih belum berkongsi informasi lanjut berkenaan permainan yang akan dilancarkan oleh mereka selain Artifact. Tambahan juga, mungkin pada masa akan datang Valve akhirnya akan melancarkan permainan seterusnya bagi siri Half-Life ataupun Portal.

Dengan pengumuman ini sememangnya ia merupakan berita gembira buat mereka yang menanti-nanti permainan oleh Valve. Mungkin juga impian peminat untuk bermain Half-Life 3 akan menjadi kenyataan? Seperti biasa, kami di Aksiz akan berkongsi informasi lanjut jika terdapat sebarang pengumuman oleh Valve dan Gabe Newell.

Sohor Kini