Skip to main content

Februari lepas, Ubisoft mengumumkan tiga kandungan tambahan buat permainan Far Cry 5 bersama Far Cry 3 Classic Edition. Kini, bersempena dengan pelancaran permainan Far Cry 5 yang bakal tiba 27 Mac ini, Ubisoft berkongsi video trailer yang mempertontonkan kandungan pernambahan tersebut bersama mod baru iaitu Far Cry Arcade.

Kandungan pertama adalah Hours Of Darkness, dimana pemain akan diletakkan ketika peperangan di Vietnam. Pemain akan bertempur dengan askar Vietnam, menyelamatkan rakan-rakan askar dan juga pemain perlu melarikan diri dari kawasan tersebut.

Kandungan kedua adalah Lost On Mars yang mana pemain akan diletakkan di planet Marikh. Pemain perlu bertempur dengan makhluk asing dan menyelematkan bumi daripada ditakhluk makhluk tersebut.

Dead Living Zombies, iaitu kandungan ketiga meletakkan pemain di dalam kawasan yang ditakhluk oleh zombi dan pemain perlu bertempur dan melarikan diri dari zombi secara berperingkat.

Far Cry 3 Classic Edition juga akan disertakan di dalam pas musim Far Cry 5 yang mana ia akan menyertakan permainan asal Far Cry 3 yang dipernambah-baikkan. Permainan tersebut asalnya dilancarkan pada 2012 lepas di Playstation 3 dan Xbox 360. Menariknya juga, Far Cry 3 Classic Edition juga akan dilancarkan secara kendiri sebulan selepas pelancaran Far Cry 5.

Far Cry Arcade pula merupakan mod permainan terbaru yang mana pemain boleh membina peta kawasan permainan berdasarkan aset-aset permainan Far Cry sebelum ini dan berkongsi peta tersebut secara atas-talian untuk bermain bersama rakan-rakan.

Pada masa yang sama, Ubisoft juga akan menambah sebilangan kandungan baru buat Far Cry Arcade dengan pelbagai kandungan termasuk kandungan daripada DLC bagi Far Cry 5 untuk digunakan di dalam mod Far Cry Arcade. Ubisoft juga akan mengadakan pelbagai lagi acara langsung bagi permainan tersebut setelah ia dilancarkan kelak.

Far Cry 5 adalah permainan penembak pandang pertama dunia terbuka yang dibangunkan oleh Ubisoft. Ia merupakan siri Far Cry kelima dan ia akan dilancarkan di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC pada 27 Mac 2018 ini.

Leave a Reply