Informasi Permainan Video Terkini
Permainan Realiti-Gabungan Marvel Mungkin Akan Tiba Buat Lenovo Mirage AR – Temu Bual Bersama Pihak Lenovo

Permainan Realiti-Gabungan Marvel Mungkin Akan Tiba Buat Lenovo Mirage AR – Temu Bual Bersama Pihak Lenovo

Diterbitkan pada Jan 26, 2018 oleh .

Dengan berlangsungnya acara Legion Of Champions Series II di Bangkok minggu ini, kami di Aksiz juga berpeluang untuk menemu bual bersama Nick Reynolds, iaitu ketua pegawai pemasaran Lenovo, Ivan Cheung, pengurus rantau Asia Tenggara Lenovo dan Gregory Beh Ketua Produk Lenovo.

Menariknya, ketika ditemu bual berkenaan produk mereka yang diumumkan tahun lepas, iaitu Lenovo Mirage AR iaitu set realiti-gabungan yang dilancarkan dengan kerjasama bersama Disney iaitu permainan Star Wars: Jedi Challenges, Nick Reynolds juga menyatakan bahawa dengan kerjasama mereka dengan Disney, mereka mungkin akan menyertakan kandungan dan juga permainan daripada francais Marvel seperti Spider-Man, Iron Man dan pelbagai adiwira dari Marvel buat set kepada realiti-gabungan Lenovo Mirage AR.

Menurut Nick Reynolds, mereka percaya yang mana kandungan realiti-maya dan realiti-gabungan merekakan masa depan permainan video yang akan terus meningkat. Dengan pengumuman peranti set realiti-maya Mirage Solo dan kamera Mirage Camera beberapa minggu lepas, mereka percaya ia akan meningkatkan lagi kandungan yang boleh dinikmati buat pengguna.

Bagi anda yang berminat untuk membaca sebahagian temu bual, anda boleh membacanya dibawah.

Kami ingin bertanya berkenaan Lenovo Mirage AR, dimana anda menyatakan pada masa akan datang, akan terdapat lagi banyak kandungan dari Disney bakal tiba dengan kerjasama anda, bolehkah anda berkongsi kandungan tersebut?

Nick Reynolds: Soalan bagus, tetapi ada sedikit had yang mana kami boleh berkongsi dengan anda semua disebab kerjasama kami bersama Disney. Namun, jika anda fikir berkenaan set kepala Jedi Challenges yang dilancarkan oleh kami, peranti tersebut didatangkan bersama sebuah lampu isyarat yang akan diletakkan di lantai. Ia juga merupakan satu platform yang pelbagai jenis kandungan boleh dilakukan dengannya. Di dalam Jedi Challenges, anda akan menggunakan Lightsaber untuk bermain permainan tersebut. Tambahan juga, untuk mengembangkan lagi permainan tersebut, kami juga membenarkan ia dikemaskini dengan pelbagai kandungan melalui muat-turun kemaskini. Pada masa yang sama, kami juga berharap ia akan dikembang dalam bentuk multi-pemain pada masa akan datang supaya kami dapat mengembangkan lagi kandungan permainan tersebut. Namun jika dilihat dalam kandungan Disney, bukan sekadar Star Wars, Disney juga memiliki Marvel. Kami tak boleh berkongsi secara terperinci apa yang bakal tiba, tetapi jika anda menggunakan imaginasi anda, ia menjadi sesuatu yang mudah untuk mengembangkan lagi kandungan Mirage AR dengan hanya memuat-turun kemaskini melalui aplikasi tersebut. Tambahan juga, kami juga berminat untuk menambah kandungan dari francais Marvel. Kami percaya, platform realiti-gabungan Mirage AR yang akan memberi pengalaman yang menarik buat pengguna.

Ivan Cheung: Untuk menambah komen berkenaan realiti-gabungan oleh Nick, anda boleh bayangkan jika permainan realiti-gabungan adiwira Spider-man akan menjadi sesuatu yang menarik. Kami juga berminat untuk melakukan pelbagai kandungan daripada adiwira Marvel yang lain.

Seperti apa yang diterangkan, tampaknya pada masa akan datang, pengguna juga mungkin akan perlu membeli sebilangan aksesori tambahan untuk kandungan permainan yang berlainan buat Lenovo Mirage AR?

Nick Reynolds : Mungkin, kami tidak mengumumkan sebarang pengumuman lagi. Tetapi dari tindak balas yang kami dapat dari pengguna, kami berminat untuk membuat sedemikian.

Disney buat masa sekarang juga memilik 20th Century Fox, adakah anda berminat untuk membawa kandungan francais daripada 20th Century Fox?

Nick Reynolds : Apa yang boleh kami kongsikan adalah di dalam dunia realiti-maya, realiti-gabungan dan sebagainya, kandungan itu adalah ‘raja’, dan apa yang kami nampak sekarang adalah teknologi bukanlah sesuatu yang akan membuat pengguna membelinya. Namun, apa yang menariknya bagi pengguna adalah pengalaman yang bakal mereka alami ketika menggunakan peranti tersebut. Kami tidak boleh komen berkenaan 20th Century Fox, kami percaya kandungan di dalam sesuatu peranti adalah yang akan menjual sesuatu produk. Tambahan juga, kami percaya realiti-maya, realiti-gabungan merupakan sesuatu besar pada masa akan datang.

Pada masa akan datang, adakah Lenovo berminat untuk membawa produk baru buat pencipta kandungan seperti Youtuber dan Streamer?

Nick Reynolds : Buat masa ini, kami tidak ada sebarang rancangan untuk menghasilkan produk yang memfokuskan untuk pencipta kandungan. Buat masa sekarang, kami ingin memfokuskan dahulu produk-produk yang kami lancarkan. Terutamanya untuk realiti-maya dan realiti-gabungan yang boleh dimiliki buat pengguna disamping memastikan ia tidak menyusahkan pengguna dengan pelbagai kabel tambahan dan sebagainya.

Berikut pula adalah sebahagian temu bual bersama ketua produk Lenovo, Gregory Beh.

Memandangkan jenama Lenovo Legion masih lagi di tahun pertama, apakah kesukaran yang anda hadapi ketika membawa produk ini buat pemain memandangkan jenama lain sudah lama melancarkan produk mereka.

Gregory Beh : Ketika kami membina jenama ini, ramai jenama lain hanya memfokuskan perkakasan dan spesifikasi. Kami pula membinanya dengan arah yang berlainan, dimana kami ingin memfokuskan lebih daripada produk dan juga tindak balas dengan komuniti. Tambahan juga, kami melakukan pelbagai acara, mendengar pendapat pemain dan membawanya ke arah pengguna.

Pada masa akan datang, selain daripada permainan League Of Legends, adakah Legion Of Champions akan menyertakan permainan e-sukan yang lain?

Gregory Beh : Legion Of Champions merupakan kali kedua yang dianjurkan oleh kami, dan tindak balas daripada peminat sememangnya memberangsangkan. Namun, jika berkenaan permainan e-sukan yang lain, buat masa sekarang kami ingin memfokuskan kejohanan yang kami lakukan sekarang dan akan menilainya kelak. Berkenaan permainan e-sukan lain kami akan mengumumkannya kelak.

Kenapa Lenovo Legion hanya memfokuskan barisan produk yang sedikit?

Gregory Beh : Kami percaya dengan membawa barisan produk yang lebih sedikit, kami memberi peluang yang lebih ringkas dan mudah buat pengguna untuk membuat pilihan. Kami percaya barisan produk kami cukup kuat untuk menarik minat pengguna dan juga menyenangkan buat pengguna. Benda terakhir yang kami ingin lakukan adalah memeningkan pengguna dan menyebabkan mereka memilih produk lain.