Awal Februari lepas Capcom mengumumkan permainan Monster Hunter World mencapai 6 juta salinan yang diedarkan. Kini selang sebulan selepas pengumuman tersebut, Capcom mengumumkan bahawa permainan tersebut kini mencapai 7.5 juta salinan yang diedarkan seluruh dunia. Sekaligus sepanjang satu bulan sejak Februari lepas, Capcom mengedar 1.5 juta salinan permainan tersebut.
Jumlah ini juga dicampur dengan hasil jualan bagi jualan permainan secara digital dan sememangnya ia merupakan satu kejayaan yang memberansangkan bagi siri permainan Monster Hunter. Monster Hunter World juga kini menjadi antara permainan yang mendahului bagi hasil salinan yang diedarkan oleh Capcom melalui senarai di laman Capcom.
Monster Hunter: World merupakan permainan aksi pengembaraan pemburuan raksasa yang dibangunkan oleh Capcom. Ia kini kembali ke konsol rumah dimana sebelum ini Capcom memfokuskan permainan tersebut buat konsol 3DS sahaja. Monster Hunter World telah pun dilancarkan pada 26 Januari lepas di konsol Playstation 4 dan Xbox One. Bagi versi PC, ia akan dilancarkan pada musim luruh tahun ini.
Kami di Aksiz juga ingin mengucapkan tahniah buat Capcom dan kami sendiri sememangnya menyukai permainan tersebut dan sering bermain bersama rakan-rakan secara atas-talian. Bagi anda yang masih belum memiliki permainan Monster Hunter World, adakah anda berminat untuk mendapatkannya selepas ini?